Telefilem
(TV)
Judul:
CINTA TABLOID
Pengarah: AZHAR SULAIMAN
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Setelah menonton beberapa buah drama televisyen yang kurang memberansangkan dalam bulan ini
kemunculan drama ini agak menarik perhatian. Subjek dan persoalannya menarik. Mengisahkan kehidupan
dan konflik sepasang suami isteri yang masih muda dalam menempuh gaya kehidupan pada zaman
moden. Drama ini tambah kelihatan berkemilau di permukaan dengan lokasi penggambarannya di luar
negara.
Bagaimanapun kepada mereka yang biasa menonton drama-drama terbitan Kuasateks, lokasi luar negara
sudah hampir sinonim dengan drama-drama terbitan mereka. Sebelum ini mereka telah menggunakan lokasi
di England, India, New Zealand,Turki dan beberapa negara lain.
Apa pun lokasi luar negara bukanlah kelebihan utama bagi sesebuah drama. Lokasi dan seting bukan dipilih
hanya kerana keindahannya sahaja, tetapi yang penting sejauh mana lokasi atau seting itu dapat
memberikan mood, memaknakan atau menghidupkan karakter filem atau drama
tersebut.
Cinta Tabloid adalah daripada skrip tulisan Mohd. Noor Kadir. Dalam drama ini lokasi luar negara cuba
diwajarkan melalui pertukaran Elin (Zizie Ezette) yang telah dinaikkan pangkat dan bertugas di cawangan
syarikat Opus di Christchurch New Zealand.
Elin yang baru berkahwin dengan Aliff (Azhar Sulaiman) menghadapi dilema pada awalnya untuk menerima
tawaran syarikat tetapi galakan daripada suaminya menyebabkan Elin setuju bertugas di New Zealand.
Tinggal di tempat baru dengan budaya kehidupan yang berlainan secara perlahan menukar bentuk
kehidupan dan pemikiran Elin apatah lagi setelah dia menemui Dino (Ahmad Idham) yang juga bertugas di
syarikat yang sama.
Elin dan Aliff adalah lambang kehidupan sepasang suami isteri dalam suasana kehidupan serba
moden. Sungguhpun mereka masih terikat dengan faktor tradisi melalui perkahwinan, tetapi perkahwinan bukan
faktor yang mengikat atau penghalang kepada perkembangan karier
masing-masing.
Bagaimanapun Elin sebenarnya bukanlah seorang wanita yang bercita-cita tinggi atau sangat
mementingkan kerjayanya. Dari babak-babak akhir drama ini kita tahu rumah tangga Elin gagal adalah
disebabkan hubungan sulitnya dengan teman sepejabat, Dino.
Berada jauh di luar negara dan tidak mendapat perhatian daripada suami tidak boleh menjadi alasan kepada
Elin untuk bebas bersama Dino. Tetapi mengapa Dino tidak melawat Elin yang berada di Christchurch
selama setahun lebih atas alasan sibuk dengan pekerjaannya adalah juga sukar
diterima.
Sedangkan Aliff kemudian dengan mudah boleh pula berada di Christchurch menemani isteri barunya Mawar
(Chempaka Emalin). Ini adalah babak-babak penting drama ini yang menimbulkan konflik
utama.
Perubahan sikap Elin dari seorang isteri yang setia dan sentiasa merindui suami kemudian jatuh hati dengan
lelaki lain tidak digarap dengan persoalan yang kuat. Begitu juga dengan sikap
Aliff.
Persoalan yang sukar, kompleks dan penuh konflik dileraikan dengan cara yang mudah dan sebenarnya
kurang meyakinkan. Dalam drama ini Mohd. Noor Kadir memberikan balasan dan hukuman moral dalam satu
bentuk penamat yang dipermudahkan.
Elin yang mengandung tiga bulan (akibat perbuatannya dengan Dino) ditinggalkan oleh Dino yang
berkahwin dengan gadis lain, dan Aliff berkahwin dengan teman baik Elin sendiri iaitu Mawar. Persoalan
yang timbul bagaimana Dino dengan mudah boleh bertindak meninggalkan Elin sedangkan Elin kembali ke
Kuala Lumpur tidak sampai pun tiga bulan, melainkan Dino sudah merancang dari awal, tetapi plot drama ini
tidak memberikan indikasi awal untuk penamat sedemikian.
Kemudian Elin boleh terperanjat apabila bertembung dengan Mawar yang berkahwin dengan bekas
suaminya tanpa Elin mengetahuinya? Inilah bentuk penamat yang sengaja mahu memberikan kejutan
kepada penonton tetapi ia dihasilkan dengan tidak meyakinkan dan berkesan. Memberikan penamat cerita
yang berkesan dan bijak bukanlah usaha mudah dalam penulisan skrip drama.
Bagaimanapun di sebalik kelemahan ini, Azhar Sulaiman sebagai pengarah dan juga bertindak sebagai
pengarah seni dapat memanfaatkan lokasi dan seting untuk membina adegan dengan meyakinkan. Seting
pejabat di Christchurch dan kehadiran pelakon pembantu menghidupkan lagi adegan-adegan dalam sebuah
pejabat reka bentuk dalaman. Set tidak lagi sekadar hiasan atau untuk sengaja membezakan lokasi di luar
negara. Walaupun beberapa adegan berlibur di pusat peranginan sekadar menjadi shot penghias demi
mengisi masa.
Cinta Tabloid yang membawa persoalan dan permasalahan kehidupan moden kepada pasangan muda ini
boleh menjadi lebih menarik dan berkesan jika plot dan perkembangan watak-wataknya lebih
diperhalusi. Keindahan lokasi dan seting akan menjadi lebih bermakna dengan aspek plot dan wataknya turut diberi
keseimbangan.
Sumber: Utusan Online
(30 Mac 2001)

|