[TOPIK] - MALAYSIAN INDEPENDENT FILM FESTIVAL


2004

19 Julai 2004
INTRO - entah apa tuahnya, tahun ini Pesta Kesenian Pulau Pinang mengadakan sebuah pesta tayangan filem independen dalam acara tahunannya buat pertama kali. Kalau ikutkan hati mahu saja tonton kesemuanya seperti Gedebe, Rabun, Kaki Bakar dan lain-lain. Tapi, cuma 2 filem berada paling atas dalam senarai Mesti Tonton saya, iaitu Bukak Api dan The Big Durian. Mungkin juga penganjurnya turut berfikiran serupa lalu meletakkan 2 filem tersebut utk tayangan pada cuti hujung minggu. Tempat agak terhad, menyebabkan saya seminggu lebih awal telah mendapatkan pas percumanya, takut terlepas.

BUKAK API - Sabtu, 12 Jun. Saya tak pasti golongan penonton bagaimanakah yg akan muncul utk tayangan filem ini. Ini adalah kali kedua saya menghadiri tayangan tertutup selepas pertama kali 'memberanikan diri' menonton Seman beberapa tahun lalu. Saya juga tak mendapat jadual tayangan filem pendek yg akan ditayangkan sebelum filem Bukak Api ini. Dewan Actor's Studio Greenhall hampir penuh, masih ada banyak kerusi kosong di belakang. Seorang pelancong mat salleh duduk di tepi. Saya duduk sebelahnya yg nampaknya takde orang nak duduk. Sempat senyum pada penonton belakang utk beritahu yg saya akan menghalang pandangan mereka sepanjang tayangan ini. Mereka OK (saya harap). Lampu dipadamkan dan tayangan bermula tepat pada masanya. Sebuah filem pendek berjudul Raaga Mood, filem tamil, memulakan acara. Agak segar melihat sebuah karya sebegini berjaya, atau sekurang-kurangnya mahu dihasilkan oleh seorang pembikin filem yg tidak lama kemudian saya mendapat tahu namanya Sylvia Ong! Pergh, kisah tentang tradisi kebudayaan masyarakat India? Filem ini patut disiarkan dalam TV, bagi semua orang tengok. Saya agak kurang menghayati filem ini, fikiran saya masih kepada Bukak Api. Tamat Raaga Mood (dalam kredit penutupnya saya nampak nama Anuar Nor Arai), disajikan pula sebuah filem hiburan pendek, Jom Mamak! - hiburan yg bercerita dengan gambar, dimana muziknya hasil idea dan kreativiti yg entah diorang dapat dari mana, tapi masih idea yg bagus. Suntingan yg mengikut rentak 'muzik' berjaya melekakan penonton. Saya rasa itu hasil student. Kemudiannya filem pendek Breadskin With Strawberry Jam. Lupa nak beritahu yg kebanyakan penonton hari itu berbangsa Cina, dan mereka suka sangat dengan 'Breadskin..' ini.

Bukak Api dimulakan selepas penerbitnya Julian Jayaseelan memberi sedikit 'pendahuluan' kepada filem ini. Mungkin supaya penonton yg baru mengetahui kewujudan filem ini dapat lebih bersedia. Bukak Api sebagai sebuah cerita memang terlalu jujur, terlalu real, tiada berselindung dan mempunyai matlamatnya yg tersendiri, matlamat ke arah kebaikan. Mungkin juga kerana itu filem ini tidak menghadapi sebarang masalah berdepan dengan JAKIM (Jabatan Agama Islam). Ini adalah realiti yg sememangnya tiada siapa patut menafikannya. Menurut penerbitnya (selepas tayangan), cuma babak akhir tidak dipersetujui oleh JAKIM. Filem ini mengisahkan suka duka (lebih kepada duka) kehidupan pelacur yg kebanyakannya mak nyah di sekitar kawasan Chow Kit, KL. Bagaimana mereka melalui kehidupan dalam pandangan serong masyarakat sekeliling. Walaupun tidak ditunjukkan dari sudut pandangan masyarakat, kehidupan mereka sememangnya dipaparkan tersisih, tetapi tidaklah pula digambarkan untuk meraih simpati 'kita'. Mungkin juga kerana matlamat filem ini hanyalah untuk memberi serba sedikit 'panduan', khusus kepada golongan tersebut. Ada unsur dokumentari yg jelas dalam beberapa babaknya. Mungkin penonton yg tidak tahu tidak menyedarinya, atau mungkin juga mereka merasa janggal bila dialog-dialognya seakan mengajar dengan pelakonnya memandang tepat ke kamera. Misalnya dalam adegan 'pemakaian kondom' atau 'pengkisahan seks' (haha) yg terang-terang mengajar 'penontonnya' secara tanpa segan silu cara-cara yg sepatutnya. Saya kurang pasti hingga setakat mana, ada beberapa penonton telah meninggalkan dewan. Selain kehidupan harian para pelacur tersebut, di samping panduan yg diharapkan berguna pada mereka, filem ini turut menyelitkan drama ala-cerekarama yg mengisahkan konflik hidup juga harapan dan impian mereka. Antaranya konflik hidup pelacur perempuan yg mengandung di samping suaminya (?) yg dibelenggu dadah dan sentiasa mahukan duit haram untuk membeli benda haram. Pada saya, kisah mereka menarik tetapi itu bukanlah fokus utama filem ini. Saya suka babak 'basuh baju', dialognya ketika itu berkesan. Ada satu watak dalam filem ini yg menyanyikan lagu Menaruh Harapan (Zaiton Sameon), yg mana liriknya seolah-olah satu 'anthem' yg betul-betul menggambarkan harapan dan perasaan mereka. Ada mak nyah yg mahu berubah tapi tidak diterima. Ada yg impikan untuk 'menjadi perempuan', juga ada yg tidak lagi mungkin berubah. Seperti yg saya katakan, filem ini bukanlah untuk mencari simpati dari masyarakat (kita), mungkin sekadar renungan, kerana untuk mencegah kejahatan jalan terbaiknya ialah sebelum kejahatan itu terjadi. Perlu tahu apa puncanya, tapi sekali lagi, itu bukanlah matlamat filem ini. Untuk mereka yg tertanya-tanya: filem ini memang mengandungi adegan ranjang, bahasa lucah, minuman keras, dan errr... silikon? OK? Selain itu Bukak Api ada komedinya, airmatanya, ganasnya, hiburannya (nyanyian), aksinya (serbuan polis), rujukan popularnya (Erra Fazira), rujukan filemnya (Perempuan Melayu Terakhir), KLCC yg membuka filemnya, dan juga gambar Dr. Mahathir dalam bilik salah seorang mak nyah yg kurang berpakaian ketika itu. Hehe.. Sampaikan satu ketika saya terfikir yg filem ini patut ditayangkan di TV (slot cerekarama?). Tapi, bila fikir semula... ishh, tak mungkin. Tapi, apa salahnya sekiranya filem ini dibuat versi TV yg lebih selamat utk penonton umum. Akhirnya filem ini ditamatkan dengan kenyataan dari seorang mak nyah: "aku tak akan menyesal", kenyataan yg kontroversi, yg menggusarkan JAKIM, kerana 'kita' sememangnya mahu mereka menyesal dan berubah. Satu lagi yg perlu juga disebutkan di sini ialah sarikata Inggeris-nya yg mungkin agak keterlaluan (cuma beberapa bahagian) sebagai contoh "Pergi" (dalam nada marah) menjadi "Fuck off", entahlah, saya rasa mat salleh di sebelah saya mungkin rasa biasa sebab dia tak tahu BM, mungkin juga saya yg tak sepatutnya baca sarikata kerana ia sememangnya utk orang luar. Saya juga 'kurang senang' dengan penataan cahaya dalam beberapa adegan. Walaupun begitu hampir keseluruhan filem ini sememangnya menggunakan cahaya asli. Seperti dalam pawagam, kredit filem ini tidak sempat disiarkan sehingga habis. TAMAT.

Selepas itu: terdapat sesi soal jawab penonton bersama penerbitnya Julian yg memberitahu bahawa pengarah Osman Ali tak dapat hadir kerana tugasnya menyiapkan iklan Petronas masih belum selesai. Yg tinggal ketika itu cuma 10 orang penonton termasuk pihak penganjur. Saya adalah satu-satunya yg saya 'perasan' (heheh) kononnya seperti wakil penonton Melayu yg sebenarnya tidaklah seberapa ramai kalau nak dikira pada petang itu, yg mana kesemuanya meninggalkan dewan serta merta sebaik tamat filem. Saya kurang ingat persoalan yg diperkatakan ketika itu, tapi penonton kebanyakannya lebih berminat nak tahu tentang status filem ini sebagai 'filem jahat' (<-- perkataan saya sendiri) dan bagaimana penerimaannya oleh pihak berkuasa, adakah sesiapa yg 'kantoi' (tertangkap/ditangkap) dalam proses membikin filem ini. Selepas itu ada penonton yg tanya apakah itu mak nyah? Terpaksalah Julian terangkan asal usul perkataan itu yg sebenarnya saya sendiri pun tak tahu sebelum itu. Begitu juga tentang judul Bukak Api - yg mana telah dijelaskan tentang "lampu yg dinyalakan" oleh tokei hotel murah untuk memberitahu pelanggannya yg ia "telah memulakan operasinya" pada ketika itu. Penonton juga mahu tahu tentang para pelakonnya - status mereka ketika itu, juga sekarang. Dan saya sendiri menanyakan tentang sebab musabab filem ini tidak dapat ditayangkan untuk khalayak ramai. Antara sebabnya kerana dialog akhir itu, juga syarat yg terpaksa dipatuhi iaitu "tayangan dibenarkan untuk tujuan pendidikan sahaja" (terutama kepada golongan sasaran), dan pastinya kerana elemen jahat yg telah disebutkan di atas. Saya juga tertanya-tanya tentang dialognya yg kelihatan realistik, dan jawab penerbitnya, filem ini sememangnya mempunyai skrip dan semua dialog ditulis berdasarkan dialog sebenar dan pelakon perlu menghafalnya. Walau bagaimanapun, ada juga yg ditokok tambah mengikut kesesuaian, contohnya adegan bertengkar di tangga yg agak panjang, asalnya agak ringkas. Selain itu penerbitnya juga sempat beritahu mengenai satu adegan yang mereka tidak mahu rakamkan atas sebab yg terlalu sensitif, iaitu adegan seorang mak nyah menunaikan sembahyang, dengan memakai kain telekung. Walaupun perbuatan tersebut sememangnya berlaku di luar filem, tetapi sekiranya ia dipertontonkan kepada khalayak ramai, sudah tentu bakal mengundang kecaman yg hebat. Ia juga mungkin akan dilihat seperti mempersendakan ajaran Islam, nasib baiklah tidak jadi dirakamkan, takut nanti menjadi ikutan pula. Sebelum pulang, sempat juga saya beritahu Julian yg saya sudah tunggu filem ini selama 4 tahun. Saya tak berharap apa-apa reaksi, tapi Julian tersenyum, mungkin tak faham. Heheh.. bila nak tayang lagi ni?
***1/2

19 Julai 2004
THE BIG DURIAN - Ahad, 13 Jun. Debu, jerebu - macam satu 'selamat datang ke Pulau Pinang'. Saya agak terlewat hari ini. Lampu dewan sudah dipadamkan dan ada sebuah filem pendek sedang ditayangkan. Seperti kelmarin (semalam utk org luar), saya tidak tahu apakah filem pendek yg akan dan sedang ditayangkan ketika itu. Dalam kegelapan, samar-samar kelihatan kerusi-kerusi kosong di belakang sekali. Kena panjat, dan duduk di situ. Ramai lagi penonton yg terlewat petang itu, dan saya masih tidak tahu apakah yg sedang ditayangkan di layar. Macam takde cerita. Lama selepas itu baru saya tahu filem itu berjudul Wait karya Amir Muhammad. Sebuah eksperimen yg berlokasi di Jepun (kalau tak salah saya). Filem itu tamat begitu sahaja sebelum sempat saya tangkap maksudnya. Lampu dinyalakan utk memberi peluang kepada penonton yg baru tiba memenuhkan tempat kosong. Tidak seperti Bukak Api, kali ini lebih ramai anak muda yg sebangsa dengan saya, termasuk 2 gadis Melayu. Gelap semula, filem pendek seterusnya berjudul Hometown yg dihasilkan oleh Tan Chui Mui (jantina: perempuan) salah seorang jurukamera untuk filem The Big Durian yg akan menyusul selepas ini. Hometown memaparkan kenangan tentang suatu zaman di sebuah pekan kecil. Tak perlu dinyatakan yg fikiran saya sudah kepada The Big Durian, tapi saya tetap rasakan yg filem pendek seperti Hometown ini patut dibuat oleh semua orang sebagai ingatan terhadap tempat asal kita. Dewan diterangkan dan diumumkan tentang sesi soal jawab bersama Amir Muhammad yg akan diadakan selepas tayangan nanti.

The Big Durian dimulakan dengan babak seorang perempuan Sabah menceritakan liku-liku hidupnya yg saya tak berapa nak ingat. Dia berkain batik, t-shirt lusuh, dan semua penonton tertumpu kepadanya, senyap. Muzik masuk mengiringi kredit pembukaan yg bergerak dari kanan ke kiri macam sebuah 'filem' yg sedang diputarkan. Kredit animasi itu menunjukkan semut-semut berjalan-jalan di antara nama-nama pelakon juga krew. Adegan pertama kalau saya ingat dengan betul ialah gambar bangunan berkembar KLCC. Sepertimana kebanyakan filem tempatan yg lain, filem ini juga perlu bermula dengan imej 'wajib' ini - itulah kata penceritanya, Amir Muhammad. Cuma kali ini penonton disoal tentang 'yg mana satu menara 1, yg mana satu menara 2'. OK, penonton ketawa. Boleh diterima, begitu juga tentang Sungai Kelang dan Sungai Gombak. Dapat dirasakan yg filem ini akan banyak membangkitkan persoalan-persoalan dari yg kecil-kecil hinggalah yg sebesar KLCC, dari yg ringkas-ringkas hinggalah yg sepanjang sungai-sungai itu, mungkin juga persoalan yg se'kotor' sungai itu. Susah nak ingat turutan adegan filem ini, kerana ia menjurus ke arah dokumentari, lebih 20 orang (termasuk pelakon) telah disoal tentang ingatan mereka terhadap sebuah kisah ataupun peristiwa yg berlaku pada bulan Oktober 1987. Semuanya berpunca dari kejadian amok Prebet Adam di kawasan Chow Kit, KL. Kisah Prebet Adam itu memang menarik perhatian saya, satu di antara banyak perkara yg ingin saya tahu tentang Malaysia (selebihnya tentang tragedi 13 May 1969 - juga ada dalam filem ini, terima kasih). Malangnya kisah sebegitu sering kali sukar untuk diceritakan apalagi untuk mengesahkan kebenarannya. Kadang-kadang terasa seperti ia ingin dirahsiakan. Kisah Prebet Adam dalam The Big Durian diceritakan sedikit demi sedikit, berselang seli dengan temubual bersama individu yg ingat tentang kejadian itu, dan tidak dilupakan juga individu yg ingat sesuatu yg lain dalam hidup mereka ketika itu. Kisah Prebet Adam juga seolah-olah menghidupkan beberapa kisah ataupun isu lain yg tidak kurang pentingnya ketika itu, dan The Big Durian turut cuba mengupas isu itu. Antaranya isu perkauman (perpaduan kaum), politik, kuasa raja dan juga hak kebebasan bersuara. Semuanya diadun dengan cantik hingga tidak terasa seperti ia sesuatu yg asing daripada kisah utamanya. Para pelakon yg berlakon juga nampak selesa dengan watak mereka (?). Tetapi kisah-kisah yg berdasarkan pengalaman sebenar itulah yg sebenarnya lebih memberikan kesan terhadap penonton berbanding dengan yg dilakonkan. Juga temubual spontan terutama sekali bersama Salleh Ben Joned merupakan antara yg menarik. Begitu juga kisah kaitan Sultan dengan Prebet Adam yg diceritakan oleh pekerja restoran lakonan Patrick Teoh, memang agak berani dan mungkin mengejutkan sesetengah penonton. Dan semestinya kisah oleh penjual kaset lakonan Low Ngai Yuen tentang 'orang Islam tak makan babi' yg agak (mungkin terlalu) kontroversi utk sesiapa yg tidak berfikir panjang - kenapa begitu jauh sekali jurang persefahaman antara kaum di Malaysia ini? Mungkin juga pemikiran seperti bapa penjual kaset itu sudah semakin berkurang kini, tetapi kisah-kisah sebegitu tidak mustahil akan diturunkan dari zaman ke zaman selagi kita tidak mengubahnya segera. Dalam topik politik pula dipersembahkan pemikiran seorang penulis (Farish A. Noor) dan pandangannya tentang masyarakat Malaysia hari ini -dan mungkin juga boleh dikata- harapannya terhadap masa depan negara. Selain itu, saya dapat rasakan kehadiran Rashid Salleh dalam watak pekerja agen pelancongan seakan cuba memberi unsur humor dengan loghat Sarawaknya yg saya kurang faham, agak pekat. Kembali pada kisah Prebet Adam, penonton akhirnya dibawa oleh Amir untuk meninjau kembali tempat kejadian. Sangat menarik. Di Chow Kit, hotel tempat penginapan Prebet Adam, temubual bersama pekerja di situ yg mengimbas kembali sebelum dan semasa kejadian. Kemudiannya Amir membawa penonton ke kawasan rumah pangsa tempat persembunyian terakhir Prebet Adam dan diterangkan bagaimanakah penyerahan diri atau pun tewasnya Prebet Adam kepada pihak berkuasa. Saya suka kameranya yg meninjau-ninjau keluar dari lubang-lubang di dinding bangunan. Aspek lain yg menarik dalam The Big Durian, selain menyelitkan beberapa babak animasi, bagi saya sudah tentunya foto-foto (still) yg diambil sekitar Kuala Lumpur, tidak lupa juga gambar-gambar yg kelihatan agak klasik, hitam putih yg seakan-akan melengkapkan lagi ciri-ciri dokumentari filem ini. Kualiti penggambaran video digital nya memang memuaskan, tak tahulah kalau lain pula pandangan pakar sinematografi. Penutup: gadis Sabah muncul semula menyambung kisahnya, sedikit kaitan dengan Prebet Adam, dan akhirnya disiarkan keratan gambar Prebet Adam yg sedang tersenyum dari sebuah akhbar, senyuman yg menimbulkan seribu pertanyaan. Tagline filem ini: "Do you remember?" NO - saya tak ingat 1987 itu, tetapi The Big Durian dalam masa hanya selama 75 minit telah memberikan lebih daripada apa yg saya mahu tahu tentang Prebet Adam (dan juga perkara lain). Bagus. Akhir sekali, teringat pula satu dialog: "Prebet Sadam". Halo encik, ingat ini dokumentari Michael Moore ker? Heheh.. TAMAT.

Selepas itu: sesi soal jawab kali ini agak ramai, mungkin kepelbagaian topik filem ini banyak menimbulkan persoalan yg belum berjawab di hati penonton. Rata-rata penonton yg tinggal berbangsa Cina, usia pertengahan, mungkin mereka juga banyak menyimpan memori tentang amok Prebet Adam itu walaupun tinggal di Pulau Pinang. Mungkinkah juga ada yg baru tahu banyak perkara selepas menonton filem ini? Soalan pertama ialah tentang keberanian filem ini mengutarakan topik-topik sensitif, bagaimana penerimaan pihak berkuasa? Dan, sudah tentu ada yg bertanya tentang kos filem ini. Tentang Sultan dan Prebet Adam. Tentang di mana Prebet Adam sekarang (dia orang Penang ke?). Tak dilupa juga tentang maksud judul filem ini yg kemudiannya telah dijawab sendiri oleh seorang penonton lain, dan bagus juga selepas itu ada yg bertanya lagi kenapa Big? Ada maksud tertentu ke? Saya tak nak beritahu... haha. Akhirnya saya bertanya tentang semut-semut di kredit filem itu (juga terdapat pada poster). Tah apa-apa punya soalan.. heh. Tapi saya suka kumpul maklumat trivia, Amir pun macam pelik saya tanya soalan tu. Tiada jawapan pasti. Selain itu saya juga tertanya-tanya tentang penyelidikan maklumat dalam filem ini, terdapat banyak keratan akhbar lama, tetapi mengapa tiada sedutan rakaman sebenar (footage) mengenai kejadian Prebet Adam, mungkin siaran berita atau lain-lain sumber sebenar. The Big Durian sebenarnya sengaja dibuat sedemikian, seboleh-bolehnya tidak mahu menjadi sama seperti mana dokumentari lain, yg biasanya menemubual individu yg terlibat secara langsung, tetapi filem ini sebaliknya telah memilih untuk melihat dan memperlihat kisah ini dari sudut pandangan yg berbeza dan tersendiri. Selain itu saya terfikir mungkin juga kos (wang) menjadi faktor penghalang, kerana menurut Amir keratan-keratan akhbar lama itu juga bukan dari syarikat penerbit, tetapi sumber lain. Saya cuba juga nak tahu sama ada Amir sendiri ada adegan-adegan tertentu atau babak temubual yg paling dia sukai, kerana saya sendiri ada banyak seperti yg disebut di atas. Tapi, sudah tentulah sebagai 'teraju utama' The Big Durian ini, agak susah untuk beliau membuat pilihan sebegitu kerana sudah pastilah keseluruhan filem ini telah dibikin sebaik yg diinginkan. Sebelum mengundur diri dan kerana tadi saya tanya pasal semut tu kan, rasanya saya patut perkenalkan diri: Amir, saya kamal, filemkita. Ooooh... yaaa...
***** (filem ke-4 yg dapat bintang penuh ni)

11 Jun 2004
Hujung minggu ini ada tayangan filem Bukak Api dan The Big Durian di Pulau Pinang. Jangan lepaskan peluang ini!!
http://www.artspen.com/festival/data_film_01.html

7 Jun 2004
Jadual tayanganSempena Pesta Kesenian Pulau Pinang yg sedang berlangsung sekarang, sebuah siri tayangan filem independen Malaysia akan diadakan mulai Rabu ini (9 Jun) hingga Ahad depan (13 Jun). Antara filem yg terpilih ialah Gedebe, Bukak Api, Day After Tomorrow (bukan filem hollywood tu) dan The Big Durian. Selain itu, Kaki Bakar dan Rabun juga akan turut serta walaupun vcd Kaki Bakar mudah didapati dan Rabun juga telah disiarkan di TV, namun mungkinkah versi yg akan disiarkan nanti berlainan daripada yg pernah disaksikan? Beberapa filem pendek yg dibuat untuk siri Odisi ntv7 juga turut terpilih untuk ditayangkan. Antara yg pernah ditayangkan di TV ialah Piala Untuk Mama dan Tomi Cinta Delia. Tetangga dan Chulia Street pula antara judul yg patut diberi perhatian. Kesemua tayangan adalah percuma dengan tempat duduk terhad!

Dapatkan pas masuk percuma sekarang!


Untuk pertanyaan, hubungi nombor yg tertera dalam risalah di atas, atau terus dapatkan pas masuk di Kaunter Kebudayaan & Kesenian (KKK) Pulau Pinang. Semua tayangan akan berlangsung di The Actor's Studio Greenhall (lihat peta dibawah)...
Peta lokasi

http://www.penangartsfestival.com



www.filemkita.com © 1999-2005 khys