Telefilem
(TV)
Judul:
LALANG-LALANG DI HUJUNG KAKI
Pengarah: DR ANUAR NOR ARAI
Ulasan oleh:
Ku Seman Ku Hussain
Setelah filem pertamanya Johnny Bikin Filem tertangguh sekian lama, Dr. Anuar Nor Arai semacam
menjawab semua kritikan terhadap kegagalan filem itu tampil di tengah masyarakat menerusi telefilem
Lalang-Lalang Di Hujung Kaki.
Daripada judul yang cukup puitis, Lalang-Lalang Di Hujung Kaki dibuat dalam konsep filem sekalipun bagi
tayangan di TV. Persoalan dan pembikinan telefilem ini sesuai sebagai sebuah filem cereka di
pawagam.
Dr. Anuar yang sebelum ini banyak menghasilkan skrip antaranya Din Dan Miyoto arahan U-Wei Haji Saari
dan Bukit Lalang arahan Mior Hashim Manap menampilkan permainan pengcahayaan, fotografi dan
pengarahan seni yang menarik.
Telefilem terbitan Antah UTV ini dianggap sebuah puisi yang merangkai kata-kata indah untuk bercerita
sesuatu yang pedih. Setia berbaur curang dan kasih bertaup benci dilakarkan dengan persembahan
sinematik.
Dengan menggunakan konsep back light untuk adegan malam, Lalang-Lalang Di Hujung Kaki adalah sebuah
persoalan seksual sepasang suami isteri berlatarkan period dekad 50-an. Kelihatan menerusi telefilem
ini, Pengarah Fotografi (DOP), Ali Hamid mengemukakan tatacahaya yang cukup
artistik, bermakna dan anti biru.
Ini kerana antara sindrom drama dan filem tempatan ialah tatacahaya yang terbiar, sambil lewa dan
seboleh-boleh setiap frem mesti kelihatan terang benderang. Lalu cara mudah menggunakan filter biru dan
asap bagi menyembunyikan latar belakang pada waktu malam.
Tetapi konsep tatacahaya Lalang-Lalang Di Hujung Kaki menongkah kaedah ini. Teknik light and shadow
dalam telefilem ini adalah bahasa emosi yang membantu pelakon mengekspresi gejolak di jiwa
mereka.
Bahasa gambar, susun letak prop, nilai estetik yang menepati zaman serta muzik tradisional Negeri
Sembilan adalah naratif yang menyampaikan keluh kesah Budin (Yahya Hamid) dan isterinya Posah
(Rashidah Jaafar).
Muzik tradisional dengan tempo yang cukup relevan emosi dengan telefilem ini menjadi sebahagian daripada
naratif untuk menceritakan perihal Budin dan Posah serta Mak Haji Tasbuh yang dikatakan
gila.
Pergolakan dalaman diekspresi menerusi gerak lakon, mise en scene dan stail sinematografi yang menyusuri
konflik seksual dipersembahkan dengan berseni. Lalu tidak hairanlah kalau Lalang-Lalang Di Hujung Kaki
dihidupkan oleh shot-shot puitis dan indah.
Latar zaman di bawah cengkaman komunis, ketegangan dan kecurigaan antara satu dengan lain dilihat
sebagai manifestasi pergolakan Budin dan Posah.
Ditambah dengan kecurangan Posah semacam memberi garisan warna yang abstrak pada telefilem
ini.
Bagaimanapun konsep tatacahaya yang cukup terkawal, sumber cahaya yang tidak meragukan dan warna
keperangan dalam banyak adegan malam adalah kelangsungan konsep dalam Johnny Bikin
Filem.
Johnny Bikin Filem dianggap sebagai film noir pertama negara ini banyak bergantung kepada kemampuan
Dr. Anuar bermain cahaya dan bayang. Dalam Lalang-Lalang Di Hujung Kaki kelihatan ada pada Johnny
Bikin Filem.
Sama seperti Johnny Bikin Filem, Lalang-Lalang Di Hujung Kaki agak sunyi daripada dialog. Banyak adegan
berlaku dengan sepi, ekspresi watak, cahaya dan kerja kamera memberi sekian banyak
kata-kata.
Tentunya Lalang-Lalang Di Hujung Kaki bukanlah untuk tontonan sambil mengunyah kauci di ruang
tamu. Lalang-Lalang Di Hujung Kaki adalah keheningan dalam gejolak untuk dirasai
bersama.
Dua pelakon utama memberikan lakonan memuaskan; Rashidah sebelum ini jarang diyakini untuk watak
seberat itu dan Yahya yang kurang dikenali adalah tonggak telefilem ini. Ini antara lakonan terbaik
Rashidah.
Penampilannya di depan kamera penuh dengan persiapan. Emosi Posah yang dihantar dengan mata galak
tapi sayu itu memberikan tenaga kepada lakonannya.
Kemunculan Yahya membuka laluan baru untuk watak-watak yang lebih mencabar. Tanpa bertenggek pada
dialog berjela-jela, Yahya berupaya menyampaikan lakonannya.
Sumber: Utusan Online
(19 Disember 1998)

|