[PAWAGAM] - DARI JEMAPOH KE MANCHESTEE


2001

10 Ogos 2001
Sudah tonton Dari Jemapoh Ke Manchestee? Hujung minggu lepas saya ke TGV KLCC. Jumlah penonton kurang separuh dari tempat duduk keseluruhan. Tak ramai, tak sikit. Filem bermula... saya rasa semua penonton (atau sekurang-kurangnya saya seorang) tak pasti apa yg akan diputarkan ke layar sebentar lagi. Kredit ditayangkan. Penonton masih tertanya-tanya. Semuanya macam serius menanti... senyap, tiada muzik. Tamat kredit pengenalan.. adegan awal di kampung: Yadi memang kelakar, fanatik sungguh dengan Manchestee Uni-ted. Penonton mula 'menerima' Jemapoh. Yadi merancang untuk ke Manchester, 'bukan jauh sangat pun' katanya kepada Mafiz. Kepala Mafiz terpotong.. filem terkeluar dari layar di bahagian atas. Mafiz lebih tinggi dari Yadi, kepalanya terpotong. Dan lagi, adegan di 'gig': penonton tidak tahu rupa Kassim Selamat yang sedang menyanyi bersama kumpulan Carburetor Dung. Semua yang di atas terpotong. OK, kembali kepada filem.. filem ni memang menarik, sungguh menarik sebenarnya.. walaupun tak ramai pelakon dan rasa kosong (kecuali segerombolan Mat Motor berbaju hitam) sepanjang filem, muzik dan lagu latar nyata memberi nafas kepada Jemapoh begitu juga dengan dialog berkesan dan lakonan yang hidup. Sampai satu ketika, semua penonton mahu sebut "cool, brader!!". Tak rugi menanti beberapa tahun dengan bayaran RM10. Saya akan menonton lagi (entah bila..).
****

tentang DARI JEMAPOH KE MANCHESTEE
oleh Saharil Sanin

Lembaga Penapisan Filem tidak reti baca apa yang tersirat, serupalah dengan men-in-black yang menjaga penerbitan, mereka cuma reti baca permukaan sahaja. Kerana itulah, filem2, teater2, penulisan2 sekarang ini, kalau mahu mengkritik pemerintah (atau pembangkang), kena menerap berlapis-lapis. Dalam filem Hishamudin Rais ini, LPF cuma tapis dialog2, contohnya, perkataan 'palat' dibuang, dan dibuang juga bahagian bila satu watak tu cakap: "Mat Salleh tahu ke cakap orang putih untuk perkataan pukimak".

Filem ini adalah pasal Yadi dan Mafis, dua orang kawan baik, anak negeri sembilan yang sudah bosan dengan hidup di Jemapoh, satu kampung di NS. Yadi ada infatuation pada George Best (footballer, Manchester United, "George Best tu jambu kan?") dan Mafis mahu cari ayah dia (sailor, Liverpool, "Kau rasa dia dah anu dengan mat salleh ke?") - jadi dengan dua motivasi itu, mereka pun pinjam ("aku tak curi, aku pinjam") kereta Haji Salleh, untuk ke Manchester.

Di dalam perjalanan, mereka kemudiannya berjumpa dengan Lini, penyanyi sebuah grup punk, yang ada girlfriend di Jerman ("Manchester tu dekat Jerman kan?") dan Mila, yang paling cerdik antara mereka ("Tak, saya bukan maksiat! Saya.. Mila.. Mila binti Saleh") Jadi ini cerita penggembaraan mereka ke Manchester, melalui beberapa insiden. Semua orang mahu mencari sesuatu - semua orang sebenarnya sedang melarikan diri daripada sesuatu.

Kita mahu escape dari kongkongan hidup kita, kita mahu satu cara untuk membantu eskapisme kita. Kita sudah jelik dengan rutin yang sama, menjadikan kita makin lama makin malas, dan kita mahu sesuatu yang baru, sesuatu yang lain daripada apa yang kita alami. Tetapi kita terkongkong, kita tak ada cara. Kita tak ada duit dan kepakaran. Kita tidur malam-malam dan kita bermimpi jin yang kita boleh minta macam-macam darinya. Kita bangun dan kita hadapi rutin suram kita kembali. Kita tidur malam dan kita mimpi kita sedang terbang dan kita rasa bebas.

Terbang : Ini adalah metafor yang paling menyentuh dalam filem2 eskapisme, aku rasa digunakan, antara yang paling baik, dalam E.T, filem spielberg itu, ketika Elliot dan makhluk asing itu terbang menaiki basikal ketika dikejar oleh polis. Kemudian filem Thelma and Louise, part-part akhirnya. Dalam filem La Vie En Rose (french), budak kecil yang terseksa (oleh fikiran konservatif keluarganya) membayangkan dia terbang, dan dia boleh nampak rumahnya. Dalam buku A Heartbreaking Work of Staggering Genius, watak utamanya terbang dengan adik dia, kerana tidak sanggup lagi melihat emak mereka terseksa oleh barah.

Filem ini adalah filem eskapisme. Watak-watak utamanya mempunyi masalah2 masing-masing, tetapi mereka naif, dan mereka tidak tahu apa yang mereka buat. Cuma mereka muda dan mereka ada tenaga, jadi bagi mereka, semuanya cerah - dan setiap aral yang melintang, mereka boleh terjah saja. Ini serupa dengan perjuangan yang terkongkong - kalau kita tidak boleh bergerak dengan kebenaran authority, kita bergerak di bawah tanah, dan di sana segala-galanya gelap - dan kita tak nampak apa yang kita lakukan, kita membuta tuli sahaja, dengan harapan segala-galanya akan selesai nanti.

Filem ini, bak kata pengarah, adalah dalam genre Road Movie (Easy Rider, contoh yang selalu diguna. Thelma and Louise, yang paling aku suka. Yang lebih unorthodoks adalah Kalifornia, dan Natural Born Kilers). Dan tentulah, muzik, mengambil peranan penting. Filem ini menggunakan 25 lagu yang dipesan khas dari band2 underground malaysia (Carruretor Dung, Republic of Brickfields, Babushka, dan Koffin Kanser - mereka semua tidak dibayar) dan satu lagu lama, "La O Be" oleh Kassim Slamat (grup The Swallows) menjadi tema filem ini. Khabarnya = "Jangan perkecil lagu tema filem ini, La O Be pernah menjuarai senarai lagu popular di salah sebuah stesen radio di Hamburg selama tiga minggu"

Pelakon2 dalam filem ini tidak terkenal. Tetapi semua lakonannya boleh diterima, tidaklah kaku, (2000 orang telah diaudition) - yang lebih menceriakan sebenarnya, adalah para pelakon extra di dalam filem ini, mereka2 yang kita temui di dalam perjalanan. Dari pakcik polis kepada makcik kedai makan. Kita sayang semua mereka. Pakej filem ini lengkap - dari skrip ke layar semunya cemerlang. Set lokasi dan cinematography (Azman Razali) begitu terperinci dan jelas dan cahayanya sempurna dan penuh dengan warna, aku rasa Seri Dewi Malam (yang menang best cinematography pada anugerah ahad lepas) pun ketinggalan jauh.

Sebenarnya, kita sangat beruntung filem ini wujud. Sekurang-kurangnya kita dapat rasa yang ada juga filem2 yang kita boleh banggakan akhir-akhir ini (ok, filem ini usianya sudah empat tahun). Kalau tidak terpaksalah kita menerima Z Lokman sahaja (apa jadi pada Z Lokman, bukankah Azam, filem dia lama dulu, serius?)

Kata Pengarah: "Filem ini untuk semua anak muda, yang telah, yang sedang, dan yang bakal menempuhi alam belia yang sarat warna."

Ya. Anak-anak muda deserve no less.

NOTA filemkita: ulasan di atas dicilok daripada website saharil.tripod.com pada 16 Ogos 2001, dan disiarkan semula tanpa kebenaran.

3 Ogos 2001
Istimewa untuk ahli filemelayu, saya telah upload petikan dialog filem JEMAPOH dalam bentuk fail audio format MP3 ke dalam group filemelayu (ruangan Files). Sekiranya tidak berjaya download, pergi ke pawagam dan tonton sendiri! ATAU baca dialognya di sini.

http://www.artsee.net/jemapoh/
(Laman web rasmi DJKM. Terdapat juga lagu-lagu soundtrack MP3 untuk download, dan juga wallpaper dan banyak lagi! Cantik).

30 Julai 2001
Filem Dari Jemapoh Ke Manchestee (DJKM) akan ditayangkan mulai 2 Ogos ini di empat buah pawagam terpilih (lihat Diari Filem). DJKM yang dihasilkan pada tahun 1996 memulakan tayangan perdananya di Festival Filem Antarabangsa Singapura pada tahun 1998. Seterusnya filem hasil ilham dan arahan Hishamuddin Rais itu telah menjelajah ke seluruh dunia melalui pelbagai Festival Filem Antarabangsa malah turut ditayangkan di Perancis sempena kejohanan Piala Dunia '98 yang lalu. Tahun 2000, DJKM ditayangkan kepada umum di pawagam terpilih sekitar Singapura. Kini DJKM pulang ke tanahairnya, kejayaan terbesarnya setakat ini. Penantian anda telah berakhir. Saksikan!

Hari Ahad lepas, petikan filem Dari Jemapoh Ke Manchestee (DJKM) disiarkan dalam rancangan Melodi (TV3). Juga disiarkan temubual dengan penerbit DJKM iaitu Halim Sabir (pakai topi MU) dan juga penulis sarikata (subtitle) bahasa inggeris Amir Muhammad. Setakat ini tiada publisiti diberikan kepada filem ini oleh akhbar-akhbar perdana. DJKM akan ditayangkan mulai 2 Ogos ini (Khamis) di Kuala Lumpur (TGV KLCC & GSC Midvalley). Jangan ketinggalan! Hujung minggu ini saya akan ke Jemapoh.. err.. maksud saya ke Kuala Lumpur untuk menonton 'Jemapoh'. Jumpa di sana..



www.filemkita.com © 1999-2005 khys