[PAWAGAM] - BULI


2004

7 April 2004
Hari itu 18 haribulan Mac. Ah Lok Kafe (ALK) mula ditayangkan. Buli pula masuk hari ke-8 tayangan. Cadangan awal untuk menonton kedua-dua buah filem itu berturut-turut terpaksa dilupakan kerana ALK awal-awal lagi sudah pun menjadi 'mangsa' Buli (ALK cuma ditayangkan di 12 buah pawagam. Tagline-nya patut ditukar kepada 'Hidup biar jadi mangsa'). BULI - poster promosinya di hadapan pawagam menunjukkan yg ia akan ditayangkan dalam panggung Dolby Digital Surround EX! (biar betul). Tak banyak filem menarik lain dari luar negara yg sedang ditayangkan. Satu demi satu kumpulan penonton berbangsa Cina datang membeli tiket untuk sebuah filem Hong Kong (tak ingat judul). Ya, kali ini saya agak awal dan terpaksa menunggu lampu panggung nombor 2 untuk berkelip-kelip memanggil penonton. Sambil itu sempat perhati gelagat penonton. Ada budak perempuan kecil kelihatan tertarik pada poster Di Ambang Misteri (gambar hantu bertudung) - dia menunjuk-nunjuk ke arah poster itu dan cuba mengambil poskad promosinya, tapi kotak itu telahpun kosong. Nombor 2 di perkarangan pintu masuk masih tidak berkelip. Ada beberapa penonton Buli juga sedang menanti di satu sudut (saya tidak kenal mereka, tapi mereka kelihatan seperti penonton Buli, sungguh). Tiket Buli tertera waktu 1.50ptg, tercetak juga nama penjual tiket - Nurul H (tak tahu pula nama penjual tiket memang dicetak sebelum ini, atau baru-baru ni saja. Saya cadangkan mereka cetak no. handphone sekali.. heheh). Hmm.. ah-ha, beberapa penonton Buli dari tayangan pertama tadi sudah pun keluar (ya, sekali lagi saya membuat andaian sendiri). Tak ramai, beberapa orang saja (saya pasti mereka penonton Buli). Lampu nombor 2 mula berkelip. Panggung 2 hari itu tak begitu ramai penonton, mungkin lebih 20 orang saja. INTRO - filem Buli bermula dengan pantas. Adegan-adegan pendek, macam ringkasan cerita, diiringi suara latar Afdlin Shauki memperkenalkan karya filemnya, seolah-olah ini seperti sebuah cerita benar mengenai dirinya. Tapi, penonton tahu, itu adalah cerita Nordin (lakonan Afdlin), walaupun tak salah rasanya kalau pun penonton merasa yg Afdlin cuba menceritakan kisahnya sendiri. Permulaan yg sungguh menarik, seolah-olah memberi harapan untuk 120 minit seterusnya. Seawal logo Grand Brilliance dipaparkan lagi sudah terasa yg panggung bunyi keliling ini cuma menggunakan 2 buah speaker hadapan. Amat merugikan. Cerita Buli bermula dengan baik, tak menjemukan, pantas - seperti yg dijanjikan oleh trailer dan teaser yg disaksikan sebelum ini. Kisah kehidupan Nordin pada mulanya dipaparkan secara ringkas, kehidupannya banyak ditemani sahabatnya Shaf (Ako), hinggalah kepada titik perubahan rentak cerita bila berlakunya pertemuan Nordin dengan Dr. Ika (Nasha) yg dipersembahkan dengan begitu menarik. Bermula dari asalnya Ika dan kakak(adik)nya pergi membeli ayam, misteri penjual ayam, mamat india yg cuba (kononnya) nak tukar tayar kereta Ika, hinggalah kepada Nordin yg sedang -dengan sungguh tak hero nya- melahap makanan yg bapak-punya-bapak punya banyaknya. Adegan seterusnya, perkenalan Ika-Nordin di hospital, hinggalah Shaf datang 'menjemput' Nordin balik. Semua itu merupakan babak-babak lucu yang dihasilkan dengan sungguh menarik. Pelbagai elemen lucu berjaya dicampur-adukkan - Berjaya. Ada komedi slapstik, dialog bijak, perkara tak logik mencuit hati, lawak latar belakang, lawak selamba, unsur melebih-lebih (rambut Nasha ditiup angin dalam hospital; semua pesakit pun kena balut habis), dan tidak dilupakan komedi 'cliche' yg selalu kita lihat - semuanya ada, kebanyakannya menjadi. Sehingga itu, filem ini masih menarik. Perubahan arah seterusnya dalam filem ini ialah bila munculnya Roy (Hans), dalam kereta biru bernombor plet BUL 1 (saya sebenarnya tak sedar yg Roy memandu kereta itu hinggalah beberapa adegan seterusnya - bila Roy 'menjemput' Nordin di perhentian bas). Unsur lucu seterusnya dalam filem ini datang dalam watak Tan Sri Michael (lakonan Patrick Teoh) - bahasa melayunya yg gagal, rambut palsu yg sukar dipercayai (dah namanya pun palsu kan? tapi, lawak lah), hinggalah ketokohan bos nya yg amat perlu dipertikaikan (hahaha... saya ingin dia jadi bos saya). Agak mengejutkan bila penonton ketawa semasa perkataan Bonus terpancar di wajah Tan Sri. Tak cukup dengan watak lucu, diwujudkan pula unsur fantasi, unsur flashback zaman sekolah/kanak-kanak. Selain itu ada sikit kisah keluarga Ika, dan akhir sekali ada unsur jenayah (juga menampilkan satu lagi watak lucu yg dilakonkan oleh AC Mizal). Nampaknya filem ini terlalu banyak perkara yg ingin ditonjolkan, begitu juga dari segi style atau bentuk filem - sudut penggambaran, teknik pergerakkan pantas, kamera bergerak dari dinding-ke-dinding (Nordin-Ika bertelefon), dan tidak ketinggalan imejan komputer serta animasi 3D. Afdlin sebagai pengarah muda (pertama kali mengarah filem), mengambil kesempatan (dalam maksud yg baik) dengan menampilkan wajah filem yg jarang dibuat oleh kebanyakan pembikin filem tempatan lain. Hasilnya filem ini kelihatan segar. Tapi, tolak setengah bintang untuk sound yg sungguh tak power, begitu juga hasil imejan komputer yg masih tidak belajar dari kesilapan filem lain (saya agak, imejan komputer seperti: bola yg ditimang Nordin semasa flashback, dan tentunya lori treler di akhir filem - semua itu tentu kelihatan real dan cantik semasa prosesnya ditayangkan di dalam komputer, tapi perlu diingat yg hasil itu akan dipersembahkan di layar yg sebesar rumah, jadi sudah tentu segala kelemahannya apabila digabungkan dengan filem sebenar akan kelihatan buruk, fikir semula). Berbalik pada cerita Buli, ceritanya pada 'separuh masa kedua' agak kurang menarik, mungkin kerana banyak babak panjang, begitu juga beberapa babak tak perlu (di hospital mental). Sebelum ini saya sangka Buli akan menjadi sebuah lagi filem romantik-komedi, nasib baik ia cuma menyentuh sedikit sahaja unsur romantik itu (unsur yg terus hilang dalam separuh masa kedua. Mungkin akan dikembangkan dalam Buli 2, setelah Ika putus dengan Jalal??). Pengakhiran Buli sebenarnya sudah jadi acara persaingan Roy dan Nordin, setelah Nordin berjaya mengembalikan keyakinan dirinya hasil ucapan 'bapak Jalil Hamid'. Apa yg dilakukan oleh AC & the gang, dengan software sekuriti MichaelSoft, hingga memaksa Roy dan Nordin 'bertanding menaip', dan Tan Sri Michael terpaksa berpura-pura melihat '2 movie file yg diletak bersebelahan', seolah-olah Nordin dan Roy adalah 'robot yg sedang bertarung di alam siber': Semuanya itu tanpa disedari telah mengundang kekeliruan kepada kebanyakan penonton. Saya faham yg mereka ingin penamat cerita itu kembali bergerak laju seakan pengakhiran sebuah kisah thriller, dengan klimaksnya yg akan menggemparkan penonton, apabila lori treler itu merempuh kereta Roy (mana pergi kereta lawa dia tu?) dan semuanya akan berakhir dalam sekelip mata, lalu meninggalkan kesan kagum dalam hati penonton. Sepatutnya begitulah, dan mungkin mereka sedikit berjaya meninggalkan kesan tersebut kepada sesetengah penonton, bukan semua. Tetapi, sekiranya penamatnya dibuat seperti mana menariknya 30 minit terawal filem ini, pastinya ia akan lebih meninggalkan kesan. Buli - sebuah filem komedi yg ada isi, dahagakan perubahan, amat perlukan perhatian (dari penonton dan juga pembikin filem tempatan yg lain). TAMAT.
*** (3 bapak-punya-bapak punya bintang!)

5 Mac 2004
Ada tayangan tengah malam filem Buli, hari ini (Jumaat). Pergi link di bawah dan click Available Showtimes sebelah tajuk Buli.
http://www.cinemaonline.com.my/movie_lambsql/lnowlist.asp

Selain itu, esok dan lusa (Sabtu dan Ahad) juga ada beberapa tayangan tambahan pada sebelah petang. Semak jadual pawagam di atas.

Tayangan pembukaan akan bermula Khamis depan. Jangan biarkan penonton lain membuli anda (dengan terpaksa beratur panjang), buli (beli) tiket lebih awal!

Laman web rasmi Buli sudah ada perubahan. Antara bahan-bahan terbaru ialah: lukisan storyboard, gambar pelakon (beserta keterangan untuk Afdlin, Nasha dan Hans), dan juga trailer. Banyak lagi juga bahan yg tak lengkap. Selain itu, muka hadapan flash juga menggunakan auto redirect yg menyebabkan kita tak sempat tengok gambar hadapannya. Trailer yg disediakan juga ada yg sama seperti yg disediakan oleh Grand Brilliance. Download trailer yg tiada di GBSB iaitu:

Afdlin (Versi LAN) <-- fail Versi Modem hilang
Bank
, Evo, Han, Nasha
http://www.bulimovie.com/main.php3?contents=trailers

2 Mac 2004
Promosi filem ni sedang ditayangkan di TV3. Kesemua 7 versi trailer dan teaser nya juga kini boleh di-download dari website Grand Brilliance. Paling best tentulah penampilan istimewa oleh Aziz M. Osman dan Harith Iskander yang 'kena buli' dengan Afdlin Shauki. Adegan yg paling best dalam trailer tu ialah shot dari dalam mangkuk tandas, zaman sekolah - Hans buli Afdlin. Lagi satu masa Nasha jerit "Ayam...!!!". Part yg kurang best bila ayam 'melekat' di muka Afdlin (slapstik?), tapi nampak best pula bila Afdlin pergi dan semua burung merpati terbang, betul2 pada masanya. Lagi satu, di website GBSB juga ada poster terbaru Buli yang lain sikit dari sebelum ini, gambar kereta di bawah judul filem telah dibuang (kereta bernombor plet BUL1 tengah langgar tanda orang cacat, juga ada dalam trailer). Poster terbaru tu juga ada 2 objek yg kurang jelas di kiri kanan kepala ayam (saya lebih suka yg lama, nampak kemas. Mungkin mereka rasa rugi membiarkan tempat kosong itu?). Tagline poster itu kata, Buli - 'Filem yang paling selamba 2004'. Tagline filem pula: Hidup Jangan Jadi Mangsa.
http://www.gbsb.com.my/movie/movie1.html

18 Februari 2004
AKAN DITAYANGKAN - 11 Mac. Akhirnya, filem komedi gila yg paling ditunggu-tunggu. Ramai yg tertunggu-tunggu sebab pelakon/pengarah-nya. Ramai juga yg tertunggu-tunggu kerana cerita/filem-nya. Filem ini menawarkan kedua-duanya. Pastinya ramai penonton tertarik dengan barisan pelakonnya. Apalagi bila Nasha baru muncul dengan Trauma (kiraan mata setakat ini: Nasha 2, Erra 1 - siapa akan menang?). Lepas tu, adanya Afdlin, lakon dan arah sekaligus. Bolehkah Afdlin menjadikan idea gila dia tu hidup dilayar perak? Adakah Buli akan jadi komedi cerdik, atau bodoh, atau hiburan semata-mata? Semoga garapan pertama Afdlin akan membuka pintu untuknya mengarah lagi. Akan ditayangkan 2 minggu selepas Bisikan Remaja. Buli gerenti boleh 'makan' filem Panshah tu. Lagipun Buli ada website rasmi. Kali terakhir saya jengok, banyak lagi yg tak lengkap. Mungkin mereka nak masukkan terlalu banyak maklumat dan juga bahan hiburan - akhirnya banyak tak lengkap dan sedikit tunggang langgang. Idea tu dah cukup cantik tapi nampak sangat kurang dari segi pembinaan. Muka hadapan tu biarlah ada tarikh tayangan besar-besar. Bahagian kedua penting ialah sinopsis, yg ada cuma bahasa Inggeris, BMnya belum siap? Nak kata mereka tumpu pada Fun Stuff pun tak ada apa sangat. Lagi satu, filem ini juga akan mengeluarkan album soundtrack (tahun lepas Mistik saja yg keluar album soundtrack) - baguslah macam tu. Lagi satu, diorang ni ada budget promosi ke? Grand Brilliance ni kalau Senario, promosi macam pergi perang, syu-wer heboh. Website pun harap kat Vision Works, bukan nak bagi publisiti Buli kat website korporat diorang tu (masih nak tunjuk poster Lang Buana).
http://www.bulimovie.com
http://www.gbsb.com.my


2003

24 Disember 2003
AKAN DITAYANGKAN - April 2004. Ini adalah tarikh yg belum confirm, walaupun ada beberapa artikel sudah menyiarkan tarikh ini... Buli - filem komedi paling ditunggu-tunggu 2004. Poster macam best.

12 Ogos 2003
Mungkin Buli tak sempat ditayangkan pada 25 September. Yang pasti, Cinta Kolestrol.

15 Julai 2003
BULI - dijangka tayangan pada 25 September 2003. Tarikh ni tertulis dalam satu majalah yg cerita tentang album baru Afdlin Shauki. Saya tertunggu-tunggu filem ni sebab tahu Afdlin ni banyak idea menarik, macam album dia juga la..

24 Mac 2003
BULI - filem ni macam tak hidup. Agak mengejutkan bila tahu yang filem ni masih menjalani penggambaran. Saya kurang pasti sama ada filem ni telah dilancarkan, kerana publisitinya sangat kurang. Diterbitkan oleh Grand Brilliance (3 filem terakhir mereka adalah Senario) dan diarahkan oleh pengarah baru Afdlin Shauki (juga berlakon watak utama). Kisah pemuda gemuk yang sering diBULI kerana kegemukkannya (...kenapa secara tiba-tiba saya teringat tentang Cinta Kolesterol di mana Erra Fazira juga membawakan watak wanita gemuk yang mengalami situasi agak sama. Filem mana yang akan ditayangkan dulu?). Buli filem komedi. Di tangan Afdlin adakah filem ini akan menjadi sedikit 'gila'? Berita tentang Buli disiarkan dalam Buletin Utama TV3 minggu lepas. Mungkin dah nak siap.


2002

Sepi tanpa berita...


2001

28 Mac 2001
BULI - skrip Afdlin Shauki ni nampaknya menarik perhatian Habsah Hassan/Serangkai Filem yang berminat nak ajak Sofia Jane main wayang balik dengan Afdlin sebagai pengarah dan pelakon - hebat.



www.filemkita.com © 1999-2005 khys