Dokumentari
SIRI 1: Meneroka dunia filem dokumentari
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Filem dokumentari hampir tidak dirasakan kewujudannya di negara ini. Selain badan seperti Filem Negara
Malaysia (FNM), tidak ada pihak lain yang berminat untuk menerbitkan filem dokumentari bagi pasaran
dalam dan luar negara.
Sebaliknya beberapa pihak luar pula kelihatan terpesona dengan khazanah alam dan budaya di negara
ini. Mereka merakamkan sebagai filem dokumentari. Kenapa filem dokumentari tidak popular seperti filem cereka
di kalangan penonton tempatan?
Ini pasti ada kaitan dengan kecenderungan dan budaya menonton filem di kalangan penonton. Kepada
mereka yang berminat untuk meninjau kehidupan dan alam, barangkali memilih untuk menonton
dokumentari daripada cereka.
Walau apa sekali pun, kita sebenarnya banyak terhutang budi dengan FNM yang terus menghasilkan filem
dokumentari sejak sekian lama dulu hingga kini. Bayangkan kalau kita sudah tidak memiliki FNM, siapakah
yang akan menghasilkan filem dokumentari?
Sempena ulang tahun kemerdekaan negara tahun lalu, RTM ada menyiarkan program Jejak-Jejak
Merdeka. Program ini menyiarkan rakaman oleh FNM semasa negara menuju kemerdekaan dalam slot Berita Perdana
TV1.
Sementara newsreel semasa Allahyarham Tunku Abdul Rahman melaungkan
"Merdeka" di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 adalah sebahagian daripada elemen filem dokumentari yang dirakamkan oleh
FNM. Bentuk filem genre ini telah lama terdedah kepada khalayak
tempatan.
Sejarah filem yang berusia lebih satu abad lalu sebenarnya bermula dengan dokumentari. Biarpun waktu itu
(1895) Lumiere dan saudaranya di Perancis tidak tahu istilah yang merujuk hasil kerja mereka tetapi filem
Lumiere seperti The Arrival of a Train (1895) adalah sebuah dokumentari. Dalam sejarah perfileman
dunia, dokumentari adalah satu cabang pembikinan filem.
Ia menggunakan mekanisme yang sama dengan pembikinan filem cereka iaitu merakamkan imej. Tetapi
disiplin dan pendekatannya berbeza dengan cereka. Ada beberapa sarjana filem di Barat melihat filem
cereka sama seperti karya seni yang lain misalnya novel, lukisan atau teater. Maknanya filem cereka
banyak melihatkan interpretasi kreatif daripada realiti yang dilalui oleh
manusia.
Tetapi dokumentari, kata mereka, merakam dan menginterpretasi tanpa mengolah secara kreatif. Kalau
rakaman ketibaan kereta api dalam The Arrival of A Train boleh dijadikan contoh, gesture, mood dan
manusia yang ada di stesen itu adalah asli. Filem dokumentari juga disebut sebagai nonfiction film.
Kadangkala pula disebut sebagai factual film atau filem yang berteraskan
fakta.
Sejarah filem dokumentari dipercayai bermula dengan filem Nanook of the North (1922) arahan Robert
Flaherty. Filem ini merakamkan kehidupan masyarakat Eskimo di Artik. Flaherty seorang arkeologis dan
Nanook of the North adalah rakaman kembaranya di Artik.
Flaherty merakamkan kehidupan di Artik dengan menggunakan beribu kaki filem sebelum memilih yang mahu
digunakan untuk melahirkan Nanook of the North.
Dalam konteks tempatan barangkali kita boleh melihat factual film ini dalam siaran rakaman peristiwa
berdarah di Memali, Kedah 18 tahun lalu. Tahun lalu RTM menyiarkan banyak footage yang belum pernah
didedahkan untuk tontonan umum. Ini adalah sebahagian factual film di mana gesture dan pengawalan
kamera tidak dirancangkan seperti cereka atau dokumentari.
Factual film melihat subjek daripada perspektif journalism dan kualiti imej jelas ada nilai berita daripada
karya kreatif. Contoh ini sebenarnya untuk memudahkan khalayak membayangkan apa yang dimaksudkan
dengan factual film dalam konteks perfileman.
Dalam buku The Theory and Criticism, Richard Meran menulis, filem dokumentari memberikan fakta dan
sudut pandangan. Tetapi factual film hanya memberikan fakta dan bukan sudut pandangan atau
kesimpulan.
Dokumentari memberikan fakta melampaui fiksyen, di mana manusia, tempat dan peristiwa mengatasi
imaginasi. Keaslian menjadi tonggak kepada filem dokumentari. Tetapi dalam filem
cereka, "keaslian" adalah dalam konteks dunia filem itu
sendiri.
Beberapa pengarah hebat antaranya Mira Nair dan Garin Nogroho bermula dengan filem
dokumentari. Mira dengan filem dokumentari India Cabaret dan Garin dengan Daun Di Atas Bantal serta Puisi Yang Tak
Terkuburkan. Tetapi Mira misalnya mendepani halangan-halangan tersendiri semasa menghasilkan filem
dokumentari. Misalnya dia tidak boleh mengawal gesture, mood dan mengolah mengikut yang
dimahukan.
Maka sebagai jalan keluar Mira menghasilkan cereka pertama, Salaam Bombay. Tetapi Salaam Bombay
masih berteraskan dokumentari apabila Mira mengambil kanak-kanak jalanan sebagai pelakon untuk
merakamkan realiti kehidupan mereka.
Dalam Puisi Yang Tak Terkuburkan pula Garin menggunakan mangsa yang pernah diseksa komunis di
Indonesia sebagai watak utama. Lelaki itu menceritakan kisah laranya dan Garin merakamkan tanpa banyak
olahan kreatif.
Pada masa yang sama ada beberapa filem mengambil pendekatan dokumentari yang digabungkan dengan
pendekatan cereka. Kalau di negara ini barangkali penonton pernah menonton telefilem Jangan arahan
Erma Fatima. Telefilem ini mengenai dilema dan keresahan warga Bangladesh yang bekerja secara haram di
negara ini. Dalam beberapa adegan telefilem ini, Erma memberikan shot-shot yang dibuat dengan camera
hand held mendekati konsep dokumentari. Erma memahami tujuan dia memilih shot-shot dan sudut kamera
yang mirip dokumentari.
Tetapi filem-filem lain yang berkonsep cereka di negara ini belum kelihatan lagi menyelitkan pendekatan
dokumentari dalam sinematografi.
Kenapa menghasilkan filem dokumentari? Pengarah tentunya mempunyai alasan antaranya mahu
memperlihatkan rakaman imej yang tidak dimanipulasikan. Tidak ada lakonan atau melakonkan semula
sesuatu peristiwa yang telah berlaku. Tujuannya untuk menyerahkan kepada penonton menilai keaslian
rakaman tersebut.
Mungkin ada bertanya di mana pula peranan pengarah filem dokumentari kalau filem dokumentari sekadar
merakam? Jawapannya filem dokumentari bukan sebuah interpretasi kreatif. Tetapi filem dokumentari tetap
menuntut interpretasi pengarah melihat subjek yang mahu
dipaparkan.
Sebuah dokumentari akan memperlihatkan pemikiran dan jurus yang mahu dibawa kepada
penonton. Pengarah tetap berperanan memberikan jiwanya dalam filem
dokumentari.
Filem A Hard Day's Night (1964) yang melibatkan kumpulan Beatles arahan Richard Lester misalnya
menggabungkan elemen fakta dalam filem dokumentari ini. Lester mengadunkan dengan teknik muzikal dan
iklan TV.
Dalam konteks tempatan, penonton boleh mengasah minat menonton filem dokumentari menerusi Discovery
Channel dan National Geographic yang disiarkan menerusi Astro. Kedua-dua saluran itu menyiarkan
filem-filem dokumentari yang berkualiti.
Saluran ini menjadi penting apabila pawagam di negara ini tidak menayangkan filem dokumentari kerana
filem cereka lebih digemari penonton dan memberikan pulangan.
Minggu depan Apresiasi Filem akan membincangkan beberapa filem dokumentari terbaik dan kenapa ia
menjadi begitu berpengaruh.
Sumber: Utusan Online
(30 Mac 2003)
|