Telefilem
(TV)
Judul:
RUMAH SAYANG
Pengarah: IBRAHIM ELIAS
Drama swasta Rumah Sayang yang dapat kita saksikan menerusi slot Citra di TV1 RTM pada 7 Ogos lalu
mempunyai sedikit kelainan dan berunsur misteri.
Drama itu adalah hasil skrip Aida Fitri Buyung, arahan Ibrahim Elias terbitan Shuhaimi Baba
(Pesona Picture).
Namun kelainan itu belum dapat menandingi siri televisyen Barat yang mempunyai teknik lebih
canggih.
Kalau drama atau filem Barat biasanya menggunakan teknik gelombang imbasan atau fantasi penjelmaan
semula bayangan roh ketika berkomunikasi dengan orang yang masih hidup dan bukan dibuat secara
langsung.
Justeru kelainan yang ada pada drama Rumah Sayang adalah terletak pada babak-babak anak yang dapat
berkomunikasi dengan ibunya yang telah meninggal dunia.
Anak menerusi watak Tania (Kuza) dan ibu dilakonkan oleh Norlia
Ghani.
Kisahnya ialah mengenai sebuah rumah pusaka yang besar diwarisi oleh Tania dan tinggal bersendirian
untuk beberapa ketika.
Boleh dikatakan saban hari Tania dapat berkomunikasi dengan roh ibunya itu dalam bentuk menjelma
`hidup' dan dapat dilihat oleh Tania.
Adakalanya sedang Tania melayani rakannya Z (Zarina Zainuddin) tiba-tiba roh ibu tersebut menjelma di
sisi mereka yang hanya dapat dilihat oleh Tania.
Roh ibu itu digambarkan sering hadir memberi nasihat dan pedoman setiap kali Tania berhadapan dengan
konflik hidup, termasuk dalam soal percintaan.
Kita kurang pasti apakah mesej drama Rumah Sayang pada babak-babak penjelmaan roh itu? Apakah ia
sekadar untuk memberi sedikit kelainan?
Justeru bagaimana pula dengan sudut pandangan Islam dalam soal pembikinan drama penjelmaan roh
sedemikian? Apakah ia sesuatu yang boleh menyesatkan?
Sepanjang yang kita ingati dahulu pernah kerajaan menerusi RTM telah mengeluarkan garis panduan
melarang penyiaran kisah tahyul, seram dan ganas.
Kita harap panel penyiaran di RTM, termasuk Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) Kementerian Dalam
Negeri (KDN) membuat pemantauan semula dengan penguatkuasaan peraturan yang kini dirasakan semakin
longgar.
Selain drama swasta, terdapat juga penyiaran sitcom di TV1 RTM seperti Al-Kisah yang tidak ditapis
dengan cermat kerana pernah terlepas babak negatif seperti ungkapan elemen menggalakkan rasuah dan
mencarut.
Sebagai contohnya Al-Kisah siaran 5 Ogos lalu pada babak lakonan Zami Ismail dan M. Rajoli
mempersendakan larangan anti-rasuah yang menjadi undang-undang negara dengan dialog:
"Sesekali apa salahnya"
Kemudian pada babak Al-Kisah lakonan Sulaiman Yassin (Mat Over) dengan Amran Nasaruddin pula
terdapat dialog mencarut: "Apa nak beri pisang, aku dah ada
pisang"
Semoga RTM sebagai media kerajaan dapat memperbaiki krisis kualitinya supaya menjadi teladan yang baik
kepada stesen swasta.
Sumber: Utusan Online
(19 Ogos 2002)

|