Telefilem
(TV)
Judul:
GURISAN LUKA
Pengarah: HARIS ABDUL KADIR
Lakon TV: Haris Abdul Kadir
Pelakon: Rosyam Nor, Rozie Rashid, Shahrudin Thamby, Kathy Azean
dan Afida Es
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Dia seorang isteri yang begitu patuh kepada suaminya. Kepatuhannya yang keterlaluan itu menyebabkan
suaminya mengambil kesempatan di atas kelemahannya itu. Biarpun dia turut diingatkan oleh ketuanya dan
ibunya sendiri.
Dia bukan wanita yang tidak punya pendidikan, pergaulannya luas dan pekerjaannya bukanlah yang
bertaraf rendah. Lalu kenapa dia tidak punya kekuatan untuk menghadapi deraan daripada suami dan ibu
mertuanya?
Persoalan yang sedemikian itulah yang agak menganggu sepanjang menonton drama ini. Gurisan Luka yang
ditayang oleh TV3 dalam slot Cerekarama (3 Februari) ditulis skripnya oleh Zunuri Safira dan diarahkan oleh
Haris Abd. Kadir.
Persoalan yang dibawa oleh drama ini tentang hubungan anak menantu dengan ibu mertuanya. Dilema
seorang isteri antara ketaatan kepada suami dan kasih dengan ibunya sendiri adalah cerita lama yang juga
sudah entah puluhan kali telah dimainkan.
Plot drama ini begitu mempermudahkan watak-watak dan naratifnya. Nani (Rozie Rashid) seorang pereka
landskap digambarkan sentiasa bernasib malang, didera suami dan ibu mertua. Wangnya lebih banyak
digunakan untuk membantu suaminya, Zaidi (Rosyam Nor) hingga dia sendiri selalu kesempitan. Zaidi bukan
sahaja tidak bertimbang rasa terhadap si isteri dengan sifatnya yang bengis tetapi juga tidak mempunyai
hubungan yang baik dengan ibu mertuanya (Afida Es).
Penyesalan Zaidi hanya berlaku apabila ibu Nani mati di kampung tanpa Nani sempat melawatnya kerana
pada masa yang sama Nani berkorban menjaga ibu Zaidi yang sakit di rumah mereka.
Ia adalah menyakitkan apabila menonton sebuah melodrama yang mempermudahkan hukum sebab dan
akibat plotnya. Mungkin drama ini menginsafkan penonton dengan watak-watak simpatatik dan binaan
adegan yang meleret-leret sebagai jalan mudah meraih emosi penonton. Tetapi tanpa olahan yang
bijaksana cara begini sekadar menjadikan drama ini lebih membosankan.
Sumber: Utusan Online
(9 Februari 2001)

|