[VCD] - SOALNYA SIAPA?


2003

9 Mac 2003
Dulu saya pernah komen sikit tentang filem ni. Rasa tak adillah pulak sebab tak tengok sepenuhnya. Sekarang saya dah tengok VCD nya. Melihat secara keseluruhan filem dan juga dengan membuat perbandingannya dengan Soal Hati, rasanya SOALNYA SIAPA memang best (bukan terlalu hebat hingga mahu ulang tengok tapi taklah letih sangat menunggu ceritanya berjalan). Walau bagaimanapun saya mengekalkan pendapat saya yang ceritanya TERLALU BIASA malah tak banyak perkara baru yang dihidupkan berbanding Soal Hati kecuali adegan kampung (yang terlalu sedikit) dan juga menghidupkan watak baru iaitu Rashid Salleh (cakap terlalu lemah, letih mendengarnya) dan Ellie Suriaty (keterlaluan kostumnya, tapi dialognya yang macam baca buku tu kelakar juga). Satu lagi, rajin juga diorang ni ambil shot. Satu contoh masa scene Penang Bridge tu perasan tak ada scene dari udara, kemudian dari depan kereta, dari dalam dan belakang. Cantik juga. Tak mau komen yang lain-lain kecuali pengarahan Hafsham yang nampaknya masih mantap. Masa Soal hati dulu, Hafsham dah bertahun-tahun tak arah filem jadi dia kena warm up dulu dan dalam SOALNYA SIAPA rasanya Hafsham dah dapat balik sentuhannya dulu. Harap-harap Habsah Hassan boleh bagi Hafsham terus mengarah filem seterusnya, buat komedi macam Mekanik dulu, komedi masyarakat. Romantic comedy ni dah ramai yang buat. Boringlah.
***1/2

27 Januari 2003
Soalnya Siapa? - setelah sebulan ditayangkan di pawagam nampaknya filem ini masih bertahan di KL (KLCC dan Midvalley). Walaupun ada 'sedikit' saingan dengan Ada Apa Dengan Cinta?, sambutan terhadap Soalnya Siapa? tidak tergugat kerana filem sebegini ada kelompok penontonnya yang tersendiri. Kali terakhir saya mendapat tahu kutipan Soalnya Siapa? adalah RM1.5 juta. Sudah balik modal - tandanya Habsah Hassan akan terus kekal menerbit filem seterusnya.

2 Januari 2003
Tentang lakonan Afdlin Shauki: Saya rasa Habsah Hassan selaku penulis skrip telah memberi terlalu banyak kebebasan kepada pelakon2 (terutama Afdlin) untuk ad-lib (menokok-tambah ikut sesedap rasa) dialog mereka. Semua orang tahu Afdlin gemar menokok-tambah skrip (sebagai pelakon/pengacara) sebab dia memang suka buat lawak. Tak mengapa. Tapi kalau setiap kali pun dia buat begitu, akhirnya orang akan jemu kerana penampilan dirinya kelihatan sama sahaja dalam atau luar filem. Afdlin perlu dikawal kalau inginkan kelainan (tugas siapa? pengarah, penerbit atau penulis skrip?). Macam manapun Afdlin memang kreatif dan berbakat besar (kalau tak, takkanlah trofi -yang dia panggil tongkol- Aktor Terbaik 2001 menjadi miliknya). Buat lagu dan menyanyi pun dia sapu jugak. Sekarang nak mengarah filem pulak. Lepas tu apa.. Mungkin dia nak jadi P.Ramlee..

p/s- Sabtu nanti Cerekarama TV3, Afdlin Shauki dan Ako Mustapha berlakon. Tajuknya Raya Lagi. Dalam banyak2 filem yg akan ditayangkan tahun ni, kenapa satu pun tak ambil Ako berlakon. Rasanya dia lagi OK dari Rasyid Salleh?


2002

31 Disember 2002
Filem terakhir ditayangkan tahun lepas (2001) adalah Lagi Lagi Senario yang mendapat kutipan tiket sebanyak RM6.1 juta. Filem tersebut ditayangkan pada Hari Raya.

Bagi 2002, Soalnya Siapa menjadi penutup tirai tahun ini. Tayangan bermula 3 minggu selepas Hari Raya. Setelah 1 minggu ditayangkan, belum ada laporan tentang kutipan tiketnya.

Untuk pengetahuan anda, Soalnya Siapa gagal menarik saya ke pawagam (saya telah menonton 'The Making Of' selama 1 jam di TV1). Pada saya, kalau setakat nak tahu sambungan/kesudahan hubungan Ain (Erra) dan Daniel (Afdlin), lebih baik beli VCD (yg macam mana pun akan menjadi koleksi saya sekalipun sudah menonton di pawagam). Dari segi filem itu sendiri, tidak menonjol keistimewaannya.

Subjek ceritanya terlalu biasa, kisah cinta -penuntut universiti yg hidup sederhana tetapi cantik- dengan orang kaya, lalu muncul orang ketiga menghalang percintaan, dan kesudahannya telah boleh diagak.

Bandingkan cerita tersebut dengan:
1) Kisah cinta seorang pelumba motorsikal haram yg bertemu perempuan malang yg ditipu kekasihnya dalam satu pertemuan yg luar biasa dimana perempuan tersebut menjadi hadiah perlumbaan haram lalu mereka bersahabat dengan anak orang kaya yg menghidap AIDS... (KL MENJERIT).
2) Kisah cinta seorang perempuan kampung zaman perang dunia kedua dengan seorang pegawai tentera jepun yang sepatutnya menjadi musuh tetapi akhirnya membantu perjuangan perempuan tersebut sehingga berjaya membunuh seorang pemimpin tentera jepun... (EMBUN).


Banyak lagi contoh kisah cinta yg menarik. Soalnya Siapa terlalu mudah. Membuat cerita sambungan Soal Hati adalah cara mudah untuk menarik penonton yg sama ke pawagam sekali lagi.

Selain ceritanya, persembahan filem itu sendiri nampak terlalu biasa (layak untuk drama TV). Ini adalah perkara yg sama terjadi dalam Soal Hati (dan banyak filem lain). Pawagam menawarkan banyak kelebihan yg tidak mungkin didapati sekiranya menonton di TV. Sistem bunyi yg terbaik dapat menghidupkan lagi sesebuah filem (kenapa tidak diagihkan budget untuk Stereo/Dolby Digital. Filem yg disasarkan untuk edaran antarabangsa mementingkan sound, apakah penonton tempatan tidak layak mendapat kualiti sebegitu. Tidak hairan ramai memilih Hollywood). Muziknya perlu hebat (sekali lagi rujuk filem Hollywood). Skrin layar lebar memungkinkan sudut penggambaran lebih luas dan menarik. Jangan cuma bercerita melalui dialog, cubalah bercerita dengan gambar. Tolonglah gunakan kelebihan2 pawagam ini untuk menghasilkan filem menarik dan berkualiti.

Kalaupun ada pujian untuk Soalnya Siapa, mungkin dari segi pemilihan pelakon yg sememangnya menjadi daya penarik utama. Erra, Afdlin dan semua pelakon pembantu memang nampak meriah bila digabungkan. Bagaimanapun, pemilihan Rasyid Salleh (pertama kali berlakon filem) sebagai orang ketiga saya anggap sebagai cubaan untuk mencari hero baru. Gambarnya dihitamkan pada poster.

Soalnya Siapa sedang ditayangkan dipawagam... mungkin untuk seminggu lagi? Saya masih ada peluang untuk menukar pendapat tentang filem ini (?).
http://www.soalnyasiapa.com.my

26 Ogos 2002
SOALNYA SIAPA - Othman Hafsham pertama kali mengarah filem sequel (sambungan Soal Hati). Adakah skripnya akan mengulangi apa yang ada dalam Soal Hati (seperti kebanyakan sequel lain) atau ceritanya langsung berbeza. Judulnya memang bukan Soal Hati 2. Menampilkan para Pelakon Terbaik - Erra, Afdlin dan Ellie Suriaty.



www.filemkita.com © 1999-2005 khys