Ulasan
filem
Subjek menarik tetapi...
Oleh: A. Wahab Hamzah
Nampaknya makna feminis sejak pertama kali diperkatakan dalam jurnal Athennaeum, 1985 tidak pernah
berubah. Wanita dikatakan mempunyai keupayaan berjuang mencari kebebasan. Feminisme menjadi agenda
yang menentang dominasi patriki, yang menyifatkan lelaki cenderung merendahkan wanita, menguasai dan
melakukan penindasan ke atas wanita.
Feminisme mahukan dunia sejak dahulu lagi tidak menganggap wanita sebagai objek hiasan atau
sebahagian daripada ahli kumpulan istimewa. Wanita kata mereka berhak mendapat peluang dan
keadilan, berhak bersuara di agenda dunia.
Wanita selalu dianggap feminis bilamana dia melahirkan sentimen yang membezakannya dengan kumpulan
lain.
Wanita sekarang, kata Betty Friedan antara pengasas gerakan feminis, di sebalik sebahagian kejayaan
besar perjuangan mereka menuntut persamaan hak, sedang menghadapi krisis identiti dan masalah baru
yang tidak 'bernama'. Wanita dikatakan dimusnahkan oleh kebebasan mereka sendiri, ahli-ahli psikologi
melihat wanita-wanita independent yang terasing, sebagai mewakili satu masalah utama kesihatan mental
hari ini. Wanita profesional dikatakan menghadapi burn-out.
Wanita menghadapi pelbagai kecaman di sebalik kehebatan gerakan feminis. Mereka menghadapi krisis
keyakinan.
Segala wacana feminis yang kononnya bertujuan menempatkan wanita di tempat
sewajarnya, menjadi sebaliknya. Wanita menerima backlash daripada gerakan
yang diatur oleh mereka sendiri. Perjuangan dan kelemahan feminis menjadi dasar cerita Femina karya dan arahan terbaru Aziz M. Osman. Feminisme juga
bukan persoalan baru dalam filem Melayu.
Filem Selubung melihat ketabahan dan semangat seorang eksekutif wanita sebagai sukarelawan yang juga
menghadapi dilema cinta. Perempuan, Isteri
dan... arahan U-Wei Shaari menjadikan dendam seorang wanita kepada lelaki sebagai dasarnya. Aziz mengambil pendekatan yang berbeza. Femina menghujahkan
perjuangan feminisme dan kedudukan wanita daripada kacamata seorang penulis dan pengarah
lelaki.
Perjuangan wanita diwakilkan kepada dua orang wanita, Anita (Susan Lankester) penerbit majalah Femina
dan pengarangnya, Tina (Erma Fatima). Mereka adalah gambaran pejuang gerakan feminis yang agresif
yang berani berdepan dengan sesiapa sahaja hatta bertindak di luar batasan seorang
wanita. Mereka sedia menghadapi sekumpulan lelaki yang berdemonstrasi di luar dewan seminar. Majalah mereka dijadikan
gelanggang membelasah kaum lelaki.
Pejabat penerbitan majalah Femina juga menjadi markas yang aneh, ia membentuk dunia yang
tersendiri. Bukan sahaja kerana rekaan dalamannya kelihatan ultra moden dan aneh bahkan mereka membuat
peraturan yang aneh yang tidak membenarkan sebarang lelaki bekerja dan memasuki pejabat
itu.
Feminisme menjadi ideologi yang begitu menguasai Anita dan Tina, yang mana bukan lagi sekadar
perjuangan menuntut hak, tetapi menjadikan mereka lebih agresif hingga pantang
dicabar.
Pada mereka lelaki bukan sebagaimana lelaki yang difahami tetapi adalah ejen pengancam dan penindas
seksual. Apa yang berlaku ke atas Maya (Sharifah Haslinda) yang dipaksa oleh bapanya menjadi pelacur
sebagai usaha membayar hutang, membuka peluang kepada Anita dan Tina menonjolkan perjuangan
mereka kepada masyarakat dan sekaligus melakukan male-bashing.
Sikap Azman Abu Hassan yang menggilai Tina hanya sekadar mendedahkan dirinya untuk akhirnya
dipermainkan dan dimalukan oleh Tina dan Anita.
Tetapi perlumbaan agresif untuk membelasah lelaki dan membina tembok pemisah akhirnya mendedahkan
mereka kepada kelemahan sendiri. Usaha kuat Tina memperjuangkan wanita yang tertindas diambil
kesempatan oleh Anita untuk menonjolkan dirinya. Perjuangan mereka akhirnya lemah kerana sikap agresif
yang tidak menentu dan sikap oportunis. Anita dan Tina akhirnya sekadar berusaha untuk menonjolkan diri
mereka di media sebagai pejuang feminis.
Kehadiran Pyan (Eman Manan) menggugat faham feminisme Tina. Pyan, tauke bas mini sanggup
memberhentikan basnya di tepi jalan hanya untuk bertengkar dengan Tina yang dianggap sebagai
mengganggu lalu lintas kerana sesi fotografi model-modelnya. Penulis mahu menggunakan watak Pyan
untuk melemahkan ideologi dan perjuangan feminis Tina. Hujahan dan tindakan Pyan menyelamatkan Maya
adalah usaha Pyan menentang Tina.
Fahaman feminis Tina runtuh bilamana dia akhirnya menyintai Pyan dan perkahwinan Tina dengan Pyan
sekaligus menamatkan perjuangan feminis Tina. Sikap Anita terhadap perjuangan feminis daripada awal lagi
mungkin boleh diragui atau juga boleh dianggap lebih keras daripada fahaman feminis yang menguasai Tina
kerana Anita menggunakan lelaki sebagai pemuas nafsunya. Apakah ini juga bermaksud dominasi patriki
lelaki terus kekal.
Sebenarnya tindakan Tina yang menjadikan lelaki sebagai pelepas dendamnya boleh
difahami.
Dia adalah anak mangsa perceraian ibu bapanya dan dibesarkan oleh ibu
tunggal.
Sejak itu dia memusuhi dan mendendami lelaki. Filem ini mempunyai subjek yang menarik tetapi skripnya
lemah, ada dialog yang memberikan hujahan yang menarik tetapi sebahagian besar yang lain sekadar klise
dalam menggambarkan pertentangan hubungan lelaki dan wanita yang disampaikan dengan kasar dan
sekali gus menunjukkan kekaburan dalam memahami masalah feminisme di negara
ini.
Kesannya filem ini sekadar memberikan permukaan yang menarik tetapi kandungannya jauh masih
kasar.
Filem ini dibuka dengan pemandangan Kuala Lumpur daripada udara dengan blok-blok bangunan yang
kelihatan sebagai gambaran sikap moden masyarakatnya.
Fotografi dilakukan dengan baik tetapi dalam adegan tertentu tidak diarahkan dengan
baik. Penggunaan asap di waktu malam di kawasan rumah Maya memberikan kesan
sebaliknya.
Adegan sekumpulan lelaki berdemonstrasi di luar dewan seminar dan menjerit-jerit sebenarnya tidak
perlu. Adegan penamat filem ini tidak dilakukan dengan baik.
Femina mungkin menjadi filem yang lebih baik kalau penulisnya dapat mengatasi kelemahan pengolahan
skrip dan mendalami persoalan feminis dalam masyarakat.
Sumber: Utusan Malaysia
(26 Mac 1994)
|