Telefilem
(TV)
Judul:
ERTI SEBUAH KEPULANGAN
Pengarah: TONY FRANCIS GITOM
Skrip : Zarihah Hassan
Pelakon : Osman Jailani, Noraini Morat, Ismail Din, Faisal Hussein, Wong Sip
Nen, Nand Kumar dan lain-lain
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Saya selalu percaya drama televisyen di sebalik keterbatasannya tetap mempunyai keistimewaannya yang
tersendiri. Memang televisyen selalu mahukan yang pantas, tetapi itu bukan alasan untuk
mempermudahkan dan mengetepikan penilaian artistik.
Asal sahaja bijak memanfaatkan ruang artistik dan memahami keterbatasannya, drama televisyen adalah
ruang eksperimen yang menarik.
Drama Erti Sebuah Kepulangan yang ditayangkan baru-baru ini nyata mempersia-siakan peluang yang
diberikan. Subjek yang hendak dibawanya sememangnya menarik dan memungkinkan sebuah drama
televisyen yang menarik. Sayangnya naratif drama ini tidak dibina dengan baik, watak-watak tidak
diberikan penilaian sewajarnya. Akibatnya drama yang seharusnya menarik ini berjalan dengan tidak
menentu.
Apatah lagi pengarah mengambil jalan mudah untuk menutup kelemahan ini dengan menyelitkan lagu-lagu
popular. Begitu juga dengan latar muzik yang boleh dipersoalkan signifikannya untuk drama ini melainkan
untuk menguatkan kesan melankolik. Syot-syot Kuala Lumpur yang tidak memberikan banyak makna dalam
menyokong binaan adegan. Serupa juga kewajaran selitan siaran sebuah stesen radio swasta yang
diulang-ulang dalam adegan tertentu drama ini.
Watak Hariman yang empat puluh empat tahun tidak kembali ke tanah air, tiba-tiba terasa kerinduan dan
mahu kembali untuk bertemu dengan adik-adiknya. Tetapi dia menemui kekecewaaan kerana adik-adiknya
tidak mahu menerima kepulangannya sebaliknya teman-teman lamanya yang bersungguh-sungguh
meraikannya.
Hariman pulang kerana tahu ajalnya sudah hampir manakala adik-adiknya mempunyai prasangka yang
Hariman mahu menuntut harta peninggalan ayahnya. Plot awal yang memang menarik, tetapi
perkembangan seterusnya mengecewakan. Hariman kelihatan begitu naif hingga tidak mengetahui langsung
kemajuan dan pembangunan pesat yang berlaku di Malaysia.
Kenaifan pengetahuan Hariman digunakan oleh penulis skrip untuk menyumbatkan promosi tentang
pembangunan negara melalui cerita sejarah oleh wartawan sebuah akhbar dan syot-syot sekitar Kuala
Lumpur.
Ah, mudahnya! Watak Hariman yang dilakonkan oleh Osman Zailani dan watak-watak lain di sekitarnya
kelihatan kurang meyakinkan, begitu naif dan tidak bermaya disebabkan latar dan realiti watak yang tidak
difahami.
Tanpa pembinaan watak yang meyakinkan, tidak mungkin plot dapat berkembang dengan baik dan
seterusnya menghasilkan naratif yang menarik. Drama ini mempunyai subjek yang cukup menarik tetapi
pengolahan plot yang lemah mengacau drama ini.
Sumber: Utusan Online
(23 Februari 2001)

|