Telefilem
(TV)
Judul:
CIKGU J. LO
Pengarah: WAN HUSSIN ISMAIL
Pada umumnya drama swasta Cikgu J. Lo membawa nilai murni seorang guru keturunan Cina yang ingin
membawa perubahan positif di sebuah sekolah menengah di luar bandar, tetapi tercemar sedikit oleh dialog
yang menghina orang kampung.
Kita merasa agak kesal kenapa pihak panel di RTM membiarkan dialog penghinaan itu terlepas begitu sahaja
menerusi siarannya dalam slot Citra di TV1 pada 24 Julai lalu.
Dialog penghinaan tersebut adalah berpunca daripada kehadiran watak guru muda yang jelita bernama
Tengku Asiah (Rosilawaty) di pertengahan plot drama swasta itu.
Tengku Asiah digambarkan sebagai cikgu yang berwatak meninggi diri datang dengan memandu kereta
Proton Waja ke Kampung Durian Tawar, Bera, Pahang lalu menjadi rakan serumah Cikgu Jenny Lo (J. Lo)
lakonan Louisa Chong.
Antara dialog penghinaan yang melekat di hati penonton ialah Cikgu Tengku Asiah memandang hina sambil
merungut terhadap situasi penduduk di kampung itu dengan ungkapan
'perak.'
Perkataan
'perak' yang diluahkan oleh Cikgu Tengku Asiah itu membawa maksud tidak bertamadun kepada
penduduk kampung tersebut kerana seolah-olah hairan sangat dengan kehadiran cikgu
berkenaan.
Dalam realitinya tentulah tidak relevan kerana Kampung Durian Tawar, kira-kira 18 kilometer dari bandar
Temerloh menghilir ke Teriang itu sudah maju. Lagipun drama itu adalah kisah moden selepas negara
merdeka yang sudah menjalar kereta nasional masuk kampung.
Malah Orang Asli di kawasan Tasik Bera, tidak jauh dari lokasi penggambaran drama swasta Cikgu J. Lo itu
juga sudah maju dan tidak hairan lagi kepada kemunculan kereta Waja ke kampung
mereka.
Plot drama Cikgu J. Lo itu lebih selamat jika dipotong sahaja adegan Cikgu Tengku Asiah merungut
'perak' kepada penduduk kampung, malah dialog tempelan sedemikian langsung tidak releven kepada negara kita
yang kaya dengan nilai budi bahasa.
Sebenarnya berlaku insiden yang mengecewakan itu bukan berpunca daripada kesilapan pelakon kerana
beliau sekadar mengikut telunjuk skrip.
Sebaliknya penulis skrip, pengarah, penerbit dan TV1 harus bertanggungjawab mengapa dialog penghinaan
perkataan 'perak' itu terlepas dan tidak sepatutnya berlaku terutama di dalam media penyiaran
kerajaan.
Drama Cikgu J. Lo mengambil judul glamour seperti nama ringkas bintang Hollywood, Jennifer Lopez (J. Lo)
ini didapati kurang penyelidikan kerana digambarkan masih terdapat kelas dewasa di Kampung Durian
Tawar.
Kelas dewasa di Semenanjung Tanah Melayu (kini Malaysia) hanya wujud sekitar tahun 1960-an bagi
mendidik penduduk luar bandar yang buta huruf.
Sepatutnya drama moden Cikgu J. Lo yang ditunjukkan sudah menjalar kereta Waja itu perlu mengambil
pendekatan Cikgu Jenny Loo itu mengambil inisiatif celik komputer kepada penduduk kampung dalam era
teknologi maklumat (IT) yang lebih releven dengan aliran semasa.
Cikgu J. Lo digambarkan bertugas di sebuah sekolah menengah dengan menggunakan lokasi Sekolah
Menengah Kebangsaan Mengkarak, Teriang itu turut berhadapan dengan konflik anak muridnya yang liar
bernama Rizal (Fairuz Admi).
Bagaimanapun sikap Rizal berjaya diubah menjadi baik dan rajin belajar hasil diplomasi Cikgu J. Lo yang
tidak jemu-jemu untuk meningkatkan mutu akademik dan disiplin
pelajar.
Cikgu J. Lo keluaran Sazawan Supply Sdn. Bhd., itu adalah hasil skrip Azlina Pa'wan dan diarahkan oleh
Wan Hussin Ismail.
Sumber: Utusan Online
(12 Ogos 2002)

|