Telefilem
(TV)
Judul:
JODOH KITA
Pengarah: SAM HUSNI HASSAN
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Drama ini samalah seperti puluhan drama tempatan yang disiarkan di kaca TV kita. Tidak banyak yang
benar-benar memikat, mampu mengangkat dan mencabar pemikiran. Olahan subjeknya tidak cukup matang
dan kelemahannya masih ketara. Sungguhpun begitu, di sebalik beberapa kelemahannya, ada persoalan
yang menarik cuba dibawakan oleh drama Jodoh Kita yang disiarkan oleh TV3 ini. Subjeknya tentang dilema
yang dihadapi oleh wanita bertubuh besar atau gemuk. Wanita yang bertubuh sedemikian memang sering
menjadi bahan lelucon bagi komedi slapstick yang bercita-rasa
rendah.
Persoalan yang diangkat oleh drama ini sebenarnya mengingatkan saya kepada dilema hampir sama yang
dihadapi oleh Camryn Manheim pelakon siri TV The Practice terbitan TV ABC yang ditulis dalam buku
autobiografinya yang cukup popular iaitu Wake-up,I'm Fat. Buku ini melihat tentang imej yang sekian lama
melekat kepada wanita bertubuh besar, prejudis, imej stereotaip dan bias terhadap mereka bertubuh
besar. Selalunya berakhir dengan diskriminasi saiz dan menjadikan mereka dilayan seperti warga kelas
dua.
Pengalaman ngeri Camryn yang berusaha untuk mempunyai tubuh yang langsing kerana program profesion
pelakon yang hendak diikutinya menuntut standard kesempurnaan fizikal yang cukup tidak
realistik, hingga hampir menyeret Camryn dalam kemusnahan. Dia menjadi ketagihan dadah dan
perokok.
Camryn akhirnya harus berjuang sendiri dan membuktikan fizikal dirinya bukan satu kelemahan sehingga dia
membuktikan dirinya menjadi cukup popular dalam siri TV The Practice yang melayakkan dirinya memenangi
Anugerah Emmy untuk pelakon Pembantu Terbaik. Prejudis dan imej salah yang ditonjolkan oleh media
banyak meninggalkan kesan negatif dan memburukkan keadaan.
Dilema dan kepedihan yang dihadapi oleh Camryn Manheim dan dalam drama Jodoh Kita adalah Syanie dan
Syalie sebuah persoalan yang cukup sensitif dan emosional yang jika diolah dengan berhati-hati dan
bijaksana akan memungkin sebuah drama yang cukup menginsafkan. Mereka bertubuh besar digambarkan
stereotaip dan sukar mendapat teman lelaki kerana fizikal mereka.
Syanie berkenalan dengan Azman (Salih Yaakub) secara tidak sengaja apabila dia bertembung dengan
Azman di luar sebuah kedai bunga. Azman yang baru sahaja dikecewakan oleh teman wanitanya terus
terpikat dengan Syanie dan selepas itu mereka berkahwin. Selepas itu Syalie, teman Syanie juga turut
berkahwin dengan Akil (Din Glamor) teman serumah Azman. Pasangan itu masih tinggal serumah dan
mereka juga kemudian dikurniakan anak-anak kembar. Subjek yang disentuh oleh drama ini sebenarnya
jarang disentuh dan diolah dengan sensitif dan bijaksana. Kerapnya wanita bertubuh besar seperti Syanie
lebih selalu diberikan watak stereotaip, digambarkan untuk membawakan watak lucu dan slapstick. Drama
ini mahu membicarakan subjeknya dari sudut lain, melihat kemungkinan yang lain, tetapi akhirnya terikut
dengan kelemahan biasa drama Melayu dan watak-watak yang mudah.
Watak Syanie dan Syalie dibina lebih untuk menghasilkan unsur kelucuannya berbanding usaha untuk
memahami kompleksiti emosi dan permasalahan mereka. Kalaulah penulis skrip drama ini sedia bekerja lebih
sedikit, berusaha keluar daripada lingkungan kebiasaan, cuba memahami hakikat sebenar dilema dan
permasalahan Syanie dan temannya Syalie, pastilah drama ini tidak akan menjadi komedi slapstick yang
hanya mahu dilihat dari unsur kelucuannya sahaja. Drama ini
berpotensi.
Perhatikan babak-babak Syanie dan Syalie berdepan dengan realiti imej yang menyukarkan mereka
mendapat teman hidup, realiti kehidupan Syanie berumah tangga dengan beban kerja dan perasaan
cemburunya terhadap suami jika diolah dengan baik memungkin drama ini bukan sahaja cukup menarik
tetapi persoalannya sudah tidak menjadi remeh. Tetapi pengarah drama ini lebih suka mengambil jalan
mudah dalam mengolah plotnya, lebih mahu cepat menamatkan
kisahnya.
Sayangnya pengarah (Sam Husni Hassan) dan penerbit drama ini juga turut terperangkap dengan pemikiran
stereotaip tentang imej wanita bertubuh besar sebagai bahan lelucon, maka dia tidak berusaha untuk
keluar melihat mereka ini dari sudut lain yang lebih benar dan cuba memahami realiti emosi
mereka.
Tanpa berusaha memahami dan lebih sensitif dengan subjeknya menjadikan drama ini sebuah komedi biasa
yang hanya mahu memancing kelucuan dari kelemahan subjeknya. Sedangkan subjek drama ini bukan
sebuah kelucuan sebagai cara mudah untuk memberikan hiburan, tetapi drama ini seharusnya tentang
kepedihan yang dialami oleh wanita seperti Syanie dan Syalie.
Mereka dipandang dengan bias, stereotaip dan prejudis. Imej dan kesan negatif ini tidak seharusnya
dibiarkan berterusan dikelirukan didalam sebuah drama. Camryn Manheim telah membuktikan bahawa tidak
benar wanita bertubuh besar tidak boleh digambarkan sofistikated, sensual dan meyakinkan. Dia telah
membuktikan tanggapan itu hanyalah sebuah falasi. Maka drama Jodoh Kita harus pergi lebih jauh dari itu.
Sumber: Utusan Online
(26 Januari 2001)

|