Ulasan
filem
Dilema seorang guru
Oleh: A. Wahab Hamzah
Filem ini bertolak dari subjek yang menarik sebenarnya. Cerita tentang dilema seorang guru dan
permasalahan sebahagian pelajarnya sudah cukup menjanjikan filem yang menghiburkan. Jadi apa
masalahnya dengan filem ini?
Menghasilkan sebuah filem komedi sebenarnya sama susah dengan menghasilkan filem-filem dari genre lain
malah selalunya lebih mencabar. Sebuah filem komedi bukan bermakna kosong dari aspek pemikiran yang
mencabar.
Kerana itu sebuah filem komedi tidak dibangunkan dengan aksi-aksi slapstik sahaja melainkan dengan
kekuatan lakonan, arahan dan pastinya dari skrip yang baik.
Baginda mengisahkan dilema yang dihadapi oleh Azian (Azean Irdawaty) seorang guru yang telah mencipta
kejayaan di sebuah kolej swasta di ibu kota. Dia juga terpaksa menghadapi pelbagai masalah sekolah
swasta yang diwariskan kepadanya oleh pakciknya Mahmud Baginda.
Kolej Mahmud Baginda selepas kematian pengasasnya Mahmud Baginda, bukan sahaja menghadapi
masalah para pelajar yang tidak berdisiplin, rendah moral tetapi juga para guru yang hilang minat
mengajar.
Kemerosotan Kolej Mahmud Baginda menjadi bahan sindiran Bakar (Jalaluddin Hassan), seorang guru yang
mengajar di Kolej Panglima yang jauh lebih berjaya baik dari aspek lulusan pelajarnya mahupun pasukan
sukannya.
Pada masa yang sama sekembalinya Azian ke Kolej Mahmud Baginda telah menemukannya semula dengan
teman lamanya Syukri (Jalil Hamid) seorang guru sukan yang seperti guru lain di kolej itu hilang rangsangan
untuk mengajar. Marah dan dendam mendasari filem ini.
Perlawanan bola tampar berlangsung kerana marah dan dendam oleh cabaran dari Kolej Panglima. Begitu
juga bila Cikgu Azian dan Cikgu Syukri menyahut cabaran mengadakan perlawanan dengan Kolej
Panglima. Begitulah seharusnya nilai yang ditanam kepada para
pelajar.
Filem ini barangkali akan mengingatkan kita kepada filem
Adik Manja arahan Hafsham yang dihasilkan lebih
sedekad yang lalu baik dari subjek mahupun beberapa adegannya. Sememangnya selepas Adik Manja kita
menghadapi kekontangan filem-filem komedi yang berkualiti.
Filem-filem komedi sama ada slapstik yang membodohkan penonton atau dihasilkan secara ambil mudah
tanpa mengambil kira asas skrip yang baik. Baginda bermula dengan baik tetapi bila adegan berpindah ke
Kolej Mahmud Baginda filem ini memperlihatkan cukup banyak kelemahan adegan slapstik para pelajar
yang mempermainkan Cikgu Azian.
Ini bukan sahaja ketiadaan originaliti tetapi juga memualkan. Begitu juga setengah para guru Kolej Mahmud
Baginda yang tidak meyakinkan.
Sebuah filem komedi memerlukan plot yang kuat dan perwatakan yang meyakinkan. Kelemahan perwatakan
menjadi punca kelemahan Baginda untuk mengembangkan plotnya secara lebih
meyakinkan.
Kecuali Azean dan Jalil yang cuba membawa watak mereka sebaik mungkin, watak-watak lain tidak banyak
membantu menguatkan filem ini.
Baginda diarahkan oleh Aziz dengan kemas, fotografi dan suntingannya dihasilkan dengan baik dan
berupaya membentuk tempo yang pantas tetapi Baginda juga masih dibelenggu oleh kelemahan skrip dan
lakonan.
Sumber: Utusan Malaysia
(4 Julai 1997)
|