Ulasan
filem
Adegan yang tidak menentu
Oleh: A. Wahab Hamzah
Sejak sekian lama filem Melayu hidup dan berkembang dengan imej penuh glamour, indah, mengagumkan
dan sekaligus bernafas dalam kekecewaan, keraguan dan kepalsuan, Filem kita adalah cerita tentang
harapan dan impian, yang dramatik dan mendebarkan, yang sesekali tercapai dan banyak pula yang
kecewa.
Filem Melayu adalah hiburan yang mudah, menjadi sinonim dengan mutu yang rendah, tiada tradisi
intelektual dan buruk. Filem Melayu selalu dilihat dengan penuh prasangka dan sekadar menjadi cemuhan di
kalangan penonton sendiri.
Di manakah salahnya filem
Melayu?
Pembikinan filem Melayu pernah melalui zaman gemilangnya. Dikagumi dan dihargai. Tetapi maruahnya
entah di mana kini. Sesiapa sahaja boleh mengeluarkan filem.
Siapa sahaja boleh menjadi pengarah filem. Filem Melayu dihasilkan sepertimana komoditi dagang
lainnya.
Persoalannya untung rugi. Filem sebagai karya seni hanya momokan para penelaah dan sarjana filem yang
sering menjadi pemerhati yang penuh prasangka.
Kisah seorang yang merasakannya serba boleh dalam urusan pembikinan filem Melayu. Yuzwan Wahid
barangkali boleh berbangga dengan keupayaan menerbitkan, menulis skrip, berlakon, mengarah dan malah
menyusun muzik untuk filemnya yang pertama ini. Tetapi apakah yang mahu dibuktikan oleh Yuzwan
dengan filem Antara Gadis?
Satu hakikat yang pasti tentang filem, memanglah perspektif pengarahan adalah hak istimewa pengarah
dan tidak boleh dipersoalkan. Sebab itulah akibat berkuasanya seorang pengarah ke atas cerita, lakonan
dan fotografi telah melahirkan 'autuer theory' yang menganggap pengarah adalah author sebenar karya
filem yang mencorakkan konsep dan stail filem yang dihasilkan. Tetapi filem sebagai karya seni adalah
'a communal art form' yang dihasilkan oleh sekumpulan tenaga kreatif selain dari
pengarah.
Secara ringkas sebuah filem yang baik harus mempunyai cerita yang baik, dan digerakkan oleh plot yang
dinamik.
Plot digerakkan oleh hubungan watak-watak dalam hukum sebab dan akibat yang tidak
terabai, rasional dan meyakinkan. Adegan demi adegan diikat secara
memikat, kemudian barulah kita boleh melihat sejauh manakah pengarah mampu berkomunikasi menerusi gambar dan
lakonan.
Imej yang dihasilkan oleh kerja kamera harus berupaya mentafsir skrip. Hasil fotografi yang cemerlang
adalah bonus kepada sesebuah filem.
Filem juga tidak mungkin dipisahkan dari aspek emosi. Di dalam filem, emosi saling bertindak sebagai
sebahagian dari keseluruhan sistem. Emosi menggerak dan memotivasikan penonton. Tetapi emosi perlu
ditangani dengan betul dan tidak seharusnya dibiarkan kering dengan melodrama yang
dangkal.
Sesungguhnya hubungan di antara emosi yang diwakilkan di dalam filem dan emosi yang dirasai oleh
penonton ada waktunya menjadi kompleks.
Seperti juga emosi, filem harus memberikan makna pada karyanya. Makna filem hanya berfungsi pada
keseluruhan bentuk filem bila mana ia dijelaskan konteksnya.
Semakin umum atau abstrak makna yang dimaksudkan pada sesuatu adegan atau keseluruhan filem, maka
semakin sukarlah penonton memahaminya dan semakin tinggilah risiko filem
itu.
Sebab itulah menonton filem boleh menjadi pengalaman yang emosional dan intelektual. Filem tidak lagi
dianggap sebagai substandard dari bentuk hiburan tetapi satu bentuk pengerjaan seni dalam bentuk dan
konsep yang tersendiri.
Dalam budaya popular, filem telah menjadi sebahagian dari struktur ideologi yang telah membina imej
individu dan masyarakat yang menentukan tindak balas dan penerimaan dalam hubungannya terhadap
dunia sekitarnya.
Sebaliknya perbicaraan filem Antara Gadis adalah sebaliknya. Dengan kesungguhan Yuzwan yang berusaha
menerbit, mengarah, menulis dan berlakon, dia seharusnya berusaha menjadikan Antara Gadis sebagai
sebuah penerokaan artistik yang boleh dibanggakan.
Sayangnya Yuzwan barangkali terlupa aspek yang penting ini kerana terlalu sibuk dengan
berlakon, mengarah, menulis dan menyusun muziknya, yang akhirnya
memerangkap dirinya.
Filem boleh digunakan untuk apa sahaja. Sebagai bahan hiburan melulu. Sebagai media kritik
sosial, sebagai media propaganda malah filem boleh menjadi media
ibadah. Tetapi tanpa komitmen seni, filem kehilangan makna lalu menjadi komoditi dagang yang
rakus.
Antara Gadis menjadi contoh antara beberapa banyak kekacauan dalam filem Melayu. Dan kekacauan ini
bukanlah hal baru dalam filem Melayu, melainkan ulangan yang sama akibat dari kelemahan penulis cerita
dan pengarah filem yang tidak peka.
Barangkali pengarah filem ini berniat baik mahu menampilkan kisah seorang mahasiswa dari keluarga
(miskin?) di kampung, yang bertungkus lumus belajar dan pada waktu yang sama cuba berniaga untuk
menampung belanja di universiti.
Bukan setakat itu, Zarul (Yuzwan Wahid) harus juga menghadapi dilema memilih antara dua
gadis, seorang lepasan universiti luar negara dan seorang lagi, Dila
(Mas Anizan) yang berlajar di universiti. Agaknya tidak cukup kompleks dengan kisah itu, diwujudkan pula masalah hubungan Amir
(Kamarool Hj. Yusuf) rakan berniaga Zarul dengan Seha (Zarina Zainuddin) pelajar universiti yang juga teman Dila hingga cukup
menimbulkan pelbagai masalah.
Terlalu banyak cerita yang hendak disampaikan dengan subplot-subplot yang tidak menentu dan tidak
cukup kuat alasannya, yang akhirnya memangsakan filem ini sendiri. Filem bermula dengan kumpulan
marhaban yang cukup panjang dan kemudian diikuti dengan kegiatan di kampus
universiti.
Tetapi dari mula hingga akhir, kita tak pasti apakah yang mahu disampaikan oleh Yuzwan. Hubungan
antara watak-watak tidak meyakinkan, malah penampilan watak tidak menonjolkan perwatakan pelajar
universiti yang mereka bawakan. Kegiatan pelajar dilihat dari sudut yang cukup mudah dan
mengelirukan.
Benarlah, pelajar universiti tidak dapat lari dari membuat hubungan cinta sesama mereka, tetapi tidaklah
se'naive' dalam Antara Gadis. Pelajar universiti dalam filem ini bukan sahaja tidak bermotivasi tetapi
langsung tidak kelihatan intelek. Gambaran yang sedemikian kacau dan mengelirukan tentang pelajar
universiti bukan setakat dalam filem ini sahaja malah telah ditonjolkan dalam filem
Riang Tirana dan Harry
Boy. Ini adalah gambaran (yang jelas tidak benar) yang cukup berbahaya tentang kehidupan pelajar
universiti kita.
Adegan-adegan (sequence) dalam filem ini tidak menentu, tidak unified dan akhirnya tergantung dan hilang
makna serta tidak ada penjelasan.
Bila adegan yang tidak menentu ini dibiarkan maka filem yang dihasilkan hilang kesatuan. Akhirnya apa
yang ditonton adalah cebisan-cebisan adegan yang tidak bermakna, tergantung dan bertaburan di
sana-sini.
Ini diburukkan lagi dengan lakonan dan fotografi yang lemah. Kehadiran Abu Bakar Omar masih tidak
berupaya membantu filem ini.
Sebahagian besar punca kesalahan filem Antara Gadis adalah berpunca dari Yuzwan sendiri. Barangkali dia
harus sedar, menghasilkan filem yang baik tidak semudah membuat filem yang asal
jadi.
Filem adalah 'a communal art
form'. Zaman satu orang menguasai segala-gala aspek pembikinan filem telah
berlalu dan memang tidak wajar dipraktikkan.
Selagi pembikin filem mengambil sikap mudah dalam seni pembikinan filem, maka selagi itulah mutu filem kita
tidak kemana. Dan akhirnya, jangan salahkan penonton bila mereka menolak filem
Melayu.
Sumber: Utusan Malaysia
(1 Mei 1993)
|