Ulasan
filem
Embun segar dalam api perang
Oleh: A. Wahab Hamzah
Cinta dan perang adalah dua subjek yang cukup bertentangan antara satu dengan yang lain. Yang satu
membawakan erti kebahagiaan, manakala perang membawa makna penderitaan. Tetapi filem atau karya
sastera melihat kontradiksi itu sebagai hubungan yang cukup istimewa dan sering memberikan pengertian
yang cukup menarik apabila digabungkan.
Filem Embun arahan Erma Fatima juga meneruskan tema begini. Filem ini mengambil lanskap Perang Dunia
Kedua yang sedang menggila melanda Tanah Melayu. Ketika rakyat sedang menghadapi intrig dan derita
perang, sebuah hubungan cinta anehnya berputik.
Lebih menarik hubungan cinta itu berlaku antara dua kekasih dari dua latar yang berbeza. Si gadis daripada
mereka yang sedang dijajah manakala si lelaki daripada tentera yang dikenal kerana kekerasan dan
kekejaman.
Di sebalik kegilaan perang dalam Embun, hubungan cinta itu patut dilihat sebagai membawa semangat
feminis yang kuat. Kebangkitan Embun (lakonan Umie Aida) bertitik tolak dari tertangkapnya Bayu
(Hani Mohsin) dan kematian bapanya (Rahim Razali) di tangan tentera
Jepun.
Daripada seorang anak gadis yang malu-malu yang sekadar mahu mengikut kumpulan politik Kesatuan
Melayu Muda (KMM) pimpinan abangnya, Embun berubah menjadi wanita yang berani, pendendam dan
bertekad untuk membalas dendam.
Lebih daripada itu, tekad dan dendam Embun adalah akibat dari peristiwa dia dirogol oleh tentera Jepun
yang diketuai oleh Leftenan Akaishi (Izi Yahya). Apabila tidak ada golongan pemuda dan wanita yang
berani bertindak dan membantunya, Embun terpaksa bertindak sendirian dan dengan cara yang dia
tahu.
Embun beruntung kerana dia diselamatkan oleh Leftenan Koishi (Aqasha) seorang pegawai penerangan
tentera Jepun yang lebih bersimpati dan memahami penderitaan rakyat tempatan akibat perang. Embun
memaparkan kemantapan struktur naratifnya dengan dokongan lakonan, fotografi dan suntingan untuk
menjadi filem tempatan yang cemerlang. Skrip yang ditulis oleh Rohiman Haron ini pernah memenangi
hadiah dalam peraduan menulis skrip filem anjuran Finas dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lama
dahulu.
Struktur naratifnya diolah dengan baik, struktur dramatik dan konfliknya berkembang seimbang di setiap
adegan dan memuncak ke penamatnya apabila Embun akhirnya berjaya membunuh Akaishi dan sekali gus
menyelesaikan dendamnya biarpun dia sendiri akhirnya terkorban.
Umie Aida sebagai Embun telah memberikan yang terbaik. Di wajahnya teralir kenaifan gadis desa dan
kemudian secara perlahan menjadi pendendam selepas abangnya ditangkap, bapanya mati dan dia sendiri
dirogol secara bergilir-gilir.
Izi Yahya berjaya menampilkan lakonannya yang terbaik sebagai pegawai tentera Jepun yang rakus dan
kejam. Herot wajah dan gerak tubuhnya sudah cukup untuk memberikan dinamisme pada
wataknya. Bagaimanapun antara wajah tentera Jepun yang begitu menangkap dan sukar dilupakan adalah Saito
(Mak Kwai Yuen), dengan riak wajah yang dingin serta lebih banyak mengundang misteri yang
menakutkan.
Aspek yang cukup cemerlang dalam filem ini adalah arahan fotografi yang dilakukan oleh Teoh Gay
Hian. Fotografinya bukan sahaja cantik tetapi sensitivitinya berupaya menghasilkan mood yang sesuai untuk
setiap adegan. Cahayanya terkawal, sudut dan gerak kameranya berupaya menangkap detik-detik yang
genting. Ada waktunya imej-imej yang dihasilkan sungguh puitis.
Aliran air sungai yang tenang dan hampir beku dilimpahi cahaya malam, sedangkan keganasan dan perang
sedang bersemarak. Kameranya berjaya menangkap wajah-wajah penduduk kampung yang innocent dalam
suasana yang genting itu.
Embun sebagai sebuah filem bergerak dalam tempo yang baik dengan unsur dramatiknya yang sentiasa
terkawal kerana keupayaan suntingan yang cukup sensitif oleh Kamarudin Abu.
Shot-shot yang dipilih bukan sahaja memperkuatkan adegan, menyarankan makna tetapi juga bersifat
suggestif. Bagaimanapun struktur dramatik filem ini yang kuat di peringkat awal terasa agak lembut apabila
perjalanan cerita semakin menuju ke akhir. Hal ini lebih terasa apabila hubungan Embun dan Koishi mula
terbina. Suasana romantis itu hampir menguasai adegan-adegan selepas itu, mujur adegan memuatkan
Bayu dan perjuangannya menguatkan semula kesan dramatik filem
ini.
Biarpun filem ini memperlihatkan semangat feminis yang cukup kuat, tetapi beberapa adegan dalam filem ini
boleh sahaja menimbulkan persoalan. Embun tidak memberikan gambaran emosi dan psikologi yang
seharusnya dialami oleh wanita yang pernah melalui peristiwa hitam dan paling ngeri dalam
hidupnya.
Apakah peristiwa itu telah meragut emosinya dan kesan psikologinya terus hilang? Kita melihat dalam
adegan tertentu dia begitu mudah menerima Koishi yang seharusnya dicurigai kerana pengalamannya masa
lepas.
Biar apa pun alasannya, secara rasionalnya Embun tidak mungkin boleh bersama tentera Jepun secara
mudah. Benar tidak semua tentera itu sama dan kejam, tetapi Koishi tetap harus dicurigai oleh Embun jika
kesan perkosaan itu masih menghantuinya dan dendamnya masih menyala. Atas alasan itu juga adegan
yang kelihatan sensual dan romantis ketika Koishi memberikan penyucuk sanggul kepada Embun boleh
dipersoalkan kewajarannya.
Sumber: Utusan Malaysia
(9 Ogos 2002)
|