Ulasan
filem
Azam hilang semangat azam
Oleh: A. Wahab Hamzah
Z. Lokman adalah antara pengarah yang paling prolifik dalam menghasilkan filem. Tetapi nama Z. Lokman
juga sering memberikan kesan bahawa menghasilkan filem itu kerja yang
mudah.
Filem-filemnya sering diingat sebagai filem-filem yang
berbajet rendah. Kualitinya dinilai rendah. Komedi slapstik yang ringan dan sering dicemuh. Tetapi bagi Z. Lokman biar apapun tanggapan ramai, filemnya
tidak sampai kerugian.
Z. Lokman mungkin benar jika filem hanya dinilai sebagai sebuah hasilan komoditi tetapi filem adalah
sebuah karya seni yang nilai dan kesannya jauh lebih penting dari sekadar ukuran untung rugi. Diukur dari
jumlah filem yang telah dihasilkannya, filem-filem Z. Lokman sudah seharusnya menampakkan
kematangan.
Kelemahan dalam filem-filemnya yang lepas seharusnya menjadi perbandingan yang baik dalam membuat
penilaian. Azam diterbitkan oleh Grand Brilliance, dimana sekurang-kurangnya Z. Lokman tidak menghadapi
belenggu modal seperti mana yang sering dirungutkannya sebelum
ini.
Sebab itu Azam seharusnya menjadi lebih baik dan mantap. Kesempatan yang ada harus digunakan
sebaiknya oleh Z. Lokman untuk menghasilkan sebuah filem yang lebih bermakna. Sayangnya Azam
sepertimana filem-filem Z. Lokman sebelum ini.
Ia sekadar mengulangi penyakit lama filem Melayu. Azam mengisahkan Azam
(Shaharuddin Thamby) seorang pemuda yang perlu menghadapi masyarakat
selepas 17 tahun menjalani hukuman akibat melakukan rompakan di sebuah bank. Tetapi masyarakat kampung nyata tidak mudah menerima seorang
bekas banduan.
Bukan itu sahaja isterinya Tipah (Wan Norazleen) yang kini telah berkahwin dengan Musa
(Zaidi Omar) seorang guru silat juga tidak dapat menerimanya. Anaknya yang telah remaja Izah
(Sharifah Shaheera) tidak dapat mengenalinya.
Kecuali Pak Itam (Abu Bakar Omar) dan isterinya sahaja yang bersimpati, Azam harus menghadapi pelbagai
tohmahan dan penghinaan daripada orang kampung. Ada persoalan yang menarik hendak dikemukakan oleh
Z. Lokman sebenarnya. Tetapi olahan plotnya lemah dan
mengacaukan.
Kecuali adegan pembukaan dan penutupnya (yang diarah dan disunting dengan baik), perkembangan plot
dalam filem ini cukup lemah. Perwatakan tidak jelas dan hilang ransangan. Ceritanya hilang
fokus.
Kalau filem sudah lemah dalam aspek yang mendasar begini, bagaimanakah hendak dinilai aspek
lakonan, fotografi dan kekuatan konsepnya. Hujah begini mungkin sukar diterima bagi sebuah filem yang dihasilkan
dengan niat untuk hiburan semata-mata.
Bagaimana pun walau sebuah filem hanya dihasilkan untuk hiburan semata-mata ia tetap memerlukan
olahan cerita yang baik. Kelemahan teknik boleh sahaja dimaafkan sekiranya didokong oleh cerita yang
baik. Ini kerana penonton yang menonton filem tetap menanyakan nilai cerita terlebih
dahulu.
Sumber: Utusan Malaysia
(14 Mac 1997)
|