Telefilem
(TV)
Judul:
KHIANAT
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Untuk sekian lama dan dalam banyak keadaan, televisyen selalu menjadi subjek kritikan. Dari kelemahan
sinema, produksi yang murahan hingga kepada kebobrokan
masyarakat, televisyen dikatakan puncanya. Drama televisyen mungkin sebaik teater yang dipersembahkan di panggung atau jauh lebih baik
daripada filem sendiri. Diskriminasi ini wujud mungkin kerana ciri televisyen itu sendiri, yang sentiasa mahukan
kepantasan, ringkas, gemar mendesak, mementingkan komersial dan budaya menontonnya yang
berbeza.
Sikap dan kelakuan yang buruk dikatakan berpunca daripada terlalu banyak menonton
televisyen. Televisyen sebenarnya adalah sebahagian daripada budaya
harian kita, menonton TV adalah masa rehat paling utama, TV adalah punca asas rujukan dan yang penting hari ini, televisyen adalah di mana
kanak-kanak pertama kali didedahkan dengan alusi, satira dan konsep-konsep sastera
lainnya. Sesungguhnya, jangan ambil mudah terhadap televisyen.
Drama Khianat yang disiarkan oleh TV3 melalui slot Cerekarama bukanlah membawa tema yang
asing, malah telah banyak kali kita tonton baik dalam drama dan filem tempatan atau dari luar
negara. Soal tamak, tidak jujur dan persaingan dalam perniagaan adalah tema yang
lumrah.
Walau bagaimanapun soal lazim atau tema yang lumrah bukan soal utama dalam pembikinan cerita, kerana
skop persoalan kemanusiaan sebenarnya tidak dapat lari dari masalah ini semua. Apa yang menentukan
drama itu menarik dan mendebarkan ialah bagaimana plotnya dikembangkan dan unsur dramatiknya
dibangunkan.
Khianat ditulis skripnya oleh Dilla Hussein mengisahkan bagaimana Suzanna (Lydiawati) dan Zainal
(Sukri Hashim), dua orang ahli perniagaan yang bersaing untuk mendapatkan projek membina kondominium yang
akhirnya dimenangi oleh Suzanna. Zainal yang marah dengan Suzanna merancang untuk membalas
dendam terhadap Suzanna dengan cara menakutkan Suzanna melalui beberapa siri
ancaman.
Akibat kematian adik ipar Suzanna, Nordin (Gibran Agi) akibat kereta yang dipandunya meletup, telah
menyebabkan Zainal ditahan polis tetapi akhirnya diketahui semua ugutan berpunca daripada Johan
(Arash Mohamad) suami Suzanna sendiri yang memang merancang pembunuhan
Suzanna.
Sebagai sebuah drama, Khianat berpotensi menjadi sebuah drama thriller yang baik jika penulisnya lebih
berhati-hati dalam membina plotnya. Penonton sebenarnya telah mula dapat menjangka siapa pengugut
Suzanna dan pembunuh Nordin apabila pengarah terlalu banyak menunjukkan ancaman daripada
Zainal.
Malah, ancaman daripada Zainal hilang kesannya. Sebagai seorang ahli perniagaan berwibawa, sukar untuk
diterima tindakan Zainal yang sedemikian kasar dan kelihatan begitu dibuat-buat untuk tujuan membina
saspens. Sebaliknya timbul persoalan kenapa siasatan polis terhadap kematian Nordin kelihatan
dipermudahkan. Apakah yang mahu dikemukan oleh penulis drama ini.
Konflik antara suami yang berjawatan lebih rendah (dari visual yang ditunjukkan jawatan suami tidaklah
terlalu rendah) daripada profesion isteri seorang ahli perniagaan atau suami yang mahu membolot harta
isteri? Persaingan perniagaan antara Zainal dan Suzanna hanya sekadar untuk mengumpan saspens dalam
drama ini yang sayangnya dilakukan secara berlebihan.
Khianat sebagai sebuah drama thriller tidak berusaha mencari kelainan atau perbezaan pendekatan dalam
membina plot. Sebagai sebuah cerita ia adalah pengulangan kepada puluhan drama dan filem.
Sumber: Utusan Online
(20 Ogos 1999)

|