Ulasan
filem
Bukak Api membuka mata
Filem Bukak Api dibuka dengan lelaki dan maknyah berasmara berlatarkan Menara Kembar Petronas
waktu malam. Adegan seterusnya lelaki berbaju batik di lorong belakang di Chow Kit bersama maknyah
dan berasmara dalam kereta mewah.
Bukak Api membuka sisi gelap Kuala Lumpur dan subcultural kelompok masyarakat yang terlepas daripada
pandangan mata. Lorong gelap, hanyir dan kusam di Chow Kit (red light di Kuala Lumpur) dengan hilai
ketawa memberi karakter kepada filem ini.
Demikian pengenalan Bukak Api skrip dan arahan Osman Ali yang diterbitkan oleh Pink Triangle Malaysia.
Filem ini dibuat khusus untuk pekerja-pekerja seks di Malaysia.
Malam Rabu lalu buat pertama kali Bukak Api ditayangkan kepada umum selepas pembikinannya dua tahun
lalu. Turut menyaksikan tayangan pertama itu ialah Pengerusi Majlis Aids Malaysia, Datuk Paduka Marina
Mahathir serta jawatankuasa Pink Triangle Malaysia.
Bukak Api ditayangkan kepada umum di Actors Studio hingga 28 November ini. Masuk hanya dengan
menderma kepada tabung Pink Triangle Malaysia.
Jangan mencari arus perdana filem Melayu atau drama TV (Cerekarama) dalam Bukak
Api. Melodrama diselit tidak lebih sebagai sinikal terhadap aliran pemikiran masyarakat yang diwakili oleh drama TV dan
filem Melayu.
Arahan Osman Ali antara filem underground Malaysia selepas
Lips To Lips arahan Amir Muhammad.
Hasrat awal yang mencetuskan kelahiran Bukak Api ialah pendidikan seks kepada pekerja seks. Tetapi
pendekatan fiksyen membesarkan ruang litup Bukak Api sebagai karya
surrealisme.
Bukak Api memang mual malah sedikit lucah. Dialog slanga Chow Kit dan grafik seks sememangnya mengisi
hasrat Bukak Api sebagai alat bimbingan seks.
Filem ini sebenarnya menginsafkan. Sebagai anggota kelompok pekerja seks, Bukak Api melemparkan
pertanyaan; sampai bila kita harus begini? Sebagai orang luar red light Chow Kit, kita ditanya kenapa
mereka didiskriminasi hingga menjerumus ke lorong hanyir dan penuh survival?
Mereka bersalah kerana melanggar batas hukum moral tetapi masyarakat juga wajar rasa bersalah apabila
golongan minoriti ini (bukan pekerja seks) yang selalu dijadikan bahan
jenaka.
Filem ini menyusuri ke akar umbi perwatakan watak-watak manusia gelandangan. Tanpa pelakon
profesional, Bukak Api dihidupkan oleh manusia-manusia yang menghirup udara kusam Chow Kit, Lorong
Haji Taib dan merenung di meja solek sambil membuka hipokrasi.
Struktur naratif perlu diperhalusi dengan menggugurkan beberapa bahagian yang dianggap sekadar
menambah durasi filem ini. Malah lakar watak juga masih boleh didalami dengan interaksi yang lebih
terancang.
Watak pelacur maknyah Kak Su, Tipah, Manisha, Riena, Jelita dan pelacur wanita, Murni yang sarat
mengandung. Jelita @ Budin dari Kedah membawa diri ke Kuala Lumpur setelah dihalau ayahnya. Jelita
yang masih bersih semasa di kampung tidak dibenarkan menziarah jenazah
ibunya.
Kak Su yang keibuan sinikal kepada watak klise ibu dalam drama-drama Melayu. Selalu menasihat dan
berceramah hingga memualkan. Kak Su sengaja dilakarkan begitu kerana filem Melayu mesti ada watak
begini.
Dari sisi lain, Bukak Api sebuah kenyataan politik karya filem underground Malaysia. Lelaki berbaju batik
metafora kepada "orang yang baik lagi terhormat'' yang barangkali pernah menjejak kaki di
Parlimen. Di sebalik topeng, mereka ini juga sebahagian daripada penyumbang ekonomi kepada minoriti yang terpinggir
ini.
Adegan ini mengingatkan saya kepada watak lelaki berbaju batik yang dihalau keluar dari kelab punk kerana
kehadiran mereka "tidak relevan'' dalam Dari Jemapoh Ke Manchestee arahan Hishamuddin
Rais.
Pengarah seni dan pereka kostum Yee I Lan memberi sumbangan besar kepada Bukak Api. Yee mampu
memberikan 'mise en scene' (seni pengadegan) dengan kostum dan setting di lorong belakang di Chow Kit.
Kesuraman dan keterasingan yang kontras dengan wajah Kuala Lumpur dizahirkan dengan
baik.
Dari aspek sinematografi, pengarah fotografi Daven Ragharan memberikan struktur shot dan gerak kamera
yang mendekati dokumentari. Penggambaran pada sesetengah adegan secara handheld membantu
memberi suasana Chow Kit yang sibuk, binggit dan penuh waspada.
Sumber: Utusan Malaysia
(25 November 2000)
|