Telefilem
(TV)
Judul:
ATUK, MAK DAN AKU
Drama Atuk, Mak dan Aku yang mengisi slot Citra di TV1 pada 26 Jun lalu dianggap berjaya sebagai hiburan
biasa. Temanya mudah sahaja mengenai kisah masyarakat berkisar dalam dua buah keluarga yang
menghadapi konflik.
Keluarga bapa menetap di kampung dan keluarga anak menetap di bandar. Konflik itu berpunca daripada
sikap anak bernama Ramlah (Liza Abdullah) yang bertelagah dengan
bapa.
Pertelagahan bermula sejak bapanya, Tuk Bakar (M. Rajoli) yang menduda berkahwin dengan Shamsiah
(Mazita Aziz). Ramlah yang dihasut oleh kenalan terdekat semakin membenci ibu tirinya
itu.
Ramlah juga enggan balik kampung ke rumah bapanya yang terletak jauh di Chini, Pahang. Protes itu
mengakibatkan anak lelaki Ramlah, Norman (Mohd. Eric Fazi) menghadapi tekanan jiwa kerana merindui
datuk dan neneknya di kampung.
Norman yang digambarkan sebagai budak peringkat sekolah rendah yang cerdik, tetapi suka merajuk itu
pada suatu hari bertindak nekad lari dari rumah kerana mahu pergi ke rumah
datuknya.
Kehilangan Norman mengakibatkan ibu bapanya menjadi kelam kabut dan usaha mencari telah dibuat ke
serata tempat rumah Tuk Bakar, tetapi hampa.
Cuma pada hari berikutnya barulah Norman benar-benar tiba ke rumah datuknya itu. Dalam pada itu
Shamsiah merasakan dirinya amat bersalah kerana sejak kehadirannya sebagai isteri Tuk Bakar telah
mengakibatkan keluarga itu menjadi porak peranda.
Suatu hari Shamsiah nekad meminta izin dari Tuk Bakar untuk balik ke Terengganu, tetapi sebelum sempat
berbuat demikian, Ramlah dan suaminya, Faizal (Khairil Anwar) tiba dengan kereta di perkarangan
rumah.
Tujuan kepulangan Ramlah dan Faizal ialah untuk mencari Norman. Peluang terserempak dengan Shamsiah
di halaman rumah itu telah dimanfaatkan oleh Ramlah untuk memaki hamun ibu tirinya dengan pelbagai
tuduhan liar.
Pada masa yang sama Norman dan Tuk Bakar pulang dari memancing ikan di Tasik Chini. Tuk Bakar cuba
mententeramkan keadaan, tetapi gagal.
Situasi semakin memuncak apabila Norman lari kerana enggan pulang ke bandar gara-gara dipaksa oleh
ibunya.
Norman lari ke arah jeti tasik dan semua orang mengejarnya. Dia gagal ditangkap hingga sempat melarikan
diri dengan perahu kecil ke tengah tasik.
Suasana menjadi kelam kabut dan hanya Shamsiah yang berani terjun berenang ke dalam tasik sekali gus
menggadai tatkala perahu yang dinaiki Norman karam.
Drama Atuk, Mak dan Aku karya Mohamed Nor Bujang itu adalah berdasarkan tema lama, tetapi ia digubah
semula untuk menyampaikan mesej betapa bahayanya sikap busuk hati, tamak haloba, kuat merajuk, putus
asa dan emosional tanpa pegangan agama yang kukuh hanya akan memusnahkan kerukunan institusi
kekeluargaan.
Namun demikian dikhuatiri kesan negatif daripada drama swasta Atuk, Mak dan Aku ialah meracuni
pemikiran kanak-kanak yang terpengaruh dengan watak Norman sebagai
`Aku'.
Drama ini seperti menggalakkan kanak-kanak mencari jalan keluar daripada konflik keluarga dengan cara
mudah iaitu lari dari rumah sambil disertakan kata-kata putus asa dan lebih rela cepat mati sebelum
berusaha mengatasi sesuatu masalah.
Adalah tidak dapat dipastikan pengarah drama swasta berkenaan menyedari atau tidak bahawa secara
halus persembahannya itu menabur kesan negatif kepada generasi
kanak-kanak?
Drama swasta tempatan perlu menerapkan mesej atau formula penyelesaian yang bernas terhadap sesuatu
konflik yang dipaparkan kerana medium berkenaan berperanan untuk menghibur dan mendidik
masyarakat.
Sampai bila drama TV kita mahu disogokkan dengan tema di sekitar kisah dendam, cemburu,
bergaduh, menangis, putus asa dan kurang bijak bagi menghuraikan sesuatu kekusutan?
Sumber: Utusan Online
(1 Julai 2002)

|