[TOPIK] - P. RAMLEE


2004

1 Oktober 2004
Filem P. Ramlee akan dibikin semula - dah sampai masa agaknya utk filem P. Ramlee dibikin semula? Kalau jadi projek ni, memang ramai la nanti pakar2 rujuk yg akan muncul tunjuk pandai selepas filem ni siap nanti.

Agak2 filem apa ye yg akan menjadi pilihan mereka? Mesti genre komedi punya la. Kalau kisah bujang lapok, filem yg mana satu? Mungkinkah mereka berminat nak buat semula Laxmana Do Re Mi yg ramai org kata sebagai filem terburuk P. Ramlee? Ha, apa lagi.. sekarang la masanya nak tunjuk pandai, buat bagi filem terburuk P. Ramlee tu jadi kesukaan ramai dgn lebih bagus. Boleh tak?

Sumber rujukan: A NEW P. RAMLEE MOVIE IN THE MAKING? (Malay Mail, 1 October 2004)

27 Mac 2004
Dr. Rushdi - sebuah filem noir? : Sebuah pandangan yg menarik dan bagus, MFA.

Dr. Rushdi sememangnya sebuah filem arahan P. Ramlee yg dipinggirkan hanya kerana moral ceritanya yg tidak baik. Ending cerita yg sememangnya tidak digemari oleh Lembaga Penapis Filem: orang salah yg tidak ditangkap polis. Penonton yg sudah terbiasa untuk menyukai watak P. Ramlee kerana komedinya yg menghiburkan, lagu gubahannya yg mendayu-dayu, serta wataknya yg menagih simpati, pastinya sukar menerima Dr. Rushdi - kerana wataknya yg terperangkap untuk menjadi jahat, dan tidak di'putih'kan semula di akhir cerita. Saya rasa wataknya 'kelabu' di akhir cerita, kerana tidak tentu arah tujuannya. Ending sebegitu sepatutnya 'melekat' di hati penonton (terpaksa berfikir penyelesaian sendiri).

Sememangnya Dr. Rushdi memiliki 'kegelapan' yg diperlukan oleh sebuah filem noir - dari segi watak, cerita dan suasana. Sudah semestinya P. Ramlee (dan penulis filem ini) tidak memikirkan tentang status filem noir ketika itu kerana mereka cuma ingin bercerita sesuatu yg lain, iaitu sejenis cerita yg tidak lagi dibuat di Malaysia pada masa ini. Unsur seks yg menjadi perhatian dalam filem Dr. Rushdi ini juga adalah satu lagi elemen penting dalam filem noir (betulkan saya kalau salah). Jadi, betulkah andaian yg Dr. Rushdi adalah filem noir melayu yg pertama, kerana filem tersebut hanya dikeluarkan pada tahun 1970, sedangkan banyak filem lain telah dibuat sebelum itu yg mungkin belum dikaji sepenuhnya. Lain pula ceritanya kalau hanya membandingkan Dr. Rushdi dengan Johnny Bikin filem (mungkin kena tanya pendapat Anuar Nor Arai sendiri) - kerana siapa saja mahu jadi yg pertama sekiranya diberi peluang.

Perlu disebut tentang penulis filem Dr. Rushdi: Omar Rojik (cerita asal), P. Ramlee (lakonlayar) dan Jamil Sulong (dialog). Melihat 3 nama di atas, mereka sebenarnya adalah antara pembikin filem yg bertanggungjawab membawa filem melayu keluar dari 'wajah india' sebelum itu. Penulis cerita asal Dr. Rushdi, Omar Rojik pernah bekerjasama dengan P. Ramlee dalam 2 buah filem hebat - Antara Dua Darjat dan Semerah Padi. Siapa sangka kan, Omar Rojik sebenarnya mempunyai idea yg bagus, dan seorang pencerita yg hebat. (Trivia: Omar Rojik ialah peminat Orson Welles. U-Wei pula minat filem Sayang Si Buta karya Omar Rojik).

Merujuk kepada tulisan Hassan Muthalib tentang imej pertama: dalam filem Dr. Rushdi, semasa kredit awal ditunjukkan ombak menghempas batu, kilat sabung menyabung. CUT. suasana kota yg sibuk. CUT. pintu klinik/bilik Dr. Rushdi. CUT. seorang pesakit perempuan cina (Suzie) melurutkan baju blaus-nya separas pinggang. Dr. Rushdi melekapkan stetoskop-nya dua-tiga kali di belakang badan pesakit, kemudian beralih ke bahagian hadapan (anda tahu di mana). Dr. Rushdi beritahu, pesakit perlukan injection. pesakit baring dan menyelak baju menampakkan bawah punggung. pesakit kena injection. CUT. suasana klinik di luar bilik Dr. Rushdi yg sibuk... Hahaha, amacam.. intro yg menarik ke tak tu. 'Apakejadah' maksudnya adegan-adegan awal itu. Membuatkan penonton 'dok nganga' saja. Filem noir pun perlu adegan (separuh) bogel ke? Dr. Anuar (Dr. Rushdi?), bagi saya tengok itu Johnny Bikin Filem punya filem? Saya mau tengok lar... :)



2003

29 Mei 2003
Macam biasa, 29 Mei setiap tahun akan berulanglah cerita-cerita nostalgia tentang P. Ramlee. Tahun ni, ada cerita tentang Sazali P. Ramlee, yang sebenarnya adalah cerita lama dan nasibnya memang tak pernah dan tak akan berubah. Sekadar melariskan jualan. Balik-balik cerita yang sama, malas nak senaraikan di sini. Kalau terlepas, tunggu tahun depan. Apa lagi yang kita tak tahu tentang P. Ramlee? Tentang lagunya? Tentang filemnya? Semuanya kita tahu, tapi tahu gitu-gitu saja.. kita perlu tahu lagi, banyak lagi.

Tahun ni saya terasa mahu baca sebuah buku tentang P. Ramlee. Buku tu TAK ditulis tentang sejarah kelahiran P. Ramlee, TAK disebut langsung beliau berasal dari mana, TAK ada sejarah karier P. Ramlee di Singapura, TAK ada petikan majalah/akhbar lama tahun 50-an, malah buku tu TAK ada walau sekeping pun gambar P. Ramlee. DAN, buku tu mungkin TAK WUJUD! Judulnya 5 Karya Agung P. Ramlee (5 banyak sangat? OKlah tukar jadi 3, sebab P. Ramlee pun suka nombor 3).

3 Karya Agung P. Ramlee - buku ni membincangkan tentang 3 filem terbaik P. Ramlee (mungkin ada Siri 2 yang membincangkan 3 lagu terbaik beliau pula?). OK, buku tu akan membincang dan mengupas sedalam-dalamnya tentang 3 buah filem karya terhebat P. Ramlee. Apa yang sebenar-benarnya ada dalam filem tersebut (dari segi cerita, garapan, pemikiran, budaya, teknikal dan mungkin juga hiburan)? Contohnya, Ibu Mertuaku, Semerah Padi, Antara Dua Darjat atau Bujang Lapok/Tiga Abdul/Ahmad Albab? Sebagai pembaca, saya mahu tahu apa yang sebenarnya dipertontonkan oleh filem yang akan dipilih tersebut selain hiburan. Setiap kali menonton semula filem P. Ramlee, saya selalu tercari-cari P. Ramlee yang sebenarnya di sebalik filem tersebut. Saya membayangkan P. Ramlee di belakang kamera, membentuk filemnya menjadi seperti apa yang kita lihat, bukan sekadar beraksi lucu depan kamera dengan dialog yang mudah diingati. Macam mana orang yang hidup di tahun 2000 boleh suka filem P. Ramlee? Kenapa dan bagaimana jadi begitu? Semua sebab-sebab ni akan dijawab oleh buku tersebut. BUKU YANG TAK WUJUD (kalau wujud tolong beritahu saya). Kita kena 'belajar' filem P. Ramlee. Dah boring dengar orang kata: 'Kenapa tak buat filem macam filem P. Ramlee?'. Persoalan sebenarnya ialah: Filem P. Ramlee tu macam mana? Boleh terangkan? Nampak simple, tapi kreativiti melampau (bukan terlampau) amat diperlukan. Ramai orang bercita-cita dalam diam, ingin jadi macam P. Ramlee, tapi diorang salah. Diorang cuma perlu jadi diri sendiri, seperti mana P. Ramlee yang juga adalah tersendiri. Begitulah beliau menjadi legenda. P. Ramlee adalah sumber inspirasi.

*dulu, kalau nak ambil gambar, orang kata jangan ambil gambar bertiga, tapi kenapa P. Ramlee suka watak 3 serangkai (Bujang Lapok, Do Re Mi, Tiga Abdul, Madu Tiga dll)? Tapi, Labu-Labi pula cuma 2 orang dan filem tu pun 2 bahagian..

**cuba tengok filem Bujang Lapok, masa P. Ramlee kena tipu dengan perempuan di restoren 'bifstik' (bukan perempuan yang adik beradik ramai tu, yang sorang lagi). Perempuan tu blah (sebelum tu diorang main kaki.. haha). P. Ramlee tunggu punya-tunggu punya-tunggu, makwe dia tu tak sampai balik. Kamera tunjuk jam dinding betul-betul atas tempat duduk P. Ramlee. Lepas tu, jarum jam tu berubah menunjukkan dah lama masa berjalan. Tahu tak, berapa lama P. Ramlee tunggu? 3 jam 33 minit!

***lagi satu, filem Antara Dua Darjat. Err.. lain kali jerlah cerita.. (semua perenggan sengaja dibuat tiga bahagian. Terinspirasi sekejap).



www.filemkita.com © 1999-2005 khys