Ulasan
filem
Bara: Yusof tetap setia dengan formula
Oleh: A. Wahab Hamzah
Filem Yusof Haslam yang terbaru? Bagi peminat setia filem-filem Yusof pastinya sudah dapat menduga
konsep cerita, bentuk dan stail filemnya. Jangan kecewa, semua elemen yang menjadi trademark filem
Yusof ada dalam filem ini. Bara tetap mengekalkan formula kejayaan filem-filem Yusof terdahulu,
penyanyi, lagu, cinta dan aksi (eh, kalau formula itu terbukti berjaya di pasaran, mengapa perlu
diketepikan?).
Bara mengisahkan bagaimana seorang gadis kampung (zaman ini?) Effa (Nasha Aziz) kerana kenaifannya
dengan mudah ditipu oleh Zeti (Ning Baizura) untuk menjadi seorang pelacur di dalam sindiket pelacuran di
ibu kota Kuala Lumpur yang diketuai oleh Carlos (Rosyam Nor).
Satu malam, Effa berjaya melarikan diri, tetapi dia diburu oleh orang-orang Carlos sehinggalah hero
kita, Amri (Awie) menyelamatkannya dan bermula dari situ hubungan mereka berkembang hingga menjadi
sepasang kekasih.
Amri dan kawannya Ziman (Zamani) adalah mekanik di siang hari, tetapi bekerja sebagai pemuzik dan
penyanyi di sebuah kelab di waktu malam. Effa bagaimanapun terus diburu oleh Carlos yang kemudian
berjaya membunuhnya, tetapi Amri pula dituduh. Akhir cerita, Amri berjaya membalas perbuatan
Carlos.
Ada drama, diselitkan komedi, ada aksi, ada percintaan, konflik dan ada nyanyian. Elemen ini semua
memang mampu menghasilkan naratif yang baik asal sahaja dianyam dan diadun dengan
bijaksana.
Tetapi Bara tidak mempunyai struktur naratif yang kukuh kerana kelemahan plotnya. Bara bermula dengan
baik, tetapi sebaik Effa diselamatkan oleh Amri, plot seterusnya menjadi kacau dan lemah, dan hanya
untuk mengisi masa filem dan mengiringi dendangan lagu-lagu.
Bayangkan hero kita Amri masih boleh terperanjat, cemburu dan mahu mendapatkan kepastian daripada
Effa semasa seorang lelaki upahan dan Carlos mengugut dan mengatakan Effa seorang
pelacur.
Sedangkan sebelum itu, di awal filem, hero kita itulah yang menyelamatkan Effa daripada sindiket
pelacuran Carlos dan kemudian jatuh hati pula. Dan jangan persoalkan bagaimana hero kita itu dengan
mudah melarikan diri daripada buruan hebat anggota polis dan mudah pula membalas dendam. Eh, itukan
realiti filem?
Filem begini mudah diterima dan serasi kepada sebahagian besar penonton kita. Selagi mereka dapat
mengidentifikasikan diri dan tahap pemikiran mereka dengan watak Effa (kecantikan Nasha memang
menawan) yang naif dan mudah tergoda serta ditipu. Maka, jangan hairan dengan kejayaan formula filem
begini.
Sumber: Utusan Malaysia
(2 April 1999)
|