Telefilem
(TV)
Judul:
PRESS
Pengarah: MOHD HAFIDZ OTHMAN
Tulisan: Othman Zainuddin
Pelakon: Hairie Othman, Azhar Che Ree, Thulukanan
Nakkapan, Sharifah Shahirah, Rozie Othman dan Wong Sip Men
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Dunia percetakan adalah subjek yang tidak selalu diperkatakan dalam drama televisyen
sekalipun dalam perkembangan teknologi maklumat percetakan mempunyai kepentingannya
yang tersendiri.
Othman Zainuddin penulis dan pengarah drama televisyen yang tidak asing lagi membawakan
subjek ini dan kisah anak muda yang gigih menjalankan perusahaan
ini.
Press yang diarahkan oleh Mohd. Hafidz Othman (anak Othman Zainuddin) mengisahkan
tentang Halim (Hairie Othman) yang pada mulanya bekerja sebagai pekerja am di sebuah
syarikat percetakan yang dimiliki oleh Govindaraj (Thulukanan
Nakkapan).
Tetapi akhirnya Halim mampu menguasai syarikat percetakan tersebut setelah Govindaraj
mengambil keputusan kembali ke India dan menyerahkan syarikat tersebut
kepadanya.
Keputusan Halim untuk bekerja di percetakan tersebut tidak menyenangkan tunangnya
(Sharifah Shahirah) lalu memutuskan pertunangan mereka. Sekali imbas drama ini seakan
mengambil latar masa tahun 1970-an daripada suasana kilang percetakan dan olahan
ceritanya.
Tetapi apabila ditunjukkan suasana kilang baru percetakan dan kemunculan teman baru bekas
tunang Halim, nyata drama ini mengambil latar masa kini.
Subjek drama ini menarik tetapi watak Halim tidak meyakinkan, dipermudah dan ini ditambah
dengan lakonan yang sederhana oleh Hairie Othman. Memang benar Halim seorang pekerja
yang rajin kerana Mahmud (Azhar Che Ree) seorang pekerja lama di percetakan tersebut
malas dan suka ponteng kerja.
Tetapi apakah kualiti lainnya yang ada pada Halim hingga membolehkan dia menguasai
percetakan tersebut dengan mudah? Malah timbul keraguan apabila dia menjadi penerbit
jurnal politik Asia yang telah ditangani berpuluh tahun oleh Govindaraj yang asalnya seorang
wartawan yang disegani.
Bagaimanapun watak Mahmud yang tipikal dan hampir stereotaip dalam drama-drama
Melayu dibawakan dengan cukup berkesan oleh Azhar. Watak ini mempunyai hampir semua
kualiti negatif tetapi kemudiannya insaf lalu cuba memperbaiki
diri.
Watak seorang wanita yang malu kerana tunangnya kotor ketika bekerja tidak seharusnya
berlaku dalam drama suasana hari ini. Press sebuah drama yang sederhana tetapi mampu
menjadi drama yang menarik jika beberapa kelemahan dalam olahan dan arahan adegan
drama ini dapat diatasi.
Bagaimanapun Mohd. Hafidz membuktikan dia mempunyai masa depan untuk menjadi
pengarah yang baik asalkan lebih teliti dan sensitif dalam membentuk setiap arahan
adegannya.
Sumber: Utusan Online
(11 Mei 2001)

|