Ulasan
filem
Burung Besi tanpa publisiti
Oleh: A. Wahab Hamzah
Badaruddin Azmi menjadi terkenal kerana bakatnya yang cukup baik sebagai pengarah fotografi yang selalu
berjaya menghasilkan visual-visual yang menarik. Berdasarkan keupayaannya itu, dia ditawarkan untuk
mengarahkan filem Burung Besi. Pengarah fotografi menjadi pengarah filem bukanlah
asing.
Contoh antara pengarah fotografi yang berjaya menjadi pengarah filem adalah Haskell
Wexler, Vilmos Zsigmond, Nven Nykvist dan yang cukup popular sekarang ini adalah Jan de Bont (filem arahannya yang
cukup berjaya adalah Speed). Bagaimanapun keupayaan menghasilkan visual yang cemerlang bagi
sesebuah filem bukan ukuran mudah untuk berjaya menjadi pengarah filem yang baik. Ini kerana sebuah
filem yang baik tidak dibangunkan daripada kehebatan persembahan visualnya sahaja tetapi dilengkapkan
dengan komponen yang lain seperti skrip dan lakonan.
Filem ini sebenarnya sudah lama disiapkan. Sayangnya filem sulung arahan Badaruddin Azmi daripada cerita
yang dihasilkan oleh Unit Skrip Grand Brilliance ini tersimpan senyap untuk beberapa lama.
Burung Besi ditayangkan tanpa promosi yang hebat. Judul filem ini Burung Besi agak aneh dan sedikit
melucukan, tetapi keanehan judul itu juga mungkin dapat menarik perhatian
penonton.
Filem Burung Besi adalah sebuah filem aksi komedi yang ditujukan kepada remaja. Pemain utamanya adalah
remaja, pelakon baru dan subjeknya merupakan sebahagian daripada hobi remaja masa kini iaitu permainan
kapal terbang kawalan jauh.
Kerana Badaruddin Azmi merupakan seorang pengarah fotografi sebelum ini dan ia juga bertindak yang
sama dalam filem ini selain mengarah maka aspek fotografi kelihatan menjadi tumpuan utama dalam Burung
Besi.
Bagaimanapun fotografi dalam filem ini tidaklah begitu cemerlang. Beberapa adegan yang menunjukkan
pertempuran di udara antara dua kapal terbang kawalan jauh berjaya digambarkan dengan baik. Tetapi
sebahagian adegan yang seharusnya dilengkapkan dengan shot penerbangan yang dramatik di waktu
malam tidak dilakukan dengan sebaiknya, cuma sekadar dilengkapkan dengan kesan bunyi enjin
sahaja. Adegan-adegan begini seharusnya dapat memberikan impak dramatik kepada filem
ini.
Burung Besi berpotensi menjadi sebuah filem remaja yang baik jika skripnya lebih diberikan perhatian yang
utama. Setiap adegan dalam binaan plotnya harus lebih meyakinkan dan tidak meremehkan. Tujuan untuk
menghasilkan sebuah filem remaja dengan jalan cerita yang ringan tidak bermaksud mengetepikan
kepentingan perincian dan kekuatan plot.
Kalau hal ini diutamakan tidaklah banyak adegan yang dipersoalkan, sungguhpun tujuannya tidak lebih
untuk menimbulkan kelucuan. Kelemahan filem ini bukan bermakna pengarah fotografi yang baik tidak boleh
menjadi pengarah filem yang baik, tetapi tumpuan harus diberikan kepada pembentukan skrip yang ampuh
dan keupayaan arahan lakonan. Jika kelemahan dalam binaan skrip, lakonan para pelakon dan pendekatan
pengarah dapat diatasi saya percaya Burung Besi boleh menjadi sebuah filem yang baik dan
menghiburkan.
Sumber: Utusan Malaysia
(3 Disember 1999)
|