Telefilem
(TV)
Judul:
RUMAH DI TENGAH SAWAH
Pengarah: RASHID SIBIR
Selagi dunia ini belum kiamat, nescaya masih berlaku insiden kahwin paksa di dalam mana-mana
masyarakat yang sering berakhir dengan tragedi atau bencana.
Antara bencana yang berlaku ialah bakal pengantin perempuan merajuk lari terjun tingkap pada waktu
tengah malam sekali gus terdedah kepada pelbagai kecelakaan maut akibat tidak rela disandingkan dengan
jejaka bukan pilihan hati.
Sebaliknya jejaka itu adalah pilihan ibu yang materialistik dengan alasan supaya masa depan anak akan
lebih terjamin apabila menjadi suri rumah kepada orang yang
berharta.
Anak gadis pula memberontak bahawa harta kekayaan bukanlah segala-galanya kerana kebahagiaan
sesebuah rumah tangga terletak kepada kejujuran, lantaran rezeki anugerah Tuhan itu akan datang
kemudian asal sahaja tekun berusaha.
Demikianlah mesej drama swasta Rumah Di Tengah Sawah hasil skrip Opera Klasik arahan Rashid Sibir yang
disiarkan menerusi slot Cerekarama TV3 pada 17 Ogos lalu.
Tema kahwin paksa yang dipaparkan menerusi Rumah Di Tengah Sawah itu adalah tema klasik yang sudah
kerap kita baca dalam pelbagai genre karya sastera sejak zaman berzaman lagi sehingga menyerupai plot
filem Hindustan.
Namun persoalan mengenai mentaliti tersebut tidak boleh diperkecilkan kerana ia masih berlaku di alaf baru
ketika pemikiran majoriti masyarakat sudah terdedah kepada ledakan
globalisasi.
Menerusi drama Rumah Di Tengah Sawah kita dapat menyaksikan betapa kecewanya perasaan gadis
kampung bernama Sapura (Umie Aida) kerana hasratnya untuk bersuamikan pemuda miskin sepupunya
Khalid (Rosyam Nor) itu tidak kesampaian.
Perkara itu terjadi gara-gara ibu Sapura, Mak Long (Wan Maimunah) menolak pinangan ibu
Khalid, Mak Esah (Fauziah Nawi) untuk menjodohkan anak mereka
itu.
Sebaliknya Mak Long memilih Annuar (Roy Azman) untuk menjadi menantu sebagai bakal suami Sapura. Di
luar pengetahuan Mak Long, pemuda rakus itu pernah terbabit dalam cubaan merogol Sapura di ladang
tebu.
Akibat daripada cadangan kahwin paksa itu Sapura yang menghadapi tekanan mental dan emosi sehingga
menjadi separuh gila dan dikurung di bawah rumah oleh Mak Long, sedangkan bapa Sapura, Pak Long
(Hisham Ahmad Tajuddin) hanya mengikut telunjuk isteri.
Persoalannya masihkah berlaku perbuatan mengurung anak dara separuh gila pada zaman moden ini di
bawah rumah seperti yang berlaku menerusi paparan drama Rumah Di Tengah Sawah
itu?
Tidak pula ditunjukkan dari segi sinematografi bagi meyakinkan penonton bahawa rumah Sapura itu
benar-benar terasing di tengah sawah sehingga perlakuan zalim mengurung anak di bawah rumah itu tidak
mendapat perhatian penduduk kampung untuk dilaporkan kepada pihak
berkuasa.
Seterusnya pada malam persandingan Sapura, bakal pengantin yang lengkap berpakaian hijau raja sehari
itu bertindak nekad lari terjun melalui tingkap untuk mencari kekasihnya,
Khalid.
Kebetulan Khalid yang juga membawa hati duka telah lari dari kampung dan yang ada di rumah itu cuma
Mak Esah.
Sapura meninggalkan Mak Esah di malam buta bertemankan lampu picit itu untuk mengejar
Khalid. Malang tidak berbau apabila Sapura tergelincir di jambatan dan mati
lemas.
Khalid pula menerusi drama swasta yang berakhir dengan kesedihan dan digarap dalam bentuk imbas
kembali itu turut maut dilanggar oleh kenderaan pada malam yang sama dengan kematian Sapura menerusi
penjelasan watak Pak Long.
Pada penghujung kisah Rumah Di Tengah Sawah juga ditunjukkan babak Mak Long yang angkuh dan
materialistik itu akhirnya menerima pembalasan apabila beliau juga menjadi gila lantaran terlalu sedih
menyesali kematian Sapura.
Sumber: Utusan Online
(26 Ogos 2002)

|