Telefilem
(TV)
Judul:
DI PENGHUJUNG JALAN
Pengarah: SALIM SAIFUDDIN
Skrip: Zainul Ariffin
Pelakon: Norish Karman, Zuhairi Ibrahim, Mazlan Tahir dan Raja Nor
Baizura
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Sebuah subjek yang menarik belum tentu dapat menjanjikan sebuah drama yang memikat jika olahan
plotnya tidak dilakukan dengan baik. Tetapi dengan olahan plot yang baik, watak-wataknya diperincikan
dan pengarahan yang mantap, ia boleh sahaja memungkinkan sebuah drama yang menarik walaupun
subjeknya cukup sederhana. Ini adalah iktibar yang harus dilihat dalam drama Di Penghujung Jalan yang
disutradarakan oleh Salim Hj Saifuddin.
Di Penghujung Jalan boleh sahaja menginsafkan dan mendidik dengan mesej yang moralistik. Kisah bayi
yang dibuang kerana keterlanjuran dan penyesalan yang dihadapi oleh pasangan yang bersalah adalah
kisah yang cukup emosional dan dramatik. Subjeknya cukup menarik tetapi apabila olahan naratifnya
meminggirkan beberapa persoalan utama maka ia menjadi agak kacau dan mendatar.
Drama ini dimulakan dengan baik. Dua pasangan yang berlainan masalah bertembung. Pasangan Aina (Raja
Nor Baizura) dan Rosli (Mazlan Tahir) masih belum mempunyai anak walaupun telah lama berkahwin,
manakala pasangan Mastura (Norish Karman) dan Shukri (Zuhairi Ibrahim) yang belum berkahwin
menghadapi masalah apabila Mastura akan melahirkan anak hasil hubungan mereka.
Anak yang dilahirkan oleh Mastura kemudian ditinggalkan di depan rumah Rosli untuk dipelihara oleh
pasangan tersebut. Akibat perbuatan itu Mastura tertangkap dan dihukum enam tahun penjara.
Sebuah skrip drama akan dilihat pada kemantapan plotnya dan kekuatan watak-wataknya untuk
menggerakkan naratifnya. Masalahnya Zainul Ariffin, penulis skrip drama ini mempermudahkan plot dengan
peristiwa-peristiwa yang boleh dipersoalkan. Persoalan bagaimana Mastura boleh meninggalkan bayinya di
hadapan rumah Rosli sedangkan dia sakit teruk ketika itu dengan jarak rumah yang jauh?
Apakah latar kehidupan Mastura dan Shukri yang menyebabkan mereka boleh bertindak sedemikian kejam,
sedangkan pada wajah mereka menunjukkan yang mereka terpelajar dan bukan hidup dalam tertekan.
Mastura yang ditunjukkan insaf dalam penjara (bayangkan, enam tahun di penjara tidak ditunjukkan
sekalipun Shukri melawatnya), anehnya selepas bebas mahu pula tinggal dengan Shukri.
Apakah rasional tindakan Mastura yang begitu mudah menerima Shukri? Persoalan dan perincian latar sosial
dan psikologi watak seperti ini perlu untuk menyakinkan penonton dengan adegan-adegan yang dihasilkan.
Jika tidak kita akan menonton sebuah drama yang penuh mesej moralistik seperti ini tetapi ia tidak cukup
kuat untuk menyakinkan sebagai sebuah drama yang berkesan.
Sumber: Utusan Online
(2 Mac 2001)

|