Ulasan
filem
Anak Mami papar kelucuan keluarga mamak
Oleh: A. Wahab Hamzah
Pulau Pinang memang bukan sahaja terkenal kerana nasi kandar dan pasembornya, tetapi juga oleh
keunikan masyarakat mamaknya.
Keluarga mamak di Pulau Pinang adalah sebahagian daripada masyarakat Pulau Pinang yang cukup menarik
kerana tradisi dan budayanya.
Biarpun mereka ini yang kebanyakan adalah keturunan asal dari India dan telah lama menyerap ke dalam
masyarakat tempatan, tetapi beberapa aspek budaya dan ciri-ciri unik tradisi mereka masih wujud dan
dipertahankan.
Selain daripada ciri fizikal rupa wajah, keluarga mamak Pulau Pinang ini nyata mempunyai ikatan
kekeluargaan yang kukuh.
Keistimewaan budaya keluarga mamak ini yang turut dikenali sebagai
"anak mami" telah pernah dijadikan drama televisyen oleh Abdul Razak Mohaideen dengan mendapat sambutan yang hangat.
Kejayaan drama komedi tersebut telah mendorong Razak untuk meneruskan lanjutan kisah keluarga Anak
Mami ini ke filem.
Barangkali, ini adalah trend semasa industri perfileman di negara ini yang cuba membawa drama atau siri
drama televisyen yang berjaya dan popular ke filem.
Trend begini yang juga banyak dilakukan di Hollywood adalah strategi mudah menghasilkan filem dengan
penonton yang sudah sedia mengetahui subjek dan bentuk filemnya.
Anak Mami - The Movie cuba mengikut kejayaan yang telah dicapai oleh
Senario dan Gerak Khas, tetapi
mengapa perlu digunakan perkataan "The Movie".
Sebahagian besar penonton mungkin sudah menonton drama Anak Mami ketika ia ditayangkan di
televisyen.
Apa yang menjadi tarikan utama filem ini pastilah watak-watak dan dialog-dialognya yang dilafazkan
dengan dialek Pulau Pinang yang kedengaran melucukan.
Filem ini bertolak daripada masalah keluarga Mamu Nasir (Ismail Din) yang mempunyai tiga orang anak iaitu
Aniq (yang dimainkan oleh Farouk Hussein) yang menghadapi masalah untuk berkahwin dengan Emilia
(Emilia Rosnaida) kerana mendapat tentangan daripada ayahnya.
Aisya (Fiza) pula yang pernah mempunyai hubungan dengan Rafi (Abdul Shukor Mohaideen), seorang
pensyarah, dan anak bongsu Sabrina (Naida) yang telah jatuh hati dengan Rafi akibat satu peristiwa yang
berlaku di kampus.
Skrip yang ditulis oleh Shukor Mohaideen ini cuba melihat peranan keluarga dalam menentukan jodoh
anak-anak mereka, tradisi yang menjadi sebahagian daripada ciri-ciri keluarga mamak di Pulau Pinang.
Mamu Nasir berkeras mahu menentukan sendiri jodoh anak-anaknya, tetapi anak-anak mereka mempunyai
pilihan sendiri.
Tentangan keras Mamu Nasir dan Maideen, bapa Emilia yang mahukan anak menantu yang warak
menyebabkan Aniq dan Emilia membuat rancangan tersendiri dengan bantuan datuk Aniq (Pie) untuk
memastikan rancangan mereka hendak berkahwin berjaya.
Subjek tentang masyarakat mamak di Pulau Pinang ini sebenarnya cukup menarik dan mempunyai potensi
yang cukup besar.
Bukan sahaja mereka mempunyai elemen kelucuan yang tersendiri melalui tradisi dan slanga daripada dialek
utara itu, tetapi juga permasalahan sosial dan budaya yang semakin terancam dengan berlakunya
peralihan generasi dan zaman.
Bagaimanapun, subjek yang memungkinkan filem ini menjadi lebih menarik dikacaukan oleh pengolahan plot
yang kehilangan fokus dan usaha memancing tawa penonton yang mudah melalui adegan-adegan komik
yang ada masanya kelihatan hilang kawalan.
Unsur kelucuan datang daripada gerak dan dialog watak-watak, tetapi apabila pelakon memberikan gaya
lakonan yang keterlaluan, kesannya terasa sebaliknya.
Watak Nasir dan isterinya Zarina (Kartina) yang seharusnya menyumbangkan kekuatan lakonan dalam filem
ini gagal dikawal menyebabkan gaya lakonan mereka sering dilakukan secara berlebihan.
Bagaimanapun, Farouk yang cemerlang sebagai Aniq benar-benar menghidupkan filem ini dan ia dibantu
oleh lakonan baik daripada Pie sebagai datuk yang begitu menyayangi dan memahami cucunya itu.
Mereka berdua banyak menghidupkan adegan-adegan komik yang melucukan dalam filem ini.
Tetapi hubungan antara Aniq dan Emilia yang seharusnya menjadi plot utama banyak ditenggelamkan oleh
plot-plot sampingan yang lain.
Begitu juga kemunculan watak-watak lain yang tidak dijalin dengan baik perkembangannya akhirnya lebih
banyak menganggu.
Watak-watak ini muncul dan kemudian tenggelam. Watak Julia yang dimainkan dengan cukup berkesan
oleh Eja tetapi peranan wataknya lemah dan mengelirukan dalam konteks cerita.
Dia muncul kemudian berdendam dengan Aniq hanya kerana peristiwa kecil, tetapi plot sampingan ini
menganggu kerana ia terpisah dengan plot keseluruhan cerita.
Di sebalik beberapa kelemahan ini, Anak Mami - The Movie adalah sebuah filem komedi yang menghiburkan
kerana subjeknya yang menarik.
Sumber: Utusan Malaysia
(8 Mac 2002)
|