Telefilem
(TV)
Judul:
MINAH MEENACHI
Ulasan oleh:
A. Wahab Hamzah
Nama Mohd. Noor Kadir rasanya sudah menjadi nama besar bagi peminat drama-drama
televisyen. Mohd. Noor sebagai penulis telah menghasilkan sejumlah
drama televisyen yang berjaya menarik minat penonton televisyen.
Dia sanggup berbelanja besar dengan membuat penggambaran di luar negara demi untuk menarik perhatian
penonton dan memberikan kelainan kepada drama-drama terbitan Syarikat Kuasatek, antara yang cukup
diingat adalah Cinta Antara Benua, Cinderella, Odisi dan yang terbaru siri Romeo dan Juliet.
Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang lalu, sebuah lagi drama terbitan Kuasatek, Minah Meenachi
yang ditulis oleh Mohd. Noor Kadir telah ditayangkan di TV3. Drama ini telah ditayangkan dalam dua episod
selama dua minggu. Berbeza dengan drama-drama bertemakan kemerdekaan yang lazimnya
propaganda mudah tentang nasionalisme, Minah Meenachi melihat semangat negara bangsa dan masalah perkauman
dari sudut yang lain.
Yang lebih segar dalam konteks masa kini. Mohd. Noor Kadir melalui Minah-Meenachi cuba meneroka isu
ketidakselesaan kaum, kelangsungan tradisi dan maruah keluarga dari dua keluarga dan kaum yang
berlainan. Persoalan yang tidak asing sebenarnya dengan drama-drama yang bertemakan sambutan Hari
Kemerdekaan di negara ini.
Mungkin boleh sahaja dipersoalkan logik peristiwa tetapi sebagai sebuah drama apa yang penting
bagaimana naratif dan plot dikonstruk untuk menghasilkan sebuah drama yang
meyakinkan, dengan pendekatan yang menarik. Persoalan timbul 25 tahun selepas berlakunya kesilapan yang tidak seharusnya
berlaku iaitu tertukar bayi dari dua pasangan yang berbeza kaum iaitu pasangan Melayu dan India, selepas
mereka melahirkan bayi mereka pada Hari Kemerdekaan 1974.
Setelah dewasa Minah (Vanida Imran) yang dipelihara oleh pasangan Rajesh (Panshah) dan Kumari
(Sabera Sheikh) menghadapi masalah identiti yang kemudian membawa kepada masalah perkahwinannya dengan
Johan (Eizlan Yusuf). Ini kerana Rhapur (Jalaluddin Hassan) bapa kepada Johan tidak merestui
perhubungan mereka disebabkan Minah berketurunan India.
Rhapur pernah merasa kecewa kerana menyangka isterinya Mariam pernah berlaku curang hingga
melahirkan anak, Meenachi (Kavita Kaur) yang mempunyai raut wajah India, hingga menceraikan
Mariam. Bagi Rhapur persoalan maruah keluarga penting dipertahankan. Meenachi yang dipelihara oleh Mariam
seorang guru tari akhirnya menjadi seorang peguam dan mula mencari siapa ayahnya yang sebenar akibat
konflik identiti.
Peluangnya terbuka apabila dia dilantik sebagai peguam yang mengendalikan urusan tuntutan saman
Syarikat Westrack, syarikat kepunyaan Rhapur. Dalam pada itu Meenachi mempunyai hubungan pula
dengan Jothi (Hans Isaac) anak kepada Rajesh dan hubungan mereka juga mempunyai masalah yang
tersendiri. Rahsia dan misteri sebenar akhirnya terjawap hasil daripada ujian DNA yang telah dikendalikan
oleh pakar DNA iaitu isteri Rhapur sendiri dengan bantuan Dr. Shahrul (Ahmad Idham), dan dikuatkan lagi
oleh rekod dari Klinik Dr. Hamidah (Dian P. Ramlee). Apa yang berlaku sebenarnya adalah perhubungan
adik-beradik yang sekali gus melarang perkahwinan.
Cerita Minah Meenachi sebenarnya adalah kisah yang lazim baik di filem atau drama tv, drama ini
memberikan pendekatan baru yang melibatkan kejuruteraan genetik untuk mengesan keturunan asal. Apa
yang dapat dilihat daripada drama ini, adalah kegemaran Mohd. Noor Kadir untuk membina naratifnya dalam
bentuk spiral, berlegar dalam satu keluarga yang besar dan berlaku antara mereka
sahaja.
Dalam konteks drama ini permasalahan genetik dibangkitkan. Minah anak yang dibesarkan oleh keluarga
Rajesh membesar sebagai penari mengikut ibunya yang asal. Manakala Meenachi yang dibesarkan oleh
Mariam membesar sebagai peguam mengikut acuan keluarganya yang
sebenar.
Apakah kelangsungan karier seseorang ditentukan oleh faktor genetik? Bukankah faktor budaya dan
persekitaran juga memainkan peranan yang membentuk pemikiran kanak-kanak dan karier
mereka? Perkembangan dua gadis ini berlaku dalam bentuk spiral hingga mereka tidak mampu keluar dari acuan
keluarga asal mereka.
Malah bila berkasih juga mereka terperangkap dalam hubungan dengan adik beradik yang disangka orang
lain dan akhirnya terbongkar rahsia sebenar. Plot yang lazim dalam filem-filem melodrama (terutama filem
Hindi).
Minah Meenachi adalah sebuah drama yang menarik sebenarnya. Drama ini cuba mengajak kita untuk
melihat dan memahami isu ketidak selesaan kaum jauh dari yang lazimnya.
Sumber: Utusan Online
(17 September 1999)

|