[VCD] - BICARA HATI


2004

1 Oktober 2004
Filem ini bermula dengan imej air terjun, imej yg agak 'kuno' kalau mengikut 'sejarah' filem kita, terutama sekali untuk filem yg bertema cinta dan muzikal (asal bercinta/putus aje, pergi air terjun/tepi pantai dsb). Saya sebenarnya tak menyangka langsung yg filem ini berbentuk muzikal, jadi susah sikit utk menerima filem ini pada mulanya. Imej air terjunnya, diikuti judul filem, kameranya kemudian bergerak mengikut batu-batu besar di tepian sungai, lalu muzik (kategori balada kalau mengikut Juara Lagu) masuk mengiringi kredit pembukaan. Mungkin itu sudah teramat cantik pada pandangan mereka. Kelihatan kaki seseorang di celahan batu (ha, ini nampak 'cantik' sikit.. haha). Kamera bergerak ke atas. Seorang gadis, sekali pandang memang cantik. Sebaik saja kamera menayang mukanya, lantas gadis itu mula menyanyi seolah-olah adegan sebuah video muzik karaoke, cuma tulisan yg dipaparkan bukanlah lirik lagu itu. Gadis itu, pelakon utama filem ini, menyanyi, menangis, air matanya bercucuran menjurai di pipi. Macamlah sedih sangat! Sedih ke? Kenapa saya ketawa ni? Saya jarang ketawa sekalipun utk filem komedi. Akhirnya tanpa dipaksa saya menekan butang Stop. Keliru sekejap, adakah ini sebuah komedi atau sebuah filem yg tak sepatutnya keluar pada masa ini? Hmmm.... 24 jam kemudian - cuma sehari diperlukan, saya kembali menonton dari awal. Kali ini lebih bersedia. Filem ini memang muzikal, mungkin pemahaman muzikal yg susah nak dibuang ialah: perlunya watak2 nya menukar pakaian berselang-seli sesuka hati ketika babak nyanyian. Kalau tak tukar pakaian dan lokasi sesuka hati mungkin akan melanggar peraturan muzikal agaknya. Saya tiada masalah dengan filem muzikal atau sekurang-kurangnya babak muzikal. Cuma saya masih menantikan sebuah filem muzikal yg betul-betul beridentitikan Malaysia, identiti yg asli dan belum pernah terfikir lagi. Corak persembahan yg lebih asli, suatu pembaharuan yg membawa idea baru (tapi bukanlah seperti Citrawarna, meriah tak kena tempat). Ini satu cabaran sebenarnya utk mencipta filem muzikal Malaysia. Biarlah India dengan Bollywoodnya. Amerika juga ada filem muzikal yg betul2 menggambarkan dunia mereka. Cuma Malaysia masih belum menemui resepi yg sepatutnya. Cerita Bicara Hati ini bukanlah mencabar sangat. Filem ini sekadar dibuat untuk memeriahkan suasana. Kisah seorang remaja perempuan (Noraini, lakonan Nur Fazura) yg malas belajar kerana fikirannya telah diracuni oleh dunia hiburan. Dia (dan ramai lagi di luar sana) ingin jadi penyanyi, model, masuk TV dan buat wayang. Itu semuanya pengaruh buruk media cetak dan elektronik terutamanya, yg kini sudah hampir tidak terkawal lagi - iaitu suatu isu yg bagus kalau dapat dikupas melalui filem ini. Sebab kenapa Noraini begitu terpengaruh untuk mengabaikan pelajarannya tidak diberi perhatian, sebaliknya ditunjukkan hobinya yg gemar keluar berpeleseran dgn orang2 jahat yg kaya. Ibubapa Noraini juga tak berjaya mengawalnya, sebuah lakonan lemah Jalaluddin Hassan dan Norlida Ahmad (Connie). Apa yg telah terjadi kepada Jalal yg kelihatan begitu berterabur membawakan watak kegemarannya itu? Begitu juga Connie yg tak bersungguh-sungguh, macam baru berlakon jer. Farid atau F lakonan Zamarul Hisham adalah anak Datuk yg menjadi punca pening kepala mak bapak Noraini tu. Zamarul kelihatan lawak dalam babak muzikal. Lakonannya juga tak begitu menjadi, tapi babak melibatkan Datuk (bapa F) lakonan Shaharuddin Thamby yg cuba menyelesaikan masalah F yg mengandungkan sorang perempuan (takde kerja lain ke?), berjaya juga menimbulkan lakonan yg menarik terutama Shaharuddin. Babak di sekolah Noraini di mana para pelajar bertutur Inggeris boleh membuatkan sesiapa saja ketawa. Begitu kaku. Kemunculan guru baru, Cikgu Hadi, adalah di mana cerita ini cuba mengubah arahnya. Cikgu Hadi telah memberi perhatian pada Noraini dengan harapan untuk mengubahnya sepertimana harapan yg disampaikan oleh bapa Noraini terhadapnya. Keintiman Noraini dengan Cikgu Hadi dihubungkan oleh aktiviti luar sekolah seperti kelas tiusyen dan perkhemahan di hutan, di mana Cikgu Hadi telah menunjukkan ke'terer'annya bermain gitar hingga membuatkan Noraini terus 'ter'suka padanya. Sejak itu Noraini mula belajar bersungguh-sungguh, di sekolah, juga di rumah (belajar masak - cepatnya berangan budak ni!). Fazura yg pertama kali berlakon memang nampak berjaya membawakan watak Noraini itu. Dia nampak biasa dengan wataknya, tak malu-malu, dengan mainan dialognya, mainan wajahnya dan tentunya permainan matanya yg menceritakan perasaannya. Mungkin dia diajar oleh pengarah, atau juga dia memang semulajadi berbakat. Tapi memang dia ada harapan, sekurang-kurangnya utk watak sebegini, atau kalau boleh yg lebih berat lagi. Perlukah diberitahu penamat kisah ini -kisah remaja perempuan yg masih tidak faham dunia realiti- penamat yg sudah tentu akan memberi satu pengajaran pada Noraini. Tak perlu menyalahkan Cikgu Hadi, mungkin niatnya baik supaya Noraini berubah walaupun seakan tertipu, mungkin juga Cikgu Hadi tiada niat langsung, sekadar membiarkan Noraini melayan perasaannya sendiri, tapi tentunya pada masa yg sama Cikgu Hadi perlu sedar akibat yg bakal ditanggung oleh Noraini (kelihatannya Cikgu Hadi memang tak sedar). Akhirnya bila Noraini bertemu Cikgu Hadi buat kali terakhir, hujan pun turun (simbol kesedihan, macam airmata?). Hujan yg nampak sangat dibuat-buat. Bermula dengan air terjun, berakhir dengan hujan, disulami dengan airmata. Filem ini seolah-olah terperangkap dalam era 80-an. Kadang-kadang untuk terus membuat filem, pembikinnya perlu juga memasukkan unsur2 terkini, tunjukkan sedikit usaha untuk menuju ke arah kemajuan. Adakan perubahan, walaupun tidak sempurna dan akhirnya kelemahan juga yg akan kelihatan, sekurang-kurangnya tidaklah kelihatan tiada usaha langsung. TAMAT.
*

20 Julai 2004
Mungkin akan keluar VCDnya tak lama lagi. Atau sudah  keluar? Pergilah cari sendiri!

30 Jun 2004
TELAH DITAYANGKAN - Tengah tunggu vcd. Mungkin lebih menarik nanti utk lihat persembahan Nor Fazura yg baru terpilih sebagai Pelakon Harapan FFM17. Sementara itu boleh baca tulisan ini...
http://www.tontonfilem.blog-city.com/read/643310.htm

30 Mei 2004
Bermula Khamis ini. Saya akan cuba menonton di pawagam, walaupun jadual bulan ini agak padat. Pertengahan tahun yg sibuk. Pergilah tonton. Bila lagi nak tonton arahan Rosnani Jamil, satu-satunya lagi 'lulusan' Jalan Ampas yg masih berpeluang bikin filem. Siapa sangka beliau mampu bertahan hingga kini. Jins Shamsuddin pun tak sangka. Lagipun masa saya tengok trailernya di pawagam, nampaknya ada adegan tepi pantai. Best tu... :)

7 April 2004
AKAN DITAYANGKAN - 3 Jun. Sebuah lagi filem adaptasi novel tempatan. Baru sebuah lagi. Akan adakah lagi selepas ini? Bicara Hati berdasarkan novel Pelangi Pagi tulisan Khadijah Hashim. Kisah pelajar yg jatuh cinta dengan gurunya. Aaa.. macam Mira Edora jer, juga filem dari novel Khadijah Hashim. Macam mana agaknya hasil arahan orang 'lama' ini - Rosnani Jamil. Kalau cerita asalnya bagus, digarap dengan lebih bagus, tak mustahil filem ini akan jadi lebih bagus, walaupun mungkin rupa dan gayanya tidaklah dapat dibanggakan sangat (berdasarkan rupa filem arahan Rosnani sebelum ini) - mungkin saja. Musykil juga kenapa judulnya diubah, sedangkan judul asal kelihatan lebih puitis. Mungkin puitis tidak bagus agaknya (yerlah, nanti penonton tertunggu-tunggu pula adegan pagi untuk melihat pelanginya - ?), atau ceritanya sudah lari sedikit dari asalnya dan judul itu tidak lagi sesuai untuk menggambarkan isinya (?).


2003

12 Ogos 2003
BICARA HATI - macam judul sebuah rancangan cakap-cakap dalam TV. Filem baru dari orang lama Rosnani Jamil. Arahan bersama dengan anaknya Anwardi. Cerita cinta remaja yg diadaptasi dari novel Pelangi Pagi karya Khadijah Hashim. Sebab apa tak bagi judul Pelangi Pagi? Mungkin bukan adaptasi penuh kot? Pelakon utama muka-muka baru. Baguslah. Tapi, janganlah pula jadi macam filem-filem lama sudahlah. Kena ada pembaharuan yg banyak.



www.filemkita.com © 1999-2005 khys