|
2000
16 April 2000
Mimpi Moon, filem Melayu kedua
ditayangkan dalam tahun 2000 telahpun masuk hari ke sepuluh tayangan
umumnya di seluruh Malaysia dan Singapura. Sehingga sekarang kutipan tiketnya masih
belum diumumkan. Apa yang pasti, ianya belum pun mencecah RM1
juta. Beberapa media cetak didapati telah memberi ulasan yang kurang
menyenangkan. Plot cerita yang pelbagai yang tidak menumpukan kepada watak Moon
sepenuhnya telah dijadikan alasan mengapa filem ini kurang menarik dan agak
mengelirukan. Sebagai penonton yang telah menonton filem Mimpi Moon (versi Melayu dan
Inggeris), apa yang dapat diperkatakan ialah filem ini sememangnya lebih baik
daripada filem yang telah ditayangkan sebelum ini iaitu Pasrah, tetapi sekiranya diambil kira
filem-filem arahan Shuhaimi Baba sebelum ini, filem Mimpi Moon ini
bolehlah dikatakan mencapai tahap sederhana. Apa yang menarik dalam
filem Mimpi Moon ialah lakonan mantap para pelakonnya yang segar
serta menghiburkan. Kepada yang belum menonton Mimpi Moon bolehlah menonton versi Melayu
filem tersebut kerana ianya lebih menarik serta bersesuaian berbanding
versi Inggeris yang agak janggal. Walaupun begitu, versi Inggeris untuk sebuah filem Melayu
bolehlah dianggap sebagai percubaan yang berani - khys
*Filem pertama
yang ditonton di pawagam setelah 4 tahun berhenti menjejak kaki di pawagam!
Filem terakhir ditonton sebelum ini ialah SuperStar
(1996)


|