Ulasan
filem
Black Maria - Plot kacau, watak mengelirukan
Oleh: A. Wahab Hamzah
Dari judulnya saja kita dibayangkan bahawa ceritanya adalah berkaitan dengan sisi gelap kehidupan iaitu
dendam, pembunuhan dan kematian. Judulnya juga memberikan kita gambaran tentang seorang wanita
yang keras dan pendendam. Dan cerita dalam filem ini berkisar tentang dendam, keganasan dan
pembunuhan. Filem ini juga adalah sebuah melodrama keluarga tentang tragedi perpisahan sebuah
keluarga.
Saya kira pengarah dan penulis lakon layar, Ambri Kailani Zain adalah seorang yang bercita-cita tinggi
untuk menggarap jalinan cerita yang mempunyai tumpuan kepada beberapa watak yang mempunyai
permasalahan tersendiri. Ia kemudian ditambah dengan tragedi demi tragedi yang menimpa ahli keluarga
tersebut.
Plot cerita yang sebegini sering mencabar penulis skrip untuk mengelakkan kekacauan dan kekeliruan
penonton untuk memahami jalan ceritanya. Di tangan penulis yang baik sudah pasti ia akan menjadi
sebuah cerita yang cukup menarik dan dramatik.
Oleh itu, kekuatan Black Maria sangat bergantung kepada keupayaan penulis skrip untuk mengolah jalan
cerita dengan kekuatan watak, jalan cerita yang tidak kacau dan setiap adegannya bergerak lancar dan
dengan cukup meyakinkan. Adegan dan peristiwa tidak menimbulkan persoalan kerana ia mempunyai alasan
sebab dan akibat yang meyakinkan.
Di dalam Black Maria kita dihadapkan dengan tragedi demi tragedi sebuah keluarga. Bermula dengan Azman
(Eizlan) yang harus menyaksikan isterinya dirogol dan dibunuh secara kejam di depannya
sendiri. Kemudian, Maria (Nisdawati) yang baru balik dari belajar di Amerika juga menjadi mangsa rogol oleh orang yang sama.
Abang mereka yang tua Razlan (Azhar Sulaiman) yang menerajui sebuah perniagaan menghadapi sakit
barah otak dan hanya mempunyai beberapa bulan untuk hidup.
Dia harus menyerahkan urusan menerajui perniagaannya kepada seseorang yang layak. Manakala Izani
(Joe Radzwill) pula berhenti bekerja sebagai pengarah sebuah syarikat dan kemudian memutus hubungan
dengan kekasihnya Dania (Fasha Sandha), tetapi dalam kerunsingannya semasa memandu dia telah
melanggar seorang gadis Iman (Julia Hana). Izani merasa bertanggungjawab terhadap kemalangan tersebut
lalu mengambil keputusan untuk menjaga Iman dan akhirnya dia dilantik menjadi pengarah di syarikat
perniagaan bapa Iman. Kemuncak tragedi keluarga ini adalah apabila Razlan diculik oleh kumpulan Black
Rose (Aida Aris) untuk mendapatkan wang tebusan.
Kekuatan plot sebuah cerita bergantung pada kekuatan watak dan jalinan adegan yang dibangunkan
dengan hukum sebab dan akibat yang jelas, logik dan meyakinkan. Inilah masalah utama filem ini. Plotnya
tidak menyakinkan dan kacau. Hukum sebab dan akibatnya terabai.
Apakah motif rogol dan pembunuhan tersebut? Mengapa ahli keluarga tersebut terpisah dan apakah
sebabnya mengambil masa yang begitu lama untuk kemudian bertemu semula. Apakah hubungan antara
penculik dan pembunuh serta perogol tersebut?
Mengapa Izani perlu meletakkan jawatan pengarah syarikat dan kemudian dengan mudah diberikan
tanggungjawab untuk mengendalikan sebuah syarikat keluarga lain. Filem ini memaparkan persoalan demi
persoalan dan adegan demi adegan yang tidak jelas dan
mengelirukan.
Bukanlah Ambri tidak boleh menjadi pengarah yang baik. Tetapi sebaik manapun pengarah itu jika skrip
lemah dan kacau, maka filem itu akan gagal. Pelakon tidak akan mampu menggerakkan lakonan jika olahan
watak tidak jelas dan lemah.
Eizlan, Joe Radzwill dan Azhar mencuba sebaik mungkin membentuk lakonan mereka dengan kelihatan
seperti pelakon yang membawakan teknik method dengan wajah yang dingin kerana dibelenggu oleh
kononnya pelbagai kesan psikologi akibat peristiwa yang menimpa mereka. Tetapi apabila kewajaran dan
alasan tindakan mereka lebih banyak menimbulkan persoalan, maka lakonan mereka menjadi
kosong.
Black Maria gagal menggarap pelbagai persoalan dan kemunculan watak yang banyak secara dengan
berkesan. Jika ditumpukan kepada masalah Azman sahaja mungkin filem ini lebih berkesan dan
menarik. Hakikatnya filem ini memerlukan penulis skrip yang baik.
Sumber: Utusan Malaysia
(8 Julai 2003)
|