|
1996
22 Mac 1996
SuperStar - filem tempatan ke-15
yang saya tonton di pawagam. Saya tidak lagi menonton filem tempatan di pawagam
selepas filem ini (selama 4 tahun). Mungkin secara kebetulan agaknya, filem ini juga merupakan
filem paling teruk yang pernah saya tonton. Saya tidak peduli yang pengarahnya
adalah Z. Lokman. Sekiranya Sembilu dan Putera mempunyai pengaruh Awie dan Wings
(setelah Awie meninggalkan Wings), filem SuperStar ini pula menyaksikan
kemunculan semula kumpulan Wings dengan penyanyi dan lagu-lagu terbaru. Peminat
Wings ke pawagam untuk mendengar lagu terbaru, walaupun ceritanya
tunggang-langgang.
*Filem
seterusnya yang ditonton di pawagam ialah Mimpi
Moon (2000).

1995
16 Disember
1995
XX Ray II - walaupun tidak sempat
merasai zaman XX Ray, tapi pembikinan filem ini dari segi teknikalnya berjaya
menarik perhatian saya melebihi apa yang XX Ray pernah hasilkan dahulu. Selain
itu, jalan ceritanya yang cuba membabitkan sejarah kesultanan melayu melaka
sememangnya cukup menarik. Hasilnya memang menarik, sebuah cerita fiksyen sains
buatan tempatan yg bagus. Aziz M. Osman sekali lagi mempersembahkan sebuah filem
yang menghiburkan (dengan sesuatu untuk difikirkan).
16 Oktober 1995
Jimi Asmara - arahan pertama Erma
Fatima. Zaman silam filem muzikal klasik berjaya dihidupkan melalui filem ini.
Suasana nostalgia di mana-mana. Filem period yang bagus, walaupun jalan
ceritanya tiada yg baru. Muzik, lakonan, adegan mula, dan adegan akhir yg best.
19 September 1995
Awas - ini zaman muzik Rap menguasai
pasaran Malaysia. KRU lah yang paling popular. Da' KRU. Promosi yang sungguh
hebat.
12 September 1995
Sayang Salmah - sebuah lagi
filem period yg saya tonton selepas Amok. Cerita yang sungguh kuat dan berkesan.
Tak tahu pun saya yang Mahadi J. Murat pernah mengarah filem sebelum ini. Hasil
yang sungguh mengesankan. Tak boleh lupa lakonan Sidi Oraza, sungguh hebat.
20 Julai 1995
Amok - filem yg paling saya nantikan
walaupun tidak pernah menonton arahan pertama Adman Salleh iaitu Bintang Malam.
Kontroversi pengharamannya telah mempopularkan filem ini. Namun begitu faktor ceritanyalah
yang begitu kuat mempengaruhi saya ke pawagam. Begitu juga faktor pelakon: Nasir
Bilan Khan yg berkesan dalam Perempuan, Isteri dan...; Ramona Rahman dari
Fenomena, dan Hans Isaac dari Ringgit Kasorrga. Selain itu, setting 70-an begitu
menarik perhatian saya. Kagum juga dengan keberanian filem ini.
29 April 1995
Cinta Kita - Sofia Jane kembali
lagi. Pengarah baru Kamal Ishak cuba memberikan sebuah cerita cinta yg serius
tanpa berlandaskan elemen komedi seperti kebanyakan filem romantik yang lain.
21 Mac 1995
Ringgit Kasorrga - Shuhaimi
Baba ketika itu bukanlah pengarah popular. Pelakon filem ini juga bukanlah
penyanyi popular. Cerita yang berbeza, berani dan unik menjadi penarik utama filem ini.
13 Januari 1995
Bisikan Cinta - saya kurang
pasti apakah faktor yg menyebabkan saya ke pawagam menonton filem ini. Mungkin
untuk release tension. Maklumlah masa tu tengah sibuk study...

1994
28 Oktober
1994
Putera - semuanya gara-gara Awie
meninggalkan kumpulan Wings. Kerana itu juga Joe (pemain gitar) ditawarkan
berlakon watak utama dalam filem Putera. Sebagai peminat Wings, saya 'mengembangkan
Sayap' ke pawagam, walaupun mereka sendiri kepatahan sayap.
30 Ogos 1994
Sembilu - hari ke-10 tinggal di KL.
3 April 1994
Femina - masa tu dah 5.10 ptg. Terus pi Lido. Beli tiket.. masuk.. Mula2
tak paham.. lama2 mulalah syok. Tak boring dah laa.. lawak!
22 Mac 1994
Fantasi - sampai JB terus pi panggung Nira, nak tengok Fantasi. 3 ptg
masuk, wayang mula. Best la cerita dia. Tak boring. Dia selang-seli suspen dgn lawak, tu yg best
tu!


1993
Oktober 1993
Balada - filem terbaru arahan Jins
Shamsuddin selepas Ali Setan! Filem ini juga ada Fauziah Ahmad Daud. Filem ini
juga tulisan dan terbitan Zain Mahmood, penerbit filem Fenomena. Filem ini juga
lakonan M. Nasir yg juga muncul dalam filem box-office Fenomena. Dengan semua
itu, saya melangkah ke pawagam kali kedua.
12 September 1993
Perempuan, Isteri dan
...? - filem pertama yang ditonton di pawagam. Semuanya gara-gara
kontroversi. Sebuah cerita yang puas ditonton, walaupun pawagamnya penuh sampah!
(secara kebetulan ada dialog "Kau ingat aku ni sampah, huh!!").
Penonton boleh dikira dengan jari. Filem ini sebenarnya mendapat sambutan ramai
penonton, tapi mungkin hari itu saya tersilap memilih pawagam - pawagam yg penuh
sampah! Maklumlah pertama kali menonton di pawagam.
1993
Mula mengikuti perkembangan filem melayu.


|