Telefilem
(TV)
Telefilem - persaingan yang sihat
Oleh: A. Wahab Hamzah
Tidak lama dahulu apabila filem-filem Hollywood mengalami kesuraman dan penurunan, televisyen
mengambil alih. Filem-filem untuk TV dan siri TV berjaya memberikan sesuatu yang lebih baik dan mencabar
daripada filem. Kalau dulu drama TV bagai berada dalam kelas kedua bagi sebahagian pengarah dan
pelakon terkenal, tetapi hari ini lebih banyak pengarah dan pelakon filem ternama bekerja dalam kedua-dua
medium.
Sebut sahaja nama seperti Clint Eastwood, Robert Zemeckis, Martin Scorsese, Steven Spielberg, Mike
Nichols atau John Sayles, mereka semua pernah atau masih mengarah projek drama atau filem untuk
televisyen. Hal yang sama berlaku di Malaysia.
Kita melihat mereka yang telah mencipta nama di bidang filem kini mengarah untuk drama TV atau mereka
yang telah berjaya dengan televisyen mengarahkan filem pula.
Hari ini pemisahan antara televisyen dan filem semakin menipis dan sukar dibezakan dari aspek disiplin kerja
ataupun olahan visual. Berbanding dengan filem, televisyen bersifat pantas, demografik penonton yang
lebih meluas, pulangan segera dan menguntungkan, dan yang lebih penting televisyen juga membenarkan
eksperimen.
Berbanding filem yang memberikan keselesaan masa bekerja, tetapi ruang masa yang pantas dan terhad
untuk televisyen menjadi hambatan, yang bagi sebahagian pengarah merupakan kelemahan televisyen.
Dengan memahami kekuatan dan hambatan kedua-dua media, tidak ada sebab mengapa televisyen tidak
dimanfaatkan.
Sebagaimana yang banyak dilakukan di negara-negara yang maju industri filemnya, televisyen merupakan
pemangkin kepada eksperimen dan kemajuan industri filemnya.
Industri drama televisyen di Malaysia telah berkembang hebat sejak lebih sedekad lalu, yang menyaksikan
banyak pengarah filem turut melibatkan diri mengarah drama atau telefilem.
Melihat kepada perkembangan dan hubungan antara filem dan televisyen yang begitu rapat, serta
kepesatan teknologi televisyen, wajarlah juga telefilem turut dinilai dan diulas untuk faedah penonton dan
juga industri ini. Saya akan cuba membuat penilaian telefilem ini secara berselang dengan penilaian dan
ulasan filem dalam ruangan ini.
Sebenarnya dalam seminggu enam stesen televisyen utama di negara ini (termasuk satu saluran Melayu
Astro) menyiarkan puluhan drama Melayu.
Dari segi kuantiti, telefilem telah menjadi kuasa dan penjana utama industri filem dan televisyen negara ini.
Persaingan menghasilkan drama-drama ini seharusnya boleh membantu ke arah menghasilkan yang
berkualiti, mampu memberikan variasi stail dan pendekatan naratif, dan berani membuat eksperimen yang
tidak terikat kepada kepentingan komersial.
Sumber: Utusan Online
(30 Julai 1999)

|