[TELEFILEM] - QUDUT dan QATIK (VCD)


2004

21 Januari 2004
QUDUT DAN QATIK - saya sangka Kisah Hantu Yang Terlampau dari Nizarman akan keluar dulu. Rupanya telefilem ini keluar dulu. Sebuah produk usahasama Nizarman dengan Gitu-Gitu Productions (milik Apek dan Yassin). Saya ternanti-nantikan cerita ini kerana konsep yang mereka gunakan (kalau boleh dikatakan 'konsep' lah). Ia sebenarnya adalah produksi ala-home video yang mempunyai perancangan yang paling ringkas, tapi perancangan mereka itu terkawal dan berjalan lancar dalam serba kekurangan! Saya sedikit kagum juga mereka mampu mengeluarkan produk ini. Ia dirakamkan ketika percutian sebenar Apek, Opie, Syanie dan geng-geng mereka ketika di Australia! Adegan awal atas kapalterbang menampakkan yang ia sebenarnya tidak dirancang sejak awal. Daripada footage yang mereka rakam dari atas kapalterbang, ia telah dimasukkan voice-over yang bersesuaian setelah mereka merancang cerita ini kemudiannya. Bagi yang berminat, ceritanya tentang 2 orang mamat - Qudut dan Qatik - yang secara tak sengaja menjadi penyiasat dan menyelamatkan Syanie (anak orang kaya Kuman) yang diculik ketika di Australia. Sebagai pelancong, Qudut dan Qatik menggunakan kamera video untuk merakamkan aksi mereka. Kamera itu juga bertindak sebagai perakam dialog mereka bila seorang lagi jurukamera merakam aksi mereka dari jauh. Boleh dikatakan yang rakaman di tempat awam dilakukan secara tidak ketara, iaitu sebagai pelancong. Ada komedi slapstik, ada komedi dialog, ada komedi situasi. Ada juga komedi entah apa-apa yang secara sedar dirakamkan. Saya suka dialog Kuman (media.. media hiburan, mangga, harakah). Saya juga suka muzik latar yang agak raw. Kerja-kerja pos produksi yang lain juga nampak OK, mungkin kerana dilakukan bersungguh-sungguh walaupun rakaman asalnya dibuat secara selamba. Pengarahnya ialah Qudut dan Qatik sendiri (Apek & Opie). Tapi - satu je yang tak best langsung tentang VCD ini. Tak best langsung kerana satu disc saja. 1 disc sebab ceritanya pendek, boleh diterima. Tapi, 1 disc yang dijual dengan harga 2 disc, adalah satu penipuan. Tiada dicetak pada kotaknya yang ia adalah 1 disc. Oleh itu, sekiranya pembeli membeli cetak rompak Qudut dan Qatik, jangan salahkan mereka. Mereka membeli dengan harga asal, walaupun cetak rompak juga patut mengurangkan harga sebanyak 50%. Kalau RM8, jual RM4 saja (1 disc VCD apa, bukannya CD Audio lagu).



www.filemkita.com © 1999-2005 khys