Ulasan
filem
Oh, Balada, mengapa kau?
Oleh: A. Wahab Hamzah
Perhatikan adegan-adegan ini.
Adegan pertama: Sawah padi/senja.
Seorang ibu dengan anaknya, sambil melihat seekor kerbau, berkata si ibu kepada anaknya, separuh
berfalsafah, tentang kehidupan, tentang adat dan agama. Perbandingannya adalah kerbau dan kakinya.
Adegan kedua: Kampung/malam.
Seorang tokoh politik kampung berceramah politik dengan panjang lebar tentang nasib orang Melayu.
(Latar peristiwa, di awal kemerdekaan, zaman Parti Perikatan, ada lambang kapal layar, anehnya pakaian si
tokoh politik ber'bush jacket').
Adegan ketiga: Sebuah balai di kampung/malam.
Desa (M. Nasir) memetik gitar sambil menyanyi di hadapan sekumpulan orang-orang kampung. Insert:
Timah (Kuza) si gadis pingitan melihat Desa menyanyi dari balik tiang.
Cut.
Tiga adegan di atas adalah adegan-adegan awal yang membuka filem Balada arahan Datuk Jins
Shamsuddin.
Dikatakan sembilan tahun tidak mengarah, kali terakhir adalah filem 'box-office'
Ali Setan.
Sembilan tahun barangkali tempoh masa yang cukup untuk beliau berehat dari mengarah. Seharusnyalah
filem yang terbaru darinya adalah filem yang dinanti-nantikan, yang hebat dan segar, apatah lagi Jins
adalah orang veteran dalam pembikinan filem yang telah dianggap 'bintang legenda' oleh RTM.
Dengan kebangkitan filem Melayu yang telah dikocakkan oleh para pengarah generasi baru, yang telah
menghasilkan filem-filem Melayu dengan nafas dan dinamisme baru, dengan persoalan yang lebih mencabar
minda, dengan pendekatan yang segar dan membanggakan. Lalu seharusnyalah filem dari pengarah
veteran seperti Jins Shamsuddin telah menunjukkan kematangan, secara estetik mantap, persoalannya
mencabar.
Apatah lagi dalam berkarya pengalaman yang lama seharusnya menunjukkan kematangan karya. Bukankah
itu yang telah dilakukan oleh pengarah Robert Althman dalam usia 67 tahun, dia mampu menghasilkan The
Player, dengan adegan pembukaan yang cukup mencabar, shotnya selama 8 minit tanpa dipotong.
Balada, skripnya dihasilkan oleh Zain Mahmood, orang lama yang bertanggungjawab menghasilkan skrip
Fenomena yang antara lain telah membantu
menonjolkan nama Aziz M. Osman sebagai pengarah berbakat.
Seharusnya gabungan dua orang lama ini berupaya menghasilkan sesuatu yang boleh dibanggakan,
kalaupun tidak membawa perubahan baru yang menyegarkan. Tetapi sayang filem ini tidak seperti yang
diharapkan, malah lebih buruk dari sebahagian drama-drama yang ditayangkan oleh TV kita.
Filem ini mengetengahkan perjuangan menegakkan maruah oleh seorang pemuda desa yang bernama Desa,
untuk menebus tanah milik arwah ayahnya (Jins Shamsuddin) yang tergadai di tangan seorang ceti, hanya
kerana perjuangan politik. Isu ini bukan tidak menarik, tetapi rasanya sudah basi. Apatah lagi bila
diolah dengan begitu lemah. Malah tidak nampak di mana maruah Desa tercabar, atau dia menghadapi kesukaran
menebus hutang sebanyak tiga ribu ringgit itu. Malah kita melihat shot yang padi yang telah masak dan
sedang dituai. Tidak keterlaluan jika dikatakan Desa ke Kuala Lumpur kerana terpukau dengan
kehebatan Lazim (Sabree Fadzil) yang balik kampung dengan kereta yang berkemilau.
Barangkali wajar juga kita menyoal, di manakah rasionalnya seorang anak yang bertanggungjawab
meninggalkan ibunya yang buta dan tua keseorangan di rumah, hanya kerana menyahut cabaran demi
menebus maruah keluarga.
Saya tidak menjangka kesilapan awal yang besar begini harus dilakukan oleh penulis veteran seperti Zain
Mahmood dan pengarah berpengalaman Jins Shamsuddin. Di manakah letaknya persoalan maruah sebenar
yang diperjuangkan.
Filem ini semakin sesat dalam adegan-adegan seterusnya. Di Kuala Lumpur, Desa bekerja di bengkel kereta
yang diketuai oleh Lazim, yang rupa-rupanya menjalankan kegiatan mencuri kereta yang diketuai oleh
Sunny (Yusuf Haslam), yang sebenarnya bekerja dengan seorang ketua berbangsa Cina.
Dalam pada itu, Desa dikunjungi oleh Sam, penjual keropok yang tiba-tiba sahaja muncul di bengkel dengan
lagak tomboy (watak yang seba tak kena dibawakan oleh Fauziah Ahmad Daud) yang dengan keberanian
dan kehebatannya tahu di mana sahaja Desa berada.
Maaf, saya tidak mahu terus sesat dalam adegan-adegan seterusnya yang lebih banyak mengelirukan dan
meremehkan masa.
Masalah dasar dalam filem ini adalah skrip. Zain Mahmood sewenang-wenangnya mencampak dan
mengumpulkan watak-watak tanpa perlu memberikan kewajarannya. Yang dipentingkan oleh Zain adalah
cerita, watak bergerak tanpa sebab-akibat yang jelas.
Pemuda Melayu tidak boleh berjaya di kota agaknya kalau tidak bekerja secara haram. Filem tidak boleh
mencipta ketegangan atau klimaks agaknya kalau tidak ada adegan-adegan pergaduhan, atau adegan
mencurigakan dalam disko.
Aduhai, bagaimana hendak kita melihat kekuatan lakonan dan pengarahan jika aspek yang sedemikian asas
sudah lemah. Kelemahan skrip ditambah pula oleh kelemahan suntingan. Saya tidak faham mengapa Jins
Shamsuddin perlu menghabiskan sedemikian banyak masa, berlegar-legar dalam adegan yang tidak perlu
dan panjang. Adegan menyanyi, baca talkin, bercakap di kawasan kubur bukan sahaja membosankan
tetapi tidak perlu.
Suntingan bukan sekadar memilih shot, mengawal masa dan ritme tetapi harus memastikan shot yang
dipilih bermakna pada adegan dan keseluruhan filem. Tidak dinafikan beberapa shot dalam filem ini menarik
terutama adegan di kampung.
Balada adalah hasil kerja yang tidak teliti.
'Substance'nya menarik tetapi apa yang boleh dilakukan dengan skrip yang sedemikian kacau dan pengarahan yang
lemah.
Sumber: Utusan Malaysia
(16 Oktober 1993)
|