Telefilem
(TV)
Judul:
KITA
Pengarah: AZIZ M. OSMAN
Ulasan oleh: A. Wahab Hamzah
Dalam tempoh seminggu antara drama yang saya tonton adalah Kita (Cerekarama TV3), sebuah drama
arahan Aziz M. Osman daripada cerita yang dihasilkan oleh Syed Azidi Syed
Aziz.
Kita adalah sebuah drama sosial yang memaparkan isu keluarga sebagai sebahagian daripada permasalahan
masyarakat.
Sebagaimana lazimnya drama sosial Melayu yang cenderung melodramatik, begitu juga dengan Kita.
Drama ini melihat permasalahan seorang ibu tua yang telah kematian suami dan mendapati sukar
menyesuaikan diri dengan empat orang anaknya, tiga telah berkeluarga dan seorang masih
bujang. Anak-anak yang telah dewasa menghadapi permasalahan sendiri, tetapi si ibu lebih melihat segala
permasalahan itu dari perspektif dirinya sahaja.
Drama ini sebenarnya boleh dilihat dari dua perspektif. Di satu sudut, si ibu melihat bagaimana sukarnya dia
hendak menerima gaya hidup keluarga anak-anak dan menantunya.
Sementara di sudut lain memperlihatkan kesukaran dan dilema anak-anak dan menantu hendak memenangi
hati ibu yang tua dan semakin sensitif, sehingga keluarga anak-anak pula yang semakin kacau. Dan si ibu
semakin sensitif apabila melihat perkembangan keluarga yang tidak sebagaimana yang
diimpikannya.
Permasalahan sebenar di sini hanyalah kesukaran saling memahami antara anak/menantu dan ibu
tua.
Subjek yang dikemukakan oleh Kita adalah subjek yang lumrah, yang telah puluhan kali diterbitkan dan
sebenarnya cukup disenangi oleh banyak penerbit drama televisyen di negara ini ke-rana tidak mudah
mengundang kontroversi. Subjek Kita mudah membuaikan emosi penonton dan juga menjadi melodramatik
dan bersifat melankolik.
Afida Es sebagai si ibu hanyalah watak yang patetik, sementara watak-watak anak yang telah berkeluarga
itu juga terperangkap dengan watak-watak yang klise sepertimana biasanya drama
Melayu, anak-anak menghadapi dilema memahami kesukaran memahami hati si
ibu.
Kelemahan drama ini adalah disebabkan oleh pemahaman dan olahan watak dan plotnya yang tidak
seimbang. Para pelakon utama juga gagal memberikan impak lakonan yang seharusnya dapat
menghidupkan lagi drama ini.
Isu dan kritikan sosial adalah antara kekuatan drama TV dan filem bukan sahaja dari negara ini, tetapi dari
kebanyakan negara Asia. Apa yang lebih penting bagi pembikin drama atau filem ialah keupayaan
mempelbagaikan pendekatan, olahan dan kepekaan pengamatan menangani subjek mereka dalam usaha
menghasilkan drama yang lebih menarik. Inilah yang harus dilakukan oleh Aziz M. Osman dalam Kita.
Sumber: Utusan Online
(30 Julai 1999)

|