Telefilem
(TV)
Judul:
GOOD MORNING CIKGU
Pengarah: WAN HUSSIN ISMAIL
Ramai penonton yang menyatakan bahawa drama swasta Good Morning Cikgu adalah persembahan menarik
kerana ia diangkat daripada tema yang terkini mengenai isu kepentingan mengusai Bahasa Inggeris di
dalam sistem pendidikan negara kita.
Good Morning Cikgu yang mengisi slot Cerekarama TV3 itu telah disiarkan pada 24 Ogos
lalu.
Persembahan itu menggandingkan pelakon utama Zizie Ezzete (Cikgu Alice Suraya) dan Radhi Khalid
(Budin) sebagai pemuda kampung yang bercinta dengan guru muda
itu.
Cerekarama keluaran Sazawan Supply Sdn. Bhd., itu ditulis skrip oleh Azlina Pa'wan di bawah arahan Wan
Hussin Ismail.
Good Morning Cikgu dikatakan menarik bukan sahaja kerana mengangkat tema pendidikan bahasa Inggeris
yang menjadi isu terkini negara, malah kekuatannya banyak bergantung kepada unsur jenaka dan aksi
cemerlang pelakon berbakat Zizie Ezzete.
Cikgu Alice Suraya digambarkan sebagai siswazah lulusan luar negara yang membuat pilihan terakhir untuk
memohon menjadi guru.
Beliau dihantar ke Tanjung Piandang dengan kereta oleh ibu bapanya lakonan Zaidi Omar dan Hamidah
Wahab pada waktu malam melalui kawasan kampung yang gelap gelita dan menyeramkan. Kebetulan pada
malam itu kawasan berkenaan bergelap kerana terputus bekalan elektrik sekali gus menyulitkan ibu bapa
Cikgu Alice Suraya mencari lokasi rumah sewa untuk anaknya yang dijanjikan dengan Kak Eton (Sheila
Rusly).
Pada peringkat awal menetap di situ, Cikgu Alice amat kekok untuk menyesuaikan diri dengan
keadaan, tetapi Kak Eton yang lebih dewasa banyak memberi keyakinan menerusi kata-kata
perangsang.
Suatu hari ketika Cikgu Alice Suraya menyidai kain, tiba-tiba seekor lembu kepunyaan Budin tersesat ke
rumah sewa tersebut dan sekali lagi guru itu menjerit terkejut sehingga kain di ampaian jatuh
bertaburan.
Budin pemuda gembala lembu tersebut datang menyelamatkan keadaan dan sejak itu terjalin persahabatan
serta melahirkan bibit-bibit percintaan sehingga ke gerbang
perkahwinan.
Di sekolah pula Cikgu Alice Suraya bertugas sebagai guru bahasa Inggeris, tetapi beliau kecewa kerana
para pelajar didapati begitu pasif kerana subjek itu amat asing kepada mereka, apatah lagi tidak
diwujudkan sesuatu kaedah baru pengajarannya.
Penulis skrip dan pengarah Good Morning Cikgu tidak memanfaatkan medium drama untuk menampilkan
sesuatu formula sebagai mesej untuk membuka minda golongan pendidik sebenar dalam mencipta
pendekatan baru untuk mengajar bahasa Inggeris yang berkesan kepada para
pelajar.
Sepatutnya satu pendekatan motivasi dicipta menerusi cerekarama itu, misalnya dengan menggunakan
kreativiti watak Cikgu Alice Suraya mencipta kaedah pengajaran Bahasa Inggeris yang diselang seli dengan
terjemahan ke dalam bahasa Melayu agar mudah difahami dan ingatannya kekal tertanam di dalam otak
setiap pelajar.
Tentulah sesuatu yang memeningkan para pelajar yang tidak mempunyai asas mendalam mengenai Bahasa
Inggeris jika pengajarannya semata-mata disumbat dengan bahasa asing itu, tanpa sebarang terjemahan
mengikut kondisi khalayaknya.
Mungkin saranan ini dianggap sebagai kaedah rojak, tetapi ia sebenarnya amat berkesan untuk mengajar
bahasa Inggeris khususnya kepada para pelajar di luar bandar kerana segala kaedah terjemahan oleh guru
itu akan kekal di dalam memori mereka.
Sumber: Utusan Online
(2 September 2002)

|