Telefilem
(TV)
Telefilem didik penonton menilai filem
Oleh: A. Wahab Hamzah
Seorang pembikin filem mengeluh. Katanya, industri filem kita dibanjiri oleh drama-drama televisyen. Filem
terus terpinggir kerana mereka yang terlibat di bidang ini lebih berminat untuk menghasilkan filem untuk
televisyen (telefilem).
Keadaan sedemikian ini berbahaya kepada industri filem katanya. Memang risiko untuk telefilem lebih kecil
berbanding dengan sebuah filem di pasaran yang belum tentu penghasilannya. Tetapi jangan biarkan
industri filem terus tenggelam dengan timbunan drama-drama TV dan pengusaha filem lebih ghairah
menghasilkan drama sahaja kerana faktor pulangan yang dikatakan tidak merugikan.
Sementara seorang lagi teman dari industri filem mengatakan, drama dan telefilem itu perlu. Justeru kerana
risikonya yang kecil itu kemungkinan untuk berkreatif lebih terbuka berbanding filem. Maka usaha-usaha
pembikinan telefilem adalah penyokong utama industri filem.
Kemajuan teknologi televisyen telah menipiskan lagi perbezaan nahu filem dan telefilem. Oleh itu kemajuan
dan perkembangan kedua-dua bidang ini penting dalam memajukan industri filem tempatan. Pada masa
yang sama pembikinan drama akan menjadi permulaan yang baik kepada pembikin filem muda.
Sungguhpun pada realitinya pembikin drama TV tidak semestinya orang muda atau orang yang baru.
Bagaimanapun, dalam keadaan stesyen televisyen kebanjiran drama dan telefilem kita sebenarnya masih
jarang dapat menonton telefilem atau drama-drama yang bermutu dan meninggalkan kesan.
Barangkali kita masih ingat lagi RTM dalam zaman Drama Minggu Ini (DMI) telah menyiarkan beberapa
drama yang cukup berkualiti dari aspek cerita dan pengarahan hingga telah meninggalkan kesan yang
mendalam kepada penonton. Beberapa buah drama yang berjaya meninggalkan kesan mendalam antaranya
Tuk Perak, As-Syura, Bila Angin Menderu, Terbang Bangau, Anjang Aki, Pemandu Teksi, Jejak Bakti dan
Dayang Suhana.
Antara penulis yang menghasilkan skrip drama pada waktu itu adalah Jaaffar Khan, Zakaria Ariffin, Othman
Hj. Zainuddin, Talib Hassan, dan diarahkan oleh pengarah drama yang tidak akan mudah berkompromi
dengan kualiti seperti Abdullah Zainol, Abdul Aziz Abbas dan Hasiah Ariffin. Dengan karyawan seperti ini
para penonton televisyen sentiasa menanti-nanti kemunculan drama-drama yang ditayangkan di dalam
rancangan DMI.
Bagaimanapun peralihan masa dan sosial serta tuntutan stesyen televisyen yang mahukan rating juga
menyebabkan pembikin telefilem mula meneroka tema-tema baru dan moden. Telefilem yang disiarkan oleh
televisyen hari ini banyak berkisar dengan kehidupan dunia korporat yang kompleks, dunia remaja dan juga
kecenderungan meninjau penggambaran ke luar negara dalam usaha mengalih landskap lokasi yang
berbeza. Barangkali perbezaan landskap geografi ini dapat menjadi faktor penarik sesebuah drama.
Tidak hairan kalau kita melihat di satu ketika pembuat telefilem membuat penggambaran di England,
Istanbul, Australia, New Zealand dan India. Tetapi di sebalik keindahan landskap yang menjadi hiasan
lokasi, telefilem-telefilem ini tidak lebih dari hanya kisah percintaan biasa yang ada kalanya kelihatan tidak
matang yang dibungkus dengan pemandangan yang indah.
Drama-drama ini malah adakalanya lebih banyak menimbulkan kontroversi akibat garapan dan pengolahan
plot yang tidak cermat serta meleret-leret. Contoh yang jelas adalah siri Cinta Antara Benua dan Salam
Taj Mahal.
Sungguh pun demikian beberapa buah telefilem yang ditayangkan sama ada di TV1, TV3 atau rangkaian
ASTRO telah memperlihatkan olahan yang baik dan semakin matang.
Nama-nama pengarah telefilem yang baik seperti Meor Hashim Manap, Adman Salleh, Kamal Ishak, Ismail
Yaakup, Erma Fatima, dan Ahmad Ibrahim. Drama-drama mereka selalunya dapat dirasakan oleh penonton
seawal drama tersebut ditayangkan. Pengarah-pengarah yang baik ini terkenal kerana kecerewetan kerja
dan cukup memahami medium yang mereka kerjakan.
Beberapa buah drama kelihatan sudah berani meneroka tema-tema yang jarang disentuh, atau biarpun
menyentuh tema lama tetapi diberikan olahan yang segar.
Contohnya, baru-baru ini kita berpeluang menonton telefilem Perempuan Seorang Sutradara di TV3 dan
Menjaring Mentari lakonan Umie Aida, Juhara Ayub dan Jasmin Hamid di TV1. Kedua-dua buah drama ini
adalah buah tangan karyawan muda. Olahan dan arahannya baik. Telefilem atau drama yang baik penting
kerana ia akan melatih penonton menghargai seni drama dan filem yang dihasilkan oleh karyawan
tempatan.
Akhirnya usaha kita untuk menghasilkan drama TV atau filem tempatan yang berkualiti akan tercapai dan
yang lebih membanggakan penonton kita menghargai dan menyokongnya.
Ini yang akan membantu industri televisyen dan filem kita. Apa yang penting, pihak stesen televisyen
harus lebih teliti dalam memilih drama-drama yang bermutu dengan meletakkan ukuran tertentu dalam
menilai drama yang hendak ditayangkan oleh televisyen. Sayangnya banyak drama-drama yang baik yang
ditayangkan oleh stesen televisyen tidak diperkatakan di dalam media.
Ini merugikan kerana telefilem atau drama TV mempunyai nilai artistik dan seninya yang tersendiri. Seperti
yang dikatakan di awal tulisan ini, filem dan drama televisyen semakin nipis bezanya. Selain pendekatan
yang hampir sama, dalam konteks Malaysia, pembikin filem dan telefilem adalah daripada pemain yang
sama.
Oleh itu telefilem yang ditayangkan di televisyen wajar diberi perhatian dan diperkatakan oleh pengkritik
kerana dengan cara itu kita membantu meningkatkan industri dan kualiti seni telefilem atau drama TV yang
ditayangkan. Selain itu ia akan membuka perbincangan yang lebih sihat dan telefilem itu tidak akan
dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa diperkatakan. Jika ini berlaku alangkah ruginya.
Kerana itu, ruangan ini memulakan format baru iaitu turut mengulas drama-drama TV atau telefilem yang
ditayangkan di televisyen sungguhpun pada masa yang sama akan turut membuat kritikan filem-filem
tertentu.
Sumber: Utusan Online
(19 Januari 2001)

|