[TOPIK] - HARGAI FILEM MALAYSIA


2005

7 Oktober 2005
Fui yoo!! Dahsyat dan bestnya.. Tapi, itulah yg sebenarnya aku takut nak fikirkan bila memperkatakan tentang sambutan penonton terhadap filem kita. Iaitu bila sambutan hangat penonton itu adalah sebenarnya terhadap 'personaliti' atau lebih dikenali sebagai 'artis' iaitu pelakon2 dalam sesebuah filem itu. Sambutan hangat atau 'box-office' filem itu bukan kerana filem atau ceritanya, tapi kerana pelakonnya (iaitu pelakon yg disukai ramai penonton sahaja). Ini adalah sesuatu yg pada aku amat membimbangkan. Takut sangat rasanya bila kita kata ada filem baru sedang tayang di pawagam, dan orang selalu akan tanya "siapa pelakonnya?"

Contoh: Kalau "Erra pelakonnya"
- Ramai yg "mesti tengok nih!" (dia dah tak kisah apa ceritanya, dan bagaimana filemnya)
- Ramai juga yg "malas ah kalau Erra!" (dia juga dah tak kisah apa ceritanya, dan juga bagaimana filemnya)


Ini adalah suatu 'pemikiran' yg tak baik sedang berlaku.
- dan aku pun bertanya "Filem The Legend Of The Red Curse tu apa cerita ye? Macam mana filem dia, ok tak?"

5 September 2005
PASAL SENARAI FILEM 2005 YANG AKAN DITAYANGKAN: soalan ni FINAS kena jawab sendiri! Tarikh tayangan filem luar negara dah pun ada sampai hujung tahun, tapi tarikh untuk filem Malaysia? Bayangkan, orang yg kerja dia sepatutnya menyokong pembangunan filem tempatan pun, tapi nampak sangat yg dia cuma buat 'kerja-kerja pejabat'

Kalau boleh la, biar FINAS ni umumkan tarikh tu sebaik saja tarikh tu ditetapkan, bukannya tunggu publisiti oleh penerbit filem tu keluar dlm akhbar saja (iaitu beberapa minggu sebelum mula tayangan). Memang la tugas FINAS utk tetapkan tarikh tayangan saja ('kerja pejabat'), tapi tak salah kalau tolong umumkan sekali kepada para penonton semua. Kita pun dapat tahu lebih awal, dan dah boleh mula 'cakap-cakap' pasal filem tu lebih awal, kiranya macam promosi awal la sebelum akhbar mula 'main-mainkan cerita' pasal filem2 tu semua.

Ramai yg sebenarnya tak tahu pasal tayangan filem-filem ni semua, terutama sekali yg tak pergi wayang (cuma pergi kalau ada orang bagitahu pasal filem best). Orang2 yg pergi wayang (macam kita?) ni semua la yg secara tak langsung 'bertugas' untuk mengheboh-hebohkan cerita pasal tayangan ni semua pada orang2 yg tak ambil tahu tu. Tapi, bila kita sendiri pun tak tahu pasal tayangan filem2 baru ni, susah la juga kan? Laman web filemkita ni memang bergantung sepenuhnya pada akhbar, majalah dan laman web rasmi utk bagi update pasal filem2 baru.

21 Mei 2005
Kenapa perlu mengumpul VCD filem tempatan?
Filem2 lama takkanlah nak tengok kat pawagam lagi, mana ada tayang dah. Sebab tu la kumpul vcd ni penting. Tapi, kalau Fenomena ditayang semula kat pawagam sempena ulangtahun ke-15 pada tahun ni, rasanya boleh box-office gila2 punya nih! Sebab apa di Malaysia tiada siaran2 ulangan tayangan filem2 lama di pawagam? Best apa, kalau dapat tengok Fenomena ke, Ali Setan ke, Bukit Kepong ke (31 Ogos nanti) kat pawagam. Kalau pengedar tak yakin, boleh buat research dulu, mesti dapat respon yg ramai orang setuju punya. Atau jual tiket lebih awal ke. Dah cukup penonton, baru tayang. Menarik kan, idea macam ni? Aku bukan apa, setiap tahun tengok macam2 ada kat pawagam, Festival Filem Perancis la, Festival Filem Jepun la, tayangan filem2 Eropah la. Tapi, tak terfikir ke nak buat macam Minggu Filem Malaysia ke, apa2 je lah tayangan filem2 lama. Tak payah la nak buat apa2 apresiasi ke, perbincangan lain2 semua tu, just tayangan filem je. Yg penting tu, tayangan tu mesti di pawagam. Baru boleh nak mendekatkan penonton kepada pawagam, dan menghargai apa yg kita masih ada (apapun, aku cuma boleh bermimpi...)

NOTA TAMBAHAN:
Sebenarnya dulu ada cadangan supaya tayang semula filem P. Ramlee di pawagam sekarang. Tapi cadangan tu agak susah nak buat sebab mungkin masalah hakcipta atau susah nak dapat salinan filem2 lama. Tapi, kalau filem2 80-an, 90-an rasanya masih belum terlambat dan tak mustahil boleh tayang semula di pawagam. Penerbit filem tu dan pihak pawagam sendiri memang akan untung.

Masalah yg mungkin timbul ialah dari penerbit filem2 baru sekarang ni la. Kutipan tayangan filem2 baru mungkin terjejas kalau terpaksa bersaing dengan filem2 box-office 80/90-an. Jadi, penerbit2 baru pasti menentang cadangan ni.

Kalau nak buat juga, macam saya kata la, buat satu acara, mungkin secara tahunan. Pilih tarikh yg tak berapa mengganggu tayangan filem2 baru. Rasanya pihak Wajib Tayang boleh atur jadual tayangan khas ni kalau betul2 nak buat. Jadi, harap2 ada la penganjur yg berminat dgn cadangan ni, sebab ini juga salah satu cara apresiasi filem selain utk hiburan.

1 Mac 2005
Untuk sesiapa yg belum baca 'semburan' Ku Seman, saya paste di bawah ini (komen saya ada lagi selepas artikel ini):

Apa perlu filem Melayu? (28 Feb 2005)

Untuk menjadi popular dan mengaut sedikit untung, karyawan filem Melayu terpaksa melakukan pengorbanan yang paling besar; menghina intelek penonton dan menjaja sampah sarap.

Sebagai karyawan tentunya dua perkara ini merupakan 'dosa' paling besar dalam prinsip kese-nimanan mereka. Karyawan antara tugas mereka berusaha membawa khalayak yang bebal menjadi sedikit cerdik. Pada masa yang sama mereka sudah pasti tidak akan menjaja benda-benda yang merosakkan kesihatan minda.

Kita sebenarnya sangat menghargai pengorbanan karyawan yang sanggup menghina intelek penonton dengan filem-filem mereka. Tetapi kita juga merasa sedih, kecewa dan marah kerana dalam kepala mereka tidak ada yang lain kecuali untung dan terus untung.

Mereka selalu meminta simpati, "Tengoklah filem Melayu." Maka berduyunlah ke pawagam dan mengeluarkan wang derma. Bukan tengok percuma. Tetapi karyawan filem atau usahawan filem tidak pernah bersimpati kepada penonton.

Kalau simpati tentulah hidangan filem mereka tidak seperti yang ada sekarang. Lalu jangan salahkan penonton kalau memilih untuk minum kopi di Starbucks daripada menonton filem Melayu.

Apakah menghina intelek penonton secara tidak rasmi menjadi formula filem Melayu? Lalu berkatalah di sana sini filem bermutu tidak laku, yang laku hanya filem buruk, bebal dan dangkal. Buktinya banyak karyawan tidak pernah berusaha untuk menjadikan karya mereka baik. Mereka lebih menjaja kutipan daripada bercakap mengenai filem dalam konteksnya sebagai sebuah karya.

Kalau menghina intelek penonton menjadi syarat, tentu lebih baik kita menonton filem asing yang lebih menghargai penonton. Tujuan menonton filem Melayu atau filem tempatan adalah untuk menikmati budaya dan nilai masyarakat setempat di sekeliling kita. Kalau benda-benda ini tidak ada tidak perlulah kita menonton filem Melayu.

Kita boleh menonton filem asing yang baik dan banyak ditayangkan di pawagam tempatan. Tetapi kita hanya menonton budaya dan sudut pandangan dunia mereka dan bukan sudut pandangan kita. Kerana itu kita sangat memerlukan filem tempatan.

Tetapi kalau filem Melayu juga membawa budaya dan sosial fantasi dari Hong Kong atau Hollywood, apa istimewanya filem Melayu? Lebih baik menonton filem Hong Kong atau Hollywood yang sudah pasti lebih baik persembahannya daripada filem Melayu.

Filem Melayu tidak bermaruah kalau sekadar menyalin fantasi sosial yang popular dari luar dan mendakwa inilah filem Melayu. Apalah sangat dengan sumbangan industri filem hingga kita sanggup mengorbankan nilai yang seharusnya ada.

Kalau filem Melayu menjana pendapatan yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ada juga alasan untuk mewajarkan intelek penonton dihina. Tetapi pada tahap kutipan sekarang, filem Melayu tidak menyumbangkan apa-apa kepada negara. Memancarkan nilai budaya tidak, menyumbangkan kepada pendapatan negara pun tidak juga.

Akhirnya kita terpaksa mengakui orang seperti U-Wei, Adman, Suhaimi Baba dan terbaru sekali Yasmin Ahmad cuba untuk popular tanpa menghina intelek penonton. Mereka percaya filem yang buruk dan bebal tidak semestinya berjaya. Filem yang baik setidak-tidak ada juga maruahnya.

E-mel: kuseman@pc.jaring.my


(sambung...) Saya faham kenapa Aziz M. Osman 'terasa' dengan 'semburan' (atau tulisan, tapi agak melulu lah) Ku Seman tu. Pertamanya ialah kerana dalam ayat pertamanya Ku Seman tidak menyatakan "kebanyakan" karyawan filem, jadi maksud tulisan tu ialah "kesemua" karyawan filem, termasuklah Aziz M. Osman (dan Yusof Haslam & Razak Mohaideen) yg sememangnya menjadi rujukan kalau menyentuh tentang filem yg "popular" dan "untung". Selain itu, ungkapan "menghina intelek penonton dan menjaja sampah sarap" juga agak tak patut digunakan. Ku Seman patut memberi contoh sebuah filem Malaysia yg "menghina intelek penonton" sehingga patut digelar "sampah sarap". Siapa kata penonton perlu intelek? Sebenarnya filem yg terlalu rumit juga boleh dianggap "menghina intelek penonton" (Contohnya sesuatu adegan atau penamat filem yg tidak difahami penonton. Adakah kerana penonton tidak intelek, atau karyawan yg terlalu maha intelek. Sayangilah penonton filem anda). Biarlah filem kita ada pelbagai bentuk dan jenisnya. Kerana apa? Kerana penonton kita juga ada pelbagai rupa dan tahap pemikirannya. Takkanlah semua nak kena sama. Penonton kanak2 atau yg kurang cerdik juga perlukan filem. Macam kata Aziz M. Osman, kalau tak suka, tengoklah filem lain. Bagi saya sendiri, kalau tak suka satu2 filem tu, nak kutuk pun kutuklah (nak diam saja pun ok). Dah tak suka kan, takkan nak puji pula. TAPI LEPAS TU kalau ada orang lain yg puji dan suka filem tu, atau kalau filem tu dapat untung berjuta2 RM, diamlah saja. Takkanlah sampai mahu kata yg 'ramai penonton suka intelek mereka dihina oleh filem sampah sarap'. Tak patutlah kan.

Tanyalah mana2 karyawan filem, mereka semua akan suka kalau berjuta-juta penonton tonton filem mereka. Bukan kerana keUNTUNGan itu yg penting sangat, tapi penerimaan atau perhatian yg diberi oleh penonton itu yg diharapkan. Filem kan dibuat untuk ditonton, bukan utk lain2. Tapi, kalau filem mereka cuma bertahan 10 hari di pawagam atau cuma 100 orang penontonnya (walaupun semuanya cerdik pandai filem), apakah maksudnya itu? Maksudnya filem itu 'tak diterima' oleh penonton, atau secara kasarnya penonton 'reject' filem tu. Tak perlu tanya kepada penonton kenapa mereka reject filem tu, atau mempersoalkan ke-intelek-an para penonton, tapi tanyalah diri sendiri (karyawan filem), sebab apa tak ramai penonton (walaupun diiktiraf oleh 100 org tadi). Tentu ada sesuatu (atau pun banyak) yg tak kena di mana-mana. Macam dapat keputusan exam la, bila buka sampul surat, ada tulisan: ANDA GAGAL. Tapi yg bestnya, boleh cuba lagi. Dan lagi. Hingga dapat menarik penonton.

13 Januari 2005
Terima kasih Einil sebab telah menjelaskan lagi mesej yg saya cuba nak sampaikan dalam e-mel 'Indonesian Film 2004' - iaitu utk tidak memberi perhatian yg melebih-lebih terhadap perkara2 remeh temeh. Yg remeh temeh, trivia, goof (kesilapan kecil masa penggambaran) biarlah ia jadi bahan perbualan ringan, dan tak perlu dibincangkan secara serius.

YG REMEH TEMEH (UNTUK SEMBANG-SEMBANG):

  1. Kesilapan2 kecil dalam filem (pejam sebelah mata je la, please la)

  2. Pelakon sama yg muncul dalam banyak filem (utk pengetahun semua, filem U-Wei seterusnya akan tetap menampilkan Khalid Salleh lagi, "boring la woi, takde muka lain ke", "Erra, Era, Error")

  3. Filem Razak Mohaideen macam bodoh (yg ni adalah perkara remeh temeh, kerana Razak cuma mengambil kesempatan di atas kehendak peminat hiburan. Jadi, siapa sebenarnya yg bodoh)

  4. Peranan Finas dalam kemajuan filem malaysia (kalau baru 5 atau 10 tahun takpe, ini dah berjanggut dah. Kalau dia boleh buat dek, kita pun patut buat dek. Abaikan)

  5. Lakonan tak meyakinkan (salah pelakon ke atau sebenarnya pengarah yg memang tak berkelayakan disertai dgn skrip yg tak matang, seterusnya memberi gambaran yg lakonan itu yg tak bagus)

  6. VCD cetak rompak filem tempatan (orang miskin pun minat filem apa)

  7. Perkauman (pengarah cina mengarah kisah melayu klasik, kenapa perlu dikaitkan dgn bangsa atau kaum)

  8. Jins jadi senator (so what. Dia wakil pembikin filem ke? Bila filem terakhir dia? Samarinda?)

YG PERLU DIBINCANGKAN SECARA SERIUS:

  1. Takde PAWAGAM utk menonton filem.

  2. Perlu diwujudkan sistem RATING yg berkesan.

  3. Hapuskan double standard dalam PENAPISAN FILEM tempatan.

  4. Bagaimana menghasilkan SKRIP yg bagus. Apa peranan Persatuan Penulis Skrip Malaysia (swam) - kenapa mereka tak berupaya menghasilkan walau sebuah skrip yg bagus?

  5. Bagaimana menghasilkan filem malaysia untuk PASARAN ANTARABANGSA, contohnya macam filem seram dari Korea dan Jepun, atau filem masyarakat seperti dari Iran.

  6. Mewujudkan lebih banyak FILEM MALAYSIA berbanding filem melayu, supaya pasaran lebih berkembang.

  7. Banyakkan skrip filem ADAPTASI (cerpen, novel dsb. - kerana ia sememangnya telah melalui proses penulisan yg sewajarnya, bukan sekadar tangkap muat seperti banyak skrip filem sekarang)

  8. PENERBIT FILEM perlu membuka peluang yg lebih kepada pembikin filem generasi baru, dan tidak sekadar berpuas hati dengan keadaan sekarang (contohnya Metrowealth yg tidak memberi peluang kepada muka baru)

*akan ditambah kalau ada lagi...

Sebelum ramai yg salah faham, biar saya jelaskan beberapa perkara...

1. "Takde pawagam" tu utk semua filem secara umum, terutamanya filem malaysia (kalau nak kata filem melayu pun ok). Maksudnya di kawasan bandar kecil, hampir 100% takde pawagam! Contohnya sorang mamat nama kamal yg buat website filemkita tu, dia kena ambil cuti sebab nak pergi tonton Gangster. Susah tau! Orang KL, orang bandar takpe la, ada pawagam. Itu tak termasuk lagi orang kampung yg simpan tabung kat rumah, kalau diorang ada permintaan utk tonton filem jepun pun, tapi nak tayang di mana? Takde pawagam! Bukan tak nak sokong, ramai yg nak menonton di pawagam, tapi diulangi sekali lagi - tiada pawagam.

2. Maksud "rating" ialah pengkelasan filem mengikut piawai antarabangsa, contohnya R (restricted), NC-17, PG (parental guidance) dan lain2. Penggunaan rating tersebut perlulah dikawal secara betul dan profesional, bukannya sekadar bagi ada, macam yg ada sekarang - U, 18SX, 18SG, 18PL. Penggunaan rating sekarang ini cumalah utk suka-suka, sebab filem itu telah hancur dicincang. Sekiranya rating antarabangsa digunakan, maka diharapkan proses penapisan filem akan dapat dilonggarkan berbanding sekarang, seterusnya meletakkan tanggungjawab mengawal penontonan filem dibahu para penonton sendiri. Biarlah penonton menentukan sendiri filem yg terbaik untuk dirinya atau keluarganya. Kawalan penapisan filem masih perlu, tapi biarlah rasional.

5. Maksud "filem malaysia utk pasaran antarabangsa" tu bukan dari segi kos, wang, mahupun dana - tapi mencari pasaran dengan menjual IDEA. Filem yg manmpilkan IDEA bagaimanakah yg boleh dijual di serata dunia (tolong jangan kata 'tirulah hollywood').

- bagi saya pula, takde masalah kalau filem kita nak terus berslogan dan bergimik, kerana itu semua adalah hal remeh temeh (aha, saya nak masukkan 'slogan & gimik' ni dalam senarai remeh temeh saya).

- jangan lupa juga satu lagi point penting, iaitu banyakkan filem malaysia berbanding filem melayu.



2004

23 November 2004
Saya memang setuju macam apa yg diberitahu oleh Fadz mengenai program apresiasi sebagai penghargaan untuk filem2 tempatan. Kalau Astro dah mulakan, baguslah (saya tak tahu, sebab takde Astro). Semoga stesen lain pun akan buat benda yg sama. Saya pernah terfikir alangkah bagusnya kalau ada satu program berbentuk majalah yg memperkatakan filem2 lama, sambil itu ada sedikit berita2 terkini mengenai filem baru, ada perbincangan dan juga sedikit hiburan.

Selain itu, kan bagus kalau ada satu majalah bercetak yg khusus mengenai filem (cuba rujuk satu majalah yg serius mengenai muzik, macam rottw), itu juga boleh menggalakkan proses menghargai filem sebagai karya seni, selain dapat meningkatkan pemahaman mengenai pembikinan filem, kiranya satu medium yg dapat menggariskan satu sempadan antara 'hiburan - karya seni' dalam bidang perfileman. Filem ada banyak cabang menarik yg boleh dipisahkan untuk diperkatakan, contohnya seperti aspek penulisan, fotografi, muzik, lakonan (persembahan), kreativiti, termasuk juga pemasaran mahupun perniagaan. Ini satu bidang profesional, bukan hanya hiburan. Dalam dunia teknologi sekarang ni, banyak cabang teknikal juga dah jadi sebahagian dari filem, contohnya bidang perkomputeran, melibatkan rekabentuk grafik, animasi, kesan khas dan lain-lain. Bila semua (peranan) itu sudah jelas, filem mungkin tak lagi dilihat sebagai hiburan sambil lewa semata-mata, tapi sebaliknya satu kerja serius. Jadi, apa saja medium/cara bagi mencapai matlamat itu perlulah digunakan sebaik mungkin.

Industri filem Malaysia terlalu kecil, dan percaya atau tidak, itulah sebenarnya kelebihan kita. Sepatutnya industri kita ini dapat dikawal dengan lebih mudah dan lebih bagus, seterusnya melahirkan pelapis yg matang. Tapi yg berlaku sekarang ini, ramai yg ambil mudah (tak serius), ramai pula yg tunjuk bagus. Satu petunjuk yg membezakan 'filem adalah satu kerja serius' dengan 'filem adalah alat hiburan saja' perlu diwujudkan. Dengan adanya petunjuk, arah perjalanan (objektif) akan lebih jelas kelihatan, bukannya terumbang-ambing (macam sekarang ni) atau lebih teruk bila sudah sesat nanti. Eh, ada orang baca sampai sini ke?



www.filemkita.com © 1999-2005 khys