Dokumentari
SIRI 3: Dokumentari menghurai isu sosial
Oleh: Ku Seman Ku Hussain
Seperti yang diperkatakan pada dua siri sebelum ini, filem dokumentari antara genre filem yang popular.
Konsep dokumentari yakni bukan disampaikan dengan elemen dramatik mempunyai kedudukan tersendiri
dalam perkembangan media hari ini.
Kalau diperhatikan program yang dimuatkan dalam siaran tv, sebahagiannya adalah bercorak
dokumentari, semi dokumentari dan berita. Ini bermakna selain filem yang bertolak daripada hukum-hakam fiksyen, fakta
juga mempunyai tarikan kepada penonton.
Laporan mengenai perang di Iraq oleh stesen Cable News Network (CNN) dan British Broadcasting
Corporation (BBC) misalnya bukanlah sebuah drama. Tetapi penonton ingin melihat fakta daripada aspek
visual dari newsreel yang diambil pada masa kejadian.
Paling menarik untuk melihat relevan filem dokumentari dalam konteks hari ini ialah sebagai bahan rujukan
mengenai sosial dan antropologi. Filem dokumentari menjadi medium untuk merakamkan peristiwa
sosial, mengulas dan menyuntik sudut pandangan pengarah filem
berkenaan.
Pada Anugerah Academy ke-75 yang lalu, filem Bowling For Columbine arahan Michael Moore dipilih sebagai
filem dokumentari terbaik. Tetapi bagi sesetengah orang, filem dokumentari ini diingati kerana kontroversi
kritikan Moore terhadap Presiden Bush kerana melancarkan perang ke atas Iraq. Moore menggunakan
pentas Anugerah Academy kali ini untuk menyampaikan kritikan yang
antiperang.
Kritikan Moore yang mendapat tepukan gemuruh oleh sebahagian besar tetapi Anugerah Academy itu
sebenarnya mempunyai signifikan dengan filem Bowling For Columbine. Filem dokumentari ini meninjau
semula tragedi berdarah yang berlaku di Columbine High School, di Colorado. Peristiwa pelajar menembak
rakan sekolah telah mencetuskan pemberontakan dalam jiwa Moore dan dia menjejaki dan membuat
kesimpulan mengenai tragedi itu.
Kesan sebuah filem dokumentari seperti Bowling For Columbine sangat besar. Apa lagi setelah memenangi
anugerah di Anugerah Academy. Moore pernah berkata, dia tidak mahu kanak-kanak di Colorado misalnya
menganggap tindakan ganas adalah cara yang betul untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Kalau tidak
masakan kerajaan Amerika Syarikat (AS) sendiri melancarkan keganasan, membunuh kanak-kanak dan
orang awam di Iraq kalau ini bukan cara yang betul?
Moore cuba melihat bahawa keganasan tetap keganasan dan tidak ada apa-apa alasan lain untuk
mewajarkan keganasan sebagai satu formula yang menghalalkan cara. Lalu dalam konteks politik dunia
antara AS dengan negara-negara di Asia Barat, Bowling For Columbine memang
relevan.
Antara paparan yang sangat sinikal dalam Bowling For Columbine ialah filem ini dimukakan dengan adegan
membuka akaun bank dan mendapat selaras senapang. Moore mengakhiri filem ini dengan satu kenyataan
bahawa peluru yang membunuh 12 pelajar dan guru di sekolah tinggi itu dibeli dengan harga 17 sen setiap
sebutir dari Wal Mart Supermarket.
Dokumentari ini tidak sekadar memenangi anugerah tetapi membuka helaian demi helaian sistem sosial di
AS yang ganas. "Kita ada sejarah keganasan," demikian kata Timbalan Presiden National Rifle
Association, Charlton Heston. Keganasan inilah yang mempengaruhi AS dalam membuat dasar luar
negaranya.
Inilah antara peranan besar yang pernah dimainkan oleh sebuah filem dokumentari untuk memperjuangkan
kemanusiaan sejagat. Malah Moore pernah berkata, "Kebanyakan orang kulit putih mereka gagal
menyelesaikan masalah."
Difahamkan Moore akan muncul dengan sebuah dokumentari baru yang menyingkap tragedi serangan
pejuang berani mati pada 11 September 2001 ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.
Filem dokumentari telah digunakan secara meluas untuk menyedarkan manusia terhadap bahaya penyakit
AIDS dan penyalahgunaan dadah. Isu-isu sosial tentu saja menjadi kekuatan kepada sesebuah filem
dokumentari untuk mengutarakan sudut pandangan mengenainya.
Kelantangan pengarah filem dokumentari AS mengkritik dasar kerajaan bukanlah perkara
baru. Malah pengarah filem dokumentari dekad 60-an dan 70-an misalnya menggunakan filem dokumentari untuk
memperlihatkan sikap anti dasar-dasar AS berhubung isu sosial dan kemanusiaan. Peter Biskin dalam
Cineaste misalnya menulis mengenai dokumentari Heart and Mind arahan Peter Davis. Dokumentari ini
mengenai dasar luar AS yang tidak disenangi terutama dalam Perang Vietnam.
Kalau Bowling For Columbine melihat tragedi di Colorado sebagai manifestasi dasar ganas AS, The Murder
of Fred Hampton (1971) misalnya mengenai anggota polis Chicago yang terlibat dengan pembunuhan
pemimpin Black Panther dan penyiasatan yang telus mengenai kejadian itu. Kemudian menyusul Murder In
America (1973) yang mengkritik kejadian pembunuhan sesama sendiri di Amerika. Kedua-dua filem ini
difahamkan lantang dan yang menariknya ia disiarkan menerusi saluran tv
biasa.
Di Amerika dekad yang penuh bara dan kemarahan rakyat, selain filem fiksyen yang menyingkap idealisme
rock, banyak juga filem dokumentari yang menyelinap ke dasar permasalahan selain melemparkan
kritikan.
Pembikin filem dokumentari dilihat sebagai pemerhati sosial yang tekun dan teliti. Kerana itu untuk melihat
sosialisasi dekad yang penuh marah itu, filem dokumentari adalah sumber yang paling
tepat.
Dalam konteks negara ini, kita tidak mempunyai sebuah pun filem dokumentari mengenai beberapa
peristiwa penting selepas merdeka. Di mana filem mengenai peristiwa berdarah 13 Mei? Apakah ada pihak
yang tidak dapat menerima kenyataan bahawa rasisme terus menjadi benteng utama untuk mewujudkan
bangsa Malaysia?
Tahun 1974 pula misalnya tercetus satu lagi peristiwa penting iaitu kebangkitan pelajar memperjuangkan
isu sosial. Ini adalah peristiwa penting, tidak kira sama ada perjuangan pelajar zaman itu relevan atau
sebaliknya. Hanya filem dokumentari yang boleh menceritakan secara jelas dan telus. Tetapi di mana
filem-filem itu? Kenapa Filem Negara Malaysia (FNM) misalnya tidak mengambil inisiatif menghasilkan
dokumentari dan disiarkan di tv?
Kalau RTM misalnya boleh menyiarkan kembali newsreel tragedi di Memali secara berulang kali, apa bezanya
dengan peristiwa 13 Mei atau kebangkitan pelajar tahun 1974?
Sumber: Utusan Online (13
April 2003)
|