Telefilem
(TV)
Judul:
SEPUTIH SALJU SEBENING KASIH
Pengarah: DIN CJ
Cerekarama berjudul Seputih Salju Sebening Kasih arahan Din C.J. siaran TV3 yang disiarkan pada 29 Jun
lalu berupaya menerapkan mesej masyarakat penyayang.
Kisah yang dibentangkan adalah mengenai seorang kanak-kanak perempuan terencat akal dipisahkan
dengan ibu bapa dan adik beradiknya.
Lebih malang tidak dipaparkan kanak-kanak istimewa yang sudah besar itu dihantar belajar ke sekolah khas
meskipun beliau daripada kalangan keluarga berada.
Kanak-kanak menerusi watak Husna itu juga dipisahkan dengan keluarga dari bandar apabila dia dihantar
tinggal bersama neneknya (Rosnani Jamil) di kampung.
Meskipun cacat, Husna juga tetap mempunyai perasaan kasih sayang dan ingin disayangi. Husna ingin
hidup bergembira dan disayangi oleh Hana (kakak) dan Aiman (abang).
Ketika mendapati Aiman luka kerana dibelasah oleh budak-budak nakal sewaktu ke kampung pada musim
cuti sekolah, Husna yang berhati mulia cuba mengubati kecederaan itu dengan minyak
gamat.
Malangnya tangan murni Husna yang mahu menyapu ubat ditepis oleh Aiman kerana membenci adiknya
itu.
Pada satu adegan yang lain pula, Husna tidak mahu makan malam kerana bersimpati dengan
abangnya, Aiman yang tidak dibenarkan makan bersama sebagai hukuman akibat mendapat markah yang rendah di
dalam peperiksaan.
Begitu juga dengan Hana yang membenci Husna kerana setiap kali Husna ingin bermain dengannya di dalam
rumah, pasti Hana akan membaling bola supaya Husna pergi main
jauh-jauh.
Tiga pelakon utama kanak-kanak yang menghidupkan cerekarama ini ialah Tjud Intan, Tjud Mutia dan
Tengku Omar.
Cerekarama Seputih Salju Sebening Kasih ini diperkuatkan lagi oleh lakonan Jalaluddin Hassan (bapa) dan
Azizah Mahzan (ibu).
Paparan cerekarama Seputih Salju Sebening Kasih ini tidak menginsafkan watak-watak pelakonnya untuk
bertukar menjadi baik dan menyedari kepentingan nilai masyarakat penyayang seperti yang menjadi
aspirasi cabaran Wawasan 2020.
Sebaliknya kisah yang dipaparkan secara bersahaja itu berjaya menginsafkan penonton akan kepentingan
kita semua supaya menzahirkan nilai-nilai masyarakat penyayang.
Lakonan yang sempurna oleh setiap pelakon cerekarama skrip karya K.A. Radzira keluaran Zeel Production
itu menjadikan persembahannya menarik dan berkesan.
Malangnya peleraian ceritanya dibuat secara begitu mudah dengan mematikan watak Husna dilanggar oleh
kereta di hadapan rumah setelah beberapa hari datang ke rumah ibu bapanya di
bandar.
Mungkin tujuan penulis skrip dan pengarah berbuat demikian adalah untuk menimbulkan simpati yang lebih
mendalam ke jiwa penonton, tetapi tidak adakah cara lain selain mematikan watak
utama?
Namun adalah lebih baik dan berkesan untuk menimbulkan kesan mendalam ke jiwa penonton dengan cara
menjadikan watak Husna itu sebagai murid luar biasa cemerlang di sekolah kanak-kanak khas sehingga
mengatasi Hana dan Aiman yang selama ini asyik membuli adiknya
itu.
Olahan itu tentu mempunyai lebih nilai motivasi dan daya intelek sekali gus membuka minda selaras dengan
pemikiran alaf baru abad ke-21.
Sumber: Utusan Online
(8 Julai 2002)

|