Dokumentari
SIRI 2: Malaysia dalam filem dokumentari
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Sebuah filem dokumentari mengenai kehidupan Orang Asli di negara ini, Nomads of the Jungle pembikinan
tahun 1948 kini antara yang menjadi rujukan tentang Malaysia di luar negara. Filem dokumentari ini
dihasilkan oleh seorang lelaki Inggeris, Victor Jurgens.
Seorang pensyarah di Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Naim Ahmad membeli salinan filem dokumentari
itu. Menurut Dr. Naim, inilah rujukan orang luar terhadap Malaysia. Tentu sekali rujukan itu tidak tepat
kerana jurang masa yang terlalu jauh. Tetapi itulah realitinya apabila kita tidak berusaha untuk
menerbitkan filem dokumentari sendiri.
Dr. Naim dalam satu pertemuan tidak lama dulu memberitahu, Nomads of the Jungle adalah salah satu
daripada 36 buah filem dalam siri The Earth and The People terbitan Louis de Rochemont. Filem-filem lain
mengenai negara ini ialah Five Faces of Malaya (1940), Tin Mine Women Workers (1941), Malaya:
Serendah Boy's School (1944), Kelantan Silver Smitery ( 1947) dan People of Malaya (1949).
Penggambaran Nomads of the Jungle dibuat pada tahun 1946 di sekitar Hulu Kenderong, Gerik dengan
berlatarkan Gunung Kenderong di Perak. Dr. Naim pernah menjejaki kawasan penggambaran Nomads of the
Jungle dan menemui beberapa orang anak dan cucu Penghulu Ehring yang terdapat dalam filem itu.
Sebuah lagi filem dokumentari mengenai negara ini ialah Timeless Temiar (1956) yang dihasilkan oleh
William Hunt dan Dick Noone.
Filem-filem dokumentari pascamerdeka mengenai negara ini banyak dihasilkan untuk tujuan tayangan filem
Jabatan Penerangan di kampung-kampung. Filem-filem ini dihasilkan oleh Malayan Film Unit (sekarang Filem
Negara Malaysia).
Tetapi filem-filem baru mengenai Malaysia hampir tidak ada. Kelihatan yang giat ialah RTM dan TV3. RTM
suatu ketika dulu boleh berbangga dengan kehadiran penerbit (pengarah) dokumentari hebat seperti
Suhaimi Jamalin dan beberapa penerbit lagi.
Tetapi belum ada syarikat swasta yang menerbitkan filem dokumentari secara khusus. Cuma TV3 menerusi
beberapa dokumentari yang berunsur Islam seperti Jejak Rasul yang mendapat perhatian di peringkat
antarabangsa.
Semasa menyertai Pasar Program TV (MIPTV) di Cannes dua tahun lalu, beberapa siri dokumentari terbitan
TV3 menarik perhatian pengedar program TV yang menyertai acara pasar program bertaraf antarabangsa
itu. Malah negara-negara dari Asia Barat juga ada membeli program dokumentari TV3 di Cannes.
Filem dokumentari memang boleh memancarkan nama negara di pentas dunia. Dengan khazanah yang
dimiliki di negara ini, filem dokumentari tempatan akan mempunyai nilai yang tinggi kalau dihasilkan dengan
bersungguh-sungguh. Biarlah filem dokumentari menjadi ejen propaganda bagi negara ini.
Ini dibuktikan semasa era Perang Dunia Kedua dan pascaperang, filem-filem yang berkonsep nonfiction
memainkan peranan sebagai ejen propaganda. Waktu itu pembikin filem dari Soviet, Dziga Vertov misalnya
membuat kelangsungan Nanook of the North arahan Robert Flaherty tahun 1922.
Vertov menjadikan filem dokumentari sebagai wadah pendidikan dan propaganda untuk menjayakan
revolusi. Ketika itu masyarakat memerlukan ekspresi seni yang baru dan Vertov percaya filem dokumentari
boleh dimanfaatkan. Malah Vertov yakin bahawa filem dokumentari lebih berkesan daripada bentuk seni
yang lain untuk menjayakan misinya.
Vertov pernah menulis bahawa seni bukan sebagai cermin yang memberi refleksi kepada sejarah
perjuangan tetapi senjata untuk meneruskan perjuangan. Malah Vertov mendakwa, filem fiksyen adalah
ruang escapism dan tidak berkonfrontasi dengan realiti.
Adakah penonton negara ini menolak filem dokumentari? Kalau ada tanggapan seperti ini tentunya ia boleh
dihujah dengan panjang lebar. Penonton telah menerima dokumentari misalnya populariti Majalah 3 di TV3
dan saluran dokumentari di Astro.
Masalahnya stesen TV tidak mempunyai produk dokumentari tempatan yang banyak seperti filem cereka.
Mungkin antara agenda yang perlu kita semua fikirkan ialah menghasilkan filem dokumentari mengenai
Malaysia pada alaf baru.
Sumber: Utusan Online (6
April 2003)
|