Telefilem
(TV)
Judul:
JANGAN
Pengarah: ERMA FATIMA
Oleh:
Rosli Manah
Siri apresiasi filem yang dianjurkan oleh Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) bukan sahaja membedah
sesebuah filem atau drama malah satu aktiviti keilmuan yang melihat karya tersebut daripada aspek
sosial, budaya dan pengaruh teori filem dari Barat.
Ini tradisi ilmu yang wajar diteruskan dan boleh memberi kemantapan bukan sahaja idea yang bernas malah
persembahan artistiknya.
Apresiasi telefilem Jangan arahan Erma Fatima di Finas Sabtu lalu ini mengemukakan beberapa perspektif
yang menarik mengenai drama yang berkisar mengenai pendatang tanpa izin Bangladesh
ini.
Isu pendatang tanpa izin sering dilihat daripada perspektif perundangan tetapi Jangan cuba membawa
penonton melihat sudut kemanusiaan dan kritikan golongan marhaen yang sering menjadi tangga kepada
pihak yang ada agenda politik.
Keberanian Erma menghasilkan drama seumpama itu yang diiktiraf sebagai Telefilem Terbaik Festival Filem
Malaysia ke-13 (FFM13) tahun lalu sebenarnya penuh risiko kerana ditolak oleh stesen TV.
Apresiasi itu menampilkan panel yang terdiri daripada Hishamudin Rais, Mansur Puteh, Ku Seman Ku
Hussain, Erma Fatima dan dipengerusikan oleh Ahmad Ibrahim.
Secara keseluruhan, panel menganggap Jangan sebagai political film yang mengemukakan sudut
pandangan alternatif tentang isu pendatang tanpa izin serta mengkritik sistem
sosial.
Panel melihat usaha Erma membawa masalah pendatang ke negara ini sebagai satu usaha berani kerana ia
mengundang risiko sebagaimana yang telah dialaminya kini. Hishamudin menganggap Jangan sebuah karya
yang bercorak semi dokumentari kerana menggabungkan dramatik dengan dokumentari tentang
pendatang Bangladesh. Drama ini memuatkan adegan yang seolah-olah dirakam secara real, bukan dilakonkan semula
oleh pelakon.
Bagi menguatkan hujahnya, Hishamudin berkata, penataan cahaya terutama adegan malam seolah-olah
sumber cahaya asli kerana diolah dengan baik.
Dia tertarik dengan kerja seni yang ditampilkan oleh Erma dalam Jangan kerana tema seperti itu jarang
diangkat dalam filem atau drama tempatan.
Namun bagi Hishamudin, tragedi yang bertimpa-timpa terhadap watak Siti (lakonan Umi Aida) keterlaluan
dan menghilangkan simpati penonton kerana ia tidak dikawal dengan baik oleh
pengarah.
''Hati saya macam disiat-siat tengok drama ini. Tetapi sampai setengah drama apabila terus disiat-siat
juga, saya menjadi hilang simpati malah lemas dengan banyak sangat tangisan. Barangkali sebab mak dan
kakak saya tak pernah menangis,'' kata Hishamudin berseloroh.
Dia juga kurang setuju dengan kesimpulan yang dibuat oleh Erma pada akhir drama itu yang dianggap
pesimis; hidup Siti seolah-olah tidak mempunyai masa depan dengan visual Siti dan tiga anaknya
membelakang kamera.
Tetapi Mansur menganggap penamat yang dipilih oleh Erma adalah optimis kerana watak Siti tidak terus
rebah malah meneruskan perjalanan tambahan pula dengan adegan siang di
pasar.
Mengenai keseluruhan drama ini, Mansor melihat Erma cuba melemparkan perspektif yang agak keras tetapi
masyarakat Malaysia belum boleh menerima kritikan secara terang-terangan sebagaimana negara lain.
Mansur menganggap Jangan seperti beberapa filem luar negara yang berhaluan kiri, mengkritik sistem sosial
dan birokrat seperti di Filipina dan beberapa negara lain. Bercakap mengenai pendekatan melodrama dalam
Jangan, Mansur berkata, pengarah harus mempunyai ukuran tertentu supaya penampilannya terkawal
dan tidak keterlaluan.
Sementara Ku Seman pula melihat drama ini sebagai pandangan alternatif untuk melihat dilema
''manusia-manusia kecil'' yang kerap diperalatkan untuk tujuan
tertentu.
Katanya, Erma membawa masyarakat melihat satu sudut yang lain mengenai isu pendatang iaitu titik
pertemuan antara undang-undang dengan kemanusiaan.
Menurutya, stesen TV wajar berfikiran terbuka dan harus memberi peluang kepada drama seperti ini
sekalipun melemparkan kritikan terhadap sistem dan birokrat.
Jangan mengisahkan Siti (Umi Aida) berkahwin dengan pendatang Bangladesh, Rashid yang tidak memiliki
permit berkerja. Rashid sering gelisah apabila kerajaan mengambil keputusan menghantar pulang pendatang
yang tidak memiliki permit kerana nasib isteri dan tiga anak
mereka.
Bagaimanapun Erma menjelaskan, stesen televisyen bukan menolak drama tersebut sebaliknya meminta dia
memotong beberapa babak dalam Jangan.
Tetapi dia menolak permintaan stesen televisyen untuk memotongnya kerana menganggap adegan
tersebut amat penting untuk drama tersebut.
Walaupun kecewa apabila drama yang dihasilkannya dua tahun lalu itu tidak mendapat tempat di stesen
televisyen, namun Erma berbangga apabila ia terpilih ke festival bertaraf
antarabangsa.
Jangan akan menyertai Festival Filem Antarabangsa Singapura akhir April ini. Dalam festival yang
berlangsung mulai 17 hingga 29 April ini, Jangan dipertandingkan dalam kategori telefilem terbaik.
Sumber: Utusan Online
(16 April 1998)
Oleh: Ku
Seman Ku Hussain
Drama Jangan yang bercerita tentang pendatang tanpa izin Bangladesh khabarnya ditolak oleh sebuah
stesen TV tempatan. Tetapi stesen berkenaan memberi sedikit kelonggaran; beberapa adegan yang
diistilahkan sebagai ''sensitif'' perlu dipotong.
Ini antara jalan paling mudah untuk menyelamatkan sesebuah karya yang terkeluar daripada selera stesen
TV. Tanpa mengambil kira kesinambungan bahagian yang perlu dibuang, nasihat yang berupa arahan itu
memberikan gambaran sikap sesetengah pihak di stesen TV untuk mewakili suara
rakyat.
Mereka cepat gelabah apabila berhadapan dengan pemikiran yang sedikit di luar daripada
kebiasaan. Misalnya drama yang terkeluar daripada prototype yang
telah diterbitkan secara tidak rasmi oleh sesebuah stesen TV.
Isu pendatang tanpa izin adalah isu masyarakat. Tetapi ironinya ia tidak boleh dipaparkan secara lebih
terbuka. Isu ''orang dalam'' yang memainkan peranan dalam masalah ini bukan rahsia
lagi.
Jangan yang ditayangkan semasa apresiasi di Finas baru-baru ini bukanlah radikal. Dalam erti kata lain
Jangan arahan Erma Fatima ini tidak perlu ditakuti sedemikian rupa oleh stesen TV. Ini bukan isu
perkauman tetapi isu semasa yang semua orang tahu.
Nampaknya karyawan yang mahu keluar daripada mainstream pemikiran stesen TV akan menerima risiko
yang cukup berat. Bayangkan berapa modal yang ditanggung apabila sebuah telefilem yang durasinya 90
minit ditolak kerana dianggap ''sensitif''.
Jangan bukanlah drama terbaik sekalipun dipilih sebagai terbaik oleh Festival Filem Malaysia
(FFM-13) tahun lalu. Tetapi ia lebih baik daripada sebahagian besar drama Melayu yang memualkan di kaca TV.
Ia ada membawa subjek yang ada kelainan. Kalau kelainan sudah tidak mendapat tempat, fungsi TV untuk
membantu merangsang filem-filem yang lebih dewasa tidak akan ke
mana.
Kalau stesen TV mengambil jalan selamat hinggakan berasa ''kurang selamat'' sekalipun untuk bercakap
tentang isu pendatang tanpa izin, apa lagi yang boleh diharapkan kepada stesen TV
kita?
Barangkali Jangan menyelitkan visual pegawai majlis perbandaran mencurahkan air minuman penjaja
dianggap keterlaluan.
Tetapi wajar diingat yang dipaparkan dalam drama itu adalah tindakan paling sopan yang pernah
dilakukan. Erma sudah mempunyai pertimbangan sendiri apabila tidak menggambarkan adegan itu seperti yang pernah
dilihatnya. Ini kritikan terhadap sistem dan sememangnya karyawan perlu menyampaikan suara
hatinya terhadap isu begini.
Jangan bukan drama pertama yang memperlihatkan pemikiran tertutup stesen TV apabila penerbit
menghantar pita yang memuatkan kisah di luar selera mereka. Drama Kaki Bakar pernah mengalami nasib
yang sama. Drama arahan U-Wei Saari itu ditolak oleh stesen TV kerana
''kurang bermutu''. Tetapi sebenarnya kerana drama ini bercerita tentang lelaki Indonesia keturunan Jawa yang
bengis.
Kaki Bakar pernah ditayangkan di Festival Filem Cannes dan kemudian dipilih sebagai Filem Terbaik
(Luar Negara) Festival Filem Antarabangsa Brussels.
Maka jelaslah drama ini ditolak bukan kerana mutu tetapi ada bahagian-bahagian yang ditafsirkan
"sensitif" oleh stesen TV. Inilah bahayanya pemikiran sesetengah pihak yang menjadi gatekeeper akan memberi
gambaran seluruh stesen TV berfikiran jumud.
Sewajarnya stesen TV lebih sensitif dengan drama-drama buruk yang dihidangkan kepada
masyarakat. Sebenarnya stesen TV boleh memilih yang lebih baik tetapi terlalu banyak yang ditakuti akan menyinggung
si anu dan si polan.
Stesen TV tidak diminta berfikiran terlalu terbuka hingga boleh mengganggu keamanan. Cukuplah kalau
ditelaah semula istilah sensitif yang menjadi lesen untuk menolak karya-karya yang di luar dari
kebiasaan.
Jangan dan Kaki Bakar antara dua drama dari sekian banyak yang ditolak kerana tidak menepati selera
panel di sesebuah stesen TV. Tindakan ini seperti memberi garis panduan yang selamat dan tidak selamat
apabila membuat drama.
Kerana terlalu banyak yang mengambil jalan selamat, lupakanlah untuk melihat bagaimana pendekatan
karyawan tentang isu pemimpin korup, politik wang dan segala macam penyakit sosial kelas
atasan.
Maaf ya, stesen TV kita belum berani untuk memberi ruang berhujah tentang isu di luar daripada remeh
temeh.
Sumber: Utusan Online
(23 April 1998)

|