Telefilem
(TV)
Judul:
SEORANG TUA DI SUNGAI LEMBING
Pengarah: DR ANUAR NOR ARAI
Skrip:
Dr Anuar Nor Arai
Pelakon: Yahaya Hamid, Suzaidi Saidin, Vanidah Imran, Zakaria
Yusuf, Noor Emilia T Hirota, Christopher Schammel dan lain-lain
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Prestij adalah antara sebab mengapa filem lebih sering dipandang tinggi berbanding
televisyen. Tetapi melihat sejumlah drama dan filem yang dihasilkan untuk
televisyen akhir-akhir ini, prestij yang dimaksudkan hanya sekadar sebuah
ilusi.
Ketika penonton dan pencinta filem tempatan merungut dan meratapi kualiti dan kuantiti filem
tempatan, industri televisyen sebenarnya bersemarak dengan drama dan filem untuk televisyen yang boleh
dibanggakan. Perubahan ini bersebab. Skrip dan penonton filem semakin hambar dan kecil, lalu tidak hairan
kalau tenaga kreatif filem berhijrah ke televisyen. Fenomena ini tidak hanya berlaku di negara ini, malah
telah lama berlaku di Amerika (Hollywood). Sejumlah pengarah terkemuka Hollywood sama ada bermula dari
televisyen atau kembali ke televisyen setelah mencipta nama di filem. Bagi negara ini, tenaga kreatif
filem dan televisyen adalah terdiri daripada orang yang sama.
Tetapi apa yang menarik, kajian secara demografik menunjukkan penonton televisyen adalah dalam
lingkungan usia antara 20-54 tahun dan sasaran penonton yang sedemikian adalah faktor menarik bagi
pembikin filem yang serius.
Televisyen berbanding filem sebenarnya mempunyai kelebihannya yang tersendiri: saiz penonton yang
besar, faktor kewangan yang tidak merugikan, ruang luas untuk eksperimen (filem kini lebih mengutamakan
selera remaja) dan kelebihan di dalam memberikan masa pembinaan perwatakan. Bahasa filem dan
televisyen juga semakin bertindih dan berkembang. Perbezaan yang wujud antara keduanya semakin
menipis.
Kaedah penggambaran filem semakin luas digunakan di dalam menghasilkan filem untuk
televisyen.
Penggambaran syot luas dan jauh yang dulu lebih banyak digunakan di dalam filem kini semakin banyak
digunakan untuk drama televisyen.
Seorang Tua Di Sungai Lembing (STDSL) juga menggunakan pendekatan filemik. Pendekatan fotografi dan
konsep suntingannya mengutamakan mood filemik.
Kawalan cahaya, komposisi frem dan kawalan masa menentukan rentak dan tempo filem STDSL. Lihat
sahaja adegan pembukaan filem ini, cahaya asli yang menerjah masuk ke ruang rumah diharmonikan
dengan cahaya buatan untuk menghasilkan mood dan menyarankan makna. Segalanya dilakukan dengan
teliti oleh pengarahnya dan juga kerana hasil kerja kamera yang
kreatif.
STDSL ditulis dan diarahkan oleh Dr. Anuar Nor Arai yang pernah mengarahkan filem Johnny Bikin Filem
(masih belum diedarkan).
STDSL melanjutkan tema kegemaran Anuar, perjuangan nasionalisme yang berlegar dalam frem period
sebelum kemerdekaan tanah air.
Drama ini mengisahkan dilema dan kegetiran perjuangan nasionalis tanah air. Sanif
(Yahaya Hamid) menentang penjajah untuk membela nasib bangsanya dan
menuntut kemerdekaan. Sesuai dengan idealisme perjuangannya, Sanif melibatkan diri dengan gerakan parti Angkatan Pemuda Insaf (API) yang
mendapat inspirasi dari perjuangan Sukarno di Indonesia. Dia berhadapan dengan anak muda Asraf
(Suzaidi Saidin) yang bekerja dengan kompeni Inggeris yang menjalankan kegiatan perlombongan di
Sungai Lembing. Sanif cuba menarik Asraf menyertai API, tetapi Asraf terikat dengan kesetiaan dan komitmennya
kepada kompeni dan Tuan Harison (Christopher Schammel) yang memang tidak menyenangi tindak-tanduk
Sanif.
Bagaimanapun konflik hubungan Sanif dan Asraf tidak terikat pada percanggahan idealisme dan
perjuangan, tetapi juga kerana Halimah (Vanidah Imran). Pada masa yang sama Asraf juga membuat
hubungan dengan anak Tuan Harison (Noor Emilia T Hirota). Konflik hubungan dalam STDSL ini berlegar
dengan permasalahan dendam, kesetiaan dan perjuangan.
Tidak ada adegan penentangan dan keganasan yang dilakukan secara terbuka di dalam
STDSL. Segalanya diikat secara simbolis melalui kerakusan
kompeni, perjuangan yang menuntut korban oleh Sanif dan kesetiaan Asraf kepada syarikatnya. STDSL memang sebuah cerita yang menarik yang cuba melihat
penjajahan dan perjuangan dari sudut pandangan dua anak muda Melayu. Naratif STDSL berkembang
secara selari dalam dua period iaitu untuk tahun 1940-an dan 1960-an. Pendekatan ini memang menarik
dan sekali gus sukar. Ia seharusnya mampu menggerakkan konflik yang lebih dramatik jika ditangani
dengan baik. Tetapi pendekatan yang begini juga jika tidak ditangani dengan hati-hati akan hanya menimbulkan
lebih banyak kesukaran yang akhirnya lebih mengelirukan.
Tidak seperti novel yang mampu untuk lebih kompleks plotnya, filem kerana pendekatannya yang fizikal
selalu menuntut kejelasan dalam naratifnya. STDSL kerana keghairahan pengarahnya dalam menampilkan
naratif timbal-balik antara dua period, menimbulkan kekeliruan dan kelemahan kerana beberapa adegan
yang tidak jelas maksudnya. Pergerakan cerita STDSL terasa perlahan akibat masa yang banyak berlegar
di dalam sesuatu syot serta pergerakan lakonan yang cukup
dikawal.
Keistimewaan STDSL adalah pada arahan fotografinya yang dilakukan oleh Ali Abd. Hamid yang berjaya
membe-rikan mood dan ketelitian di dalam frem.
Malah STDSL sebenarnya dikuatkan oleh lakonan yang cukup baik oleh pelakonnya terutama
Suzaidi, Vanidah dan Yahaya. Suzaidi berjaya memperlihatkan gerak lakon seorang anak muda yang terperangkap
dengan komitmennya kepada tugas yang melemahkan idealismenya. Manakala Vanidah sebagai Halimah
berjaya menggunakan gerak tubuh dan riak wajah untuk menceritakan dilema yang dihadapinya dalam
hubungannya dengan Sanif dan kegeli-sahannya terkurung bersama Asraf. Yahaya walaupun menampilkan
lakonan yang baik tetapi kelemahannya di dalam melontarkan dialog yang jelas menjejas-kan kualiti
lakonannya.
Sebagai sebuah filem drama yang menampilkan suasana dan semangat perjuangan dalam era yang paling
me-narik dalam sejarah negara ini, STDSL menarik dan wajar ditonton. STDSL dijangka akan ditayangkan di
televisyen sempena sambutan hari kemerdekaan.
Sumber: Utusan Online
(14 Ogos 1998)

|