Telefilem
(TV)
Judul:
AYAM KAMPUNG
Pengarah: RASHID SIBIR
Menonton cerekarama Ayam Kampung berunsur jenaka arahan Rashid Sibir siaran TV3 pada 20 Julai lalu
ternyata ia sekadar hiburan ringan.
Kalau kita perhatikan sejak kebelakangan ini slot cerekarama TV3 dipenuhi dengan kisah-kisah
jenaka.
Cerita ringan seperti itu amat sesuai untuk tontonan umum bagi merehatkan minda seisi keluarga selepas
penat seharian bekerja.
Mereka bukan sahaja penat kerana bekerja, tetapi juga penat kerana terbabit dengan pelbagai aktiviti
kemasyarakatan dan politik yang semakin serius.
Justeru untuk mencari jalan keluar daripada permasalahan yang membebankan jiwa dan fikiran
itu, maka mencari hiburan ringan adalah satu langkah yang tepat.
Mungkin untuk masa depan Rashid Sibir boleh pula mencari idea jenaka bersama panel skrip Opera Klasik
untuk membuat cerekarama bercorak politik yang disampaikan dalam bentuk
jenaka.
Dengan cara itu penyokong setiap parti politik akan dapat disedarkan bahawa sebenarnya hanya pengikut
bawahan yang bermati-matian bercakaran, sedangkan pemimpin atasan boleh duduk makan minum semeja
sambil ketawa berdekah-dekah.
Namun demikian cerekarama Ayam Kampung sekadar kisah ketua kampung yang mengurat dua orang janda
berhias peniaga gerai ayam kampung.
Ketua kampung bernama Pak Samad (Ismail Din) kerap berkunjung ke gerai Che Mah (Norlia Ghani) dan Che
Nab (Khatijah Tan).
Pak Samad kerap menasihatkan Che Mah dan Che Nab supaya menjaga kebersihan serta menghias gerai
ayam kampung itu kerana pegawai daerah dikatakan mahu mengadakan lawatan ke
situ.
Dalam masa yang sama Che Mah mempunyai seorang anak gadisnya, Kesuma (Sheila Rusly) sebagai
pembantu gerai. Begitu juga dengan Che Nab mempunyai seorang anak gadis bernama Nadia
(Sharifah Shahirah) sebagai pembantu gerai.
Watak Kesuma dan Nadia tidak menonjol, berbanding dengan ibu mereka yang kelihatan lebih miang
merebut Pak Samad. Anak muda Pak Samad bernama Mizi (Zul Yahya) menjadi rebutan Che Mah dan Che
Nab untuk dijodohkan dengan anak dara masing-masing.
Pengakhiran cerita pasangan Che Mah yang berjaya memikat Pak Samad dan Mizi sehingga ke majlis akad
nikah. Sekali lagi insiden lucu dicipta menunjukkan anak teruna tersalah sarung cincin kepada mak janda
dan bapanya pula tersalah sarung cincin kepada anak dara.
Serentak itu Che Nab yang berada pada majlis itu amat kecewa dan terus tumbang pengsan. Justeru pada
pendapat anda apakah mesej drama Ayam Kampung ini?
Apakah ia sekadar simbolik untuk menunjukkan pasangan anak beranak Che Mah dan Che Nab itu sebagai
ayam kampung yang menjadi idaman ramai? Atau ada mesej kecil menerapkan pemikiran baru supaya
peniaga ayam di gerai sentiasa menjaga kebersihan gerai dan penjualnya pula sentiasa berhias cantik bagi
menggoda pelanggan seperti yang dipaparkan menerusi cereka Ayam Kampung itu?
Sumber: Utusan Online
(29 Julai 2002)

|