Dokumentari
Penerbitan dokumentari negara ada potensi
Temubual oleh: Suzan Ahmad
Sedar atau tidak, program televisyen berbentuk dokumentari semakin mendapat tempat di hati penonton
tanah air. Ini menjadikan penerbit program tempatan lebih berani menerbitkan program berbentuk
demikian. Rancangan terbitan TV3 berjudul Jurnal Alam misalnya antara jenama tempatan yang boleh
dibanggakan. Berikutan saingan program dokumentari terkemuka antarabangsa mendorong anak tempatan, Wong Kew
Lit, mengambil inisiatif menerbitkan sebuah dokumentari berjudul Momentum. Ditayangkan di saluran Astro
Ria, Momentum mengupas segala cubaan, dugaan, halangan serta kejayaan di samping penjelajahan
saintifik dan kajian oleh saintis serta pakar tempatan mencakupi pelbagai bidang di tanah air. Wong
graduan Universiti Malaya (UM) dalam bidang perfileman memperjelaskan aplikasi teknik-teknik produksi
dalam pembikinan Momentum di samping memberikan pandangannya terhadap jurang yang wujud di antara
rancangan dokumentari terbitan tempatan dengan produk yang mendapat pengiktirafan antarabangsa
seperti National Geographic dan Discovery Channel. Wartawan Bi-Pop,
Suzan Ahmad menemu bual beliau untuk mendekati bakat muda ini.
Ceritakan secara ringkas pembabitan awal anda dalam penerbitan program bercorak
dokumentari?
Wong Kew
Lit: Saya mula membabitkan diri dalam pembikinan dokumentari pada 1999. Tetapi saya bermula dengan drama
bersiri Cina, untuk beberapa tahun. Kemudian barulah beralih kepada program yang lebih serius berjudul
Momentum pada 1999 untuk Astro. Musim pertama Momentum 1 sebanyak 26 episod mengambil masa
setahun untuk disiapkan berjalan lancar di mana ia memfokus kepada pencapaian terkini sains dan
teknologi di Malaysia. Antara topik yang dipaparkan termasuklah pembikinan KLIA, Formula One, Penjanaan
Kuasa dan Pembedahan Pemindahan Jantung. Pada tahun 2000, Astro berminat untuk menyambung musim
kedua Momentum. Memandangkan hampir semua bidang dari segi pencapaian tertinggi sains dan teknologi
sudah diliputi, fokus kami beralih kepada manusia, iaitu saintis di Malaysia.
Berapa lamakah proses menerbitkan sesebuah dokumentari? Ceritakan secara ringkas perjalanan
proses penerbitan dokumentari.
Wong Kew
Lit: Ia bergantung pada topik yang difokuskan. Bermula dengan menghubungi ratusan saintis di
Malaysia, menemu bual dan mendengar cerita mereka. Tugas saya ialah mengkaji cerita mereka; adakah ia
kajian yang menarik; kemampuan kami melakukannya; boleh dirakam atau tidak; masa yang sesuai atau
tidak; adakah memerlukan bayaran; adakah saintis ini mampu bercakap; aktif dan serasi dengan
kamera. Daripada ratusan calon, hanya 30 saintis yang terpilih. Kemudian kami pilih yang terbaik dari pelbagai
bidang seperti perubatan, hidupan liar, alam sekitar dan banyak lagi. Kami cuba mengehadkan masa
penggambaran iaitu purata tidak melebihi tiga hingga empat hari untuk satu episod. Ada episod yang lama
dan ada yang cepat, bergantung kepada topik. Tetapi kebanyakan saintis memberikan kerjasama yang
baik. Momentum 2 misalnya memulakan penggambaran September 2001 dan berjaya disiapkan sepenuhnya
Oktober 2001.
Apa yang mendorong anda untuk terus bergiat aktif dalam penerbitan
dokumentari?
Wong Kew
Lit: Malaysia sebenarnya kaya dengan saintis berbakat. Sayangnya golongan ini kurang
mendapat pendedahan daripada pihak media. Tidak seperti National Geographic yang melakukan tugas
cemerlang. Jadi apa nasib penerbit tempatan kita? Lihat saja Majalah Tiga, ia bukan dokumentari malah
lebih kepada program majalah. Oleh itu, dengan gabungan kepakaran sekumpulan saintis yang bekerja
bersama kami meletakkan satu standard untuk menghasilkan produk yang mampu diketengahkan seperti
pendekatan dan standard ala National Geographic dan Discovery Channel. Negara kita semakin
membangun, lebih saintifik, menjadikan sains sebagai salah satu elemen
terpenting dalam proses itu. Untuk itu saintis wajar ditonjolkan.
Apa bezanya antara menerbitkan program berbentuk filem atau drama dengan
dokumentari?
Wong Kew
Lit: Dokumentari berkisar mengenai perkara yang benar, tidak boleh berlakon dan tidak boleh
ditokok tambah. Jika kita mengkaji sejarah, dokumentari datang dahulu sebelum filem. Drama atau filem
pula didasarkan pada kejadian sebenar dalam hidup dan bagaimana kita meletakkan rakaman itu dalam
bentuk yang cerita yang sangat menarik untuk dipersembahkan dalam masa 30 minit. Drama adalah
berbeza, ia umpama lakonan semula, walaupun ia berlaku dalam kehidupan kita tetapi tidak menggunakan
watak asal seperti kejadian sebenar. Jika kita sentuh mengenai produksi pula, drama boleh dilakon dan
dilatih semula sekiranya tidak menepati kemahuan pengarah.
Sebaliknya, dokumentari tidak mempunyai peluang itu. Sekiranya kita terlepas maka rugilah. Dokumentari
memerlukan kesabaran serta sikap kepekaan yang tinggi.
Teknik fotografi bagaimanakah yang digunakan untuk penggambaran dokumentari seumpama
ini?
Wong Kew
Lit: Kami menggunakan dua kamera sebenarnya. Saya mengendalikan satu kamera dan seorang
lagi jurugambar. Bila bercakap mengenai teknik, sebenarnya seluruh dunia menggunakan teknik yang sama.
Perbezaannya hanyalah bagaimana majunya teknologi kamera itu. Tidak seperti drama yang boleh
dilatih, teknik yang digunakan lebih kepada kamera handheld. Dua kamera berjalan sekali gus. Kami juga
menggunakan kamera khas dalam air untuk episod yang membabitkan penyu belimbing, dan juga kamera
waktu malam untuk tidak mengganggu penyu yang sedang bertelur. Tetapi teknik bukanlah
segala-galanya, paling penting ialah perancangan dan reaksi anda serta
respon dan kepekaan. Masalahnya bagaimana kita merebut peluang yang ada, kesabaran dan
sebagainya. Dalam dokumentari, apa yang paling penting ialah pemilihan topik yang difokuskan dan pendekatan apa akan
digunakan.
Apakah antara halangan yang menyebabkan teknologi dokumentari tempatan masih belum mencapai
tahap seperti karya Barat?
Wong Kew
Lit: Wang menjadi antara halangan utama. Kewangan menyebabkan kita tidak mampu
memperoleh pakar sendiri kerana tiada peruntukan bagi melatih dan membayar khidmat
mereka. Mungkin ada, tetapi kebanyakan mereka bekerja untuk penerbitan asing di luar negara. Di samping itu, ia juga
mengehadkan masa untuk penggambaran. Kalau kita ada banyak wang, kita boleh beli waktu yang lebih
untuk menghabiskan satu episod. Tetapi dengan wang terhad, saya perlu melakukan perkara yang sama
tetapi dengan episod yang lebih. Hakikatnya stesen TV hanya mahukan yang terbaik dengan bayaran yang
kecil. Kalau stesen TV mahu menggalakkan penerbit tempatan menghasilkan produk terbaik, mereka patut
bertanggungjawab memberi bayaran setimpal.
Adakah anda fikir karya dokumentari tempatan kalau dibawa ke festival filem di luar negara akan
mendapat perhatian mereka?
Wong Kew
Lit: Saya rasa kita punya potensi dan sedang menghala ke arah itu. Tidak mustahil suatu hari
nanti kita akan di kenali di seluruh dunia kerana produk itu. Lebih-lebih lagi dengan sokongan daripada
stesen TV tempatan. Malangnya situasi yang kami hadapi sekarang ialah keterbatasan yang wujud kerana
stesen TV yang tidak mampu membeli program yang menelan belanja tinggi. Stesen TV hanya mempunyai
peruntukan yang kecil untuk membeli program kami yang mahal.
Harapan anda dalam penghasilan karya dokumentari tempatan. Ke mana hala
tujunya?
Wong Kew
Lit: Saya harap semua stesen TV di Malaysia lebih menyokong produk tempatan. Beri kami
lebih ruang untuk menjelajah dan membangunkan diri. Saya juga berharap lebih ramai lagi penerbit serta
pengarah dokumentari muda tampil ke hadapan agar kita dapat bertukar-tukar pendapat dan berkongsi
idea. Dalam satu industri perpaduan serta kerjasama yang erat perlu kerana suatu hari nanti, dokumentari
bakal menjadi salah satu daripada produk terpenting negara. Negara kita terlalu kaya dengan khazanah
yang masih belum diterokai. Jangan biarkan orang asing dengan sewenang-wenangnya meneroka khazanah
tinggalan yang ada. Kita sebagai anak tempatan patut melakukan sendiri. Kita yang lebih tahu kerana ini
bumi tanah tumpah darah kita. Kita lebih memahami budaya dan cara hidup kita. Di samping itu, saya juga
berharap dapat menerbitkan sebuah program berkaitan kebudayaan Malaysia selain sains dan
teknologi.
Sumber: Berita Harian
Online (6 Januari 2002)
|