Telefilem
(TV)
Judul:
AN-NUR
Pengarah: AHMAD TARMIMI SERIGAR
Penekanan mesej secara berlebih-lebihan terhadap skrip bukan sahaja boleh mengelirukan
audien, malah menyukarkan seseorang pengarah untuk menterjemahkannya ke dalam filem atau drama.
Kerja-kerja pengarahan dan kreativiti pengarah akan turut terganggu kerana terikat dengan skrip yang
sarat dengan mesej dihasilkan oleh penulis yang terlampau mementingkan nilai moral.
Permasalahan tentang mesej yang menjejaskan mutu pengarahan ini telah diperbincangkan dalam Apresiasi
telefilem An-Nur, baru-baru ini.
Bertempat di FINAS, majlis yang dipengerusikan oleh Zakaria Ariffin ini turut mengundang Hassan Mutalib
dan Mahadi J. Murat sebagai panel, di samping Ahmad Tarmimi
Serigar sendiri.
Menurut Mahadi J. Murat yang juga pengarah filem, mesej dan keagamaan yang diterjemahkan secara
tidak sinematik jarang memberi impak mendalam kepada penonton.
Sebaliknya, kata Mahadi, sinematik logik yang direka oleh struktur cerita sahaja sudah boleh memberi
kesan dan difahami oleh penonton.
''Mesej tidak menerjah kalbu penonton, apabila karya hanya bersandar kepada petikan satu-satu ayat
al-Quran sahaja dan kemudiannya semata-mata berharap kepada ayat itu untuk memberi nilai
keinsafan,'' jelas Mahadi.
Katanya, mesej yang diprogramkan tanpa mengambil kesan sinema sekalipun dengan kesungguhan pelakon
tidak dapat menarik penonton.
Menurut pandangan Mahadi sendiri, mesej yang baik ialah sesuatu yang tidak dianggap secara total dan
tidak terlalu menekan penonton untuk menerimanya.
''Penonton hanya mahu mendapatkan kepuasan daripada skrip atau naskhah yang ditonjolkan tanpa terlalu
menumpukan kepada mesej.
Dalam keadaan ini, penulis harus pandai mengolah agar mesej itu dapat disampaikan secara ''indirect'',''
jelasnya.
Sekalipun penulis merasakan mereka bertanggungjawab sebagai penyampai mesej, namun ia tidak boleh
dipisahkan dengan teknik penceritaan menggunakan visual, katanya.
Mengenai An-Nur, Mahadi menjelaskan, percubaan menggunakan elemen perlambangan seperti anjing, ular
dan awan mengguatkan idealisme telefilem arahan Ahmad Tarmimi Siregar
ini.
Aspek metafora seperti awan dan langit yang terbuka juga memberi perlambangan yang indah dan sesuai
dengan mesej keislaman yang menjadi intipati cerita ini.
Namun, Mahadi berpendapat, perjalanan cerita ini agak terganggu dengan kehadiran elemen muzik yang
keterlaluan.
''Justifikasi muzik yang seronok didengar akan mengecilkan nilai sinematik dalam cerita ini. Khayal dengan
muzik akan menyebabkan penonton tertinggal babak-babak penting,''
katanya.
Sementara itu, Hassan Mutalib pula berkata, seperti filem Sumpah Semerah Padi, tema
An-Nur diperjelaskan dengan terus terang tanpa sebarang kiasan.
Permulaan cerita yang agak dramatik dan kucar-kacir memberi tanda tanya kepada penonton tentang apa
sebenarnya mahu ditonjolkan menerusi telefilem ini.
Bagaimanapun di pertengahan cerita, semakin menampakkan mesej dan tema keagamaan yang ingin
dipersembahkan.
Hassan juga memberikan pendapat bahawa sesuai dengan perubahan zaman, cara mengadaptasi sesuatu
mesej juga perlu menjalani proses perubahan.
''Kita boleh jadikan sesuatu tema itu kelihatan universal, walaupun sebenarnya ia berlandaskan
keagamaan. Sebagai pencerita, kita tidak lepas daripada
bercerita, tetapi mengikut intelektual tersendiri untuk menyampaikan mesej kepada
penonton,'' jelasnya.
Telefilem yang menampilkan Ahmad Tarmimi sendiri sebagai pelakon utama ini mengisahkan tentang nasib
malang yang menimpa Malik dan keluarganya yang melakukan kemungkaran dan tidak
amanah.
An-Nur memiliki keistimewaan tersendiri dan mempunyai struktur komersial. Bahkan, lebih istimewa apabila
penerbit, pengarah dan penulis skrip telefilemnya sendiri turut
beraksi.
Menurut pengarahnya, Ahmad Tarmimi, dia akan berusaha untuk memperbetulkan beberapa babak di dalam
telefilem ini yang difikirkan perlu.
''Saya bernasib baik kerana
telefilem ini belum dihantar kepada mana-mana stesen tv. Saya akan
melakukan penyuntingan setelah mendapat pandangan daripada rakan-rakan dalam apresiasi
ini,'' ujar Tarmimi.
Skrip telefilem ini juga telah memenangi hadiah dalam pertandingan menulis drama
TV berunsur Islam VII anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan
kerjasama Yayasan Pelajaran Islam dua tahun lalu.
Sumber: Utusan Online
(20 Julai 1998)

|