[PAWAGAM] - VISITS: HUNGRY GHOST ANTHOLOGY


2004

30 November 2004
VCD filem ni dah pun diedarkan oleh Sendi Mutiara. Kalau tak jumpa VCD ni, cuba cari di bahagian filem Cina atau kedai yg ada jual filem Cina. Cover depan VCD Visits tidak memberi kredit kepada Adlin Aman Ramlie (salah seorang pelakon utama), mungkin utk tidak mengelirukan penonton Cina.

11 September 2004
Selepas menonton PGL buat kali kedua, saya bergegas ke pawagam yg lagi satu utk menyaksikan sebuah lagi filem tempatan. Tiba tepat pada masanya. Inilah kali pertama saya menonton di pawagam International Screens, yg boleh menayangkan filem dalam format digital. Panggungnya kecil sedikit, begitu juga skrinnya. Tapi, penontonnya boleh dikatakan ramai juga (hampir 20 org?). Mungkin kerana genre seram Visits ini, ia menarik ramai penonton. Cuma saya agak tertanya-tanya berapa ramaikah penonton ketika itu yg tahu filem ini buatan Malaysia? Saya hampir pasti ramai penonton hari itu menonton Visits kerana ia cerita hantu, mereka berharap nilai seram yg tinggi ada dalam filem ini. Tapi saya tak berharap sebegitu, kerana tahu yg ini adalah filem Malaysia. Berapa seram sangatlah yg pembikin filem kita boleh (dibenarkan) buat? Jadi bila filem ini bermula dengan babak DJ radio mengundang penonton bercerita kisah seram mereka, maka ketika itu pun unsur seram sudah awal2 terpadam daripada ingatan bakal penontonnya. Panggung ini jadi sunyi sepi sepanjang tayangan filem ini, macam menonton filem drama. Cuma Visits terselamat hanya kerana konsep gabungan filem pendek yg digunakannya. Terdapat 4 cerita arahan 4 pengarah berbeza dalam filem ini. Jadi kisah2 nya dan corak persembahannya tidaklah serupa saja di sepanjang filem. Itulah faktor yg mengekalkan penonton di kerusi masing2. Mula2 kita ada kisah percintaan remaja yg berakhir dgn tragedi, arahan Low Ngai Yuen, yg agak ringan juga, tapi saya tak suka penamatnya, macam terlalu bergembira dgn kematian pula. Lepas itu muncul pula kisah yg bergerak paling perlahan, arahan James Lee, mengenai rumah berhantu, cumanya rumah ini bukanlah rumah buruk, tetapi begitu cantik. Mungkin sukar juga utk penonton menumpukan perhatian pada kisah kedua ini, kerana ia agak 'tidak beraksi'. Kemudiannya ada kisah yg agak menarik, permainan memuja roh, arahan Hann, boleh tahan tetapi kurang menarik persembahannya. Kisah ini boleh jadi menyeramkan sekiranya diberi perhatian yg lebih dalam gaya berceritanya. Akhir sekali, muncul sebuah persembahan yg agak eksperimental arahan Ho Yuhang, kisah pengawal keselamatan (Adlin) yg suka mengintip kehidupan penghuni kondo. Penggambaran yg menampilkan gaya kamera tersembunyi itu berjaya menarik perhatian penonton utk mengikuti kisah ini dan kesudahannya yg mengejutkan itu. Selepas menonton keempat-empat filem pendek tersebut, soalnya sekarang, adakah filem Visits ini menyeramkan, menakutkan, atau ada meninggalkan apa2 impak terhadap penontonnya? Tiada! (maaf ye, pergi tengok filem lain la). Tapi (ada juga tu, tapi), filem ini adalah perintis utk lebih banyak lagi filem digital tempatan yg mungkin berpeluang ditayangkan di pawagam kelak. Jadi, kepada penonton yg telah menyaksikan filem ini di pawagam, semoga sokongan itu dapat serba sedikit melahirkan lebih banyak lagi filem yg lebih bagus tidak lama lagi. Ini baru permulaannya.
**1/2

2 September 2004
Visits: Hungry Ghost Anthology - sebuah filem independen terbaru. Filem ini adalah gabungan 4 buah filem pendek yang menggunakan tema yg sama dan berkaitan dengan sebuah perayaan kaum Cina iaitu Hungry Ghost Festival (pesta hantu lapar). Mungkin ramai yg telah menonton rancangan The Making of Visits di saluran 8TV minggu lepas. Dan mungkin juga ramai yg telah berpeluang menonton sendiri filem ini di pawagam bermula Khamis lepas. Sungguh menarik bukan?! Kata penerbitnya perayaan Hungry Ghost ini sebenarnya lebih menarik berbanding Halloween yang dirayakan di barat. Walaupun kaum lain selain Cina tidak merayakan festival ini, gabungan 4 buah filem pendek dengan cerita yg belum pernah difilemkan ini sememangnya menarik dan tidak patut dilepaskan oleh semua peminat filem tempatan. Kita kan suka tengok filem hantu?

Cerita pertama, judulnya 1413. Arahan Low Ngai Yuen (3R, WWW). Mengisahkan 2 pelajar perempuan yg dikatakan cuba membunuh diri bersama. Rancangan mereka gagal bila cuma seorang mencapai matlamatnya iaitu Chyi. Sementara Mae yg cedera parah seakan hilang ingatan tentang tragedi itu. Mae sering dilawati oleh ibunya, rakan sekolahnya Juin Hong dan juga kelibat seorang gadis misteri. Kelibat tetamu misteri itu menakutkan Mae dan dia memaksa Juin Hong menceritakan apa yg telah terjadi. Juin Hong membawa Mae ke tempat kejadian di atas bumbung sebuah rumah pangsa. Di situ, ingatan Mae datang kembali. Dia kembali mengingati hubungan akrabnya bersama Chyi. Mae juga ingat tentang Juin Hong (teman lelaki Chyi) yg telah terdengar pengakuan Chyi yg ingin memutuskan perhubungan mereka kerana lebih gembira bersama Mae. Dan akhirnya Mae ingat semula bagaimana pergelutannya dengan Juin Hong hingga menyebabkan kejadian malang itu. Patutlah Juin Hong membawanya kembali ke situ kerana cuma Mae yg tahu punca kejadian. Malangnya, semuanya seakan terlambat bila Juin Hong terus menolak Mae yg baru hendak pulih itu. Apa yg tidak disedari ketika itu, sebenarnya ada makhluk lain yg turut berada bersama mereka - kelibat si gadis misteri. Apakah yg akan terjadi? Siapakah yg akan mati?

Seterusnya cerita Waiting For Them. Arahan James Lee. Kisah hubungan 2 sahabat Sam dan Anne, 2 wanita yg mempunyai masalah masing-masing. Sam terlibat dalam hubungan dengan lelaki yg sudah beristeri. Begitu juga dengan Anne yg mengalami tekanan perasaan akibat hubungan yg tidak menjadi. Sam yg simpati setelah melihat Anne berjalan tak tentu arah, telah membawa Anne menumpang dirumahnya. Sikap Anne yg tidak berubah dan tak tentu arah mengganggu hidup Sam. Anne juga sering tak dapat tidur kerana 'terlihat seseorang' dalam biliknya di waktu malam. Sam sebaliknya tidak menemui 'orang' yg dimaksudkan itu. Akhirnya Sam juga menjadi seperti Anne dan tidak dapat tidur kerana memikirkan tentang kehadiran 'orang' itu.

Cerita ketiga, Nodding Scoop arahan Hann. Bekas rakan sekolej, Ken, Alicia dan Yan cuba ingin merakamkan sebuah upacara pemujaan roh yg dipercayai boleh memberikan jawapan dengan menggerakkan sebatang penyedok. Penyedok itu sepatutnya kelihatan seperti mengangguk dengan setiap pertanyaan yg dipersetujuinya. Semasa rakaman upacara itu, Alicia dan Yan telah menanyakan soalan sementara Ken merakamkan perbuatan mereka. Soalan pertama Alicia adalah mengenai diri roh itu, yang memberitahu bahawa 'dia' baru meninggal dunia akibat membunuh diri. Yan pula cuba 'menghidupkan suasana' dengan soalan yg tak sepatutnya ditanya mengenai Alicia sendiri. Suasana menjadi 'panas' bila Yan dan Alicia mulai memaki sesama sendiri. Kedua-duanya tanpa disedari telah meminta penyedok (roh) itu menjadikan salah seorang kelihatan hodoh. Penyedok itu hanya mengangguk! Semasa penggambaran itu juga, suatu objek aneh telah dirakamkan, dan mereka bertiga mula terdengar bunyi yang... err, aneh! Semua mereka mulai berasa risau. Alicia yang sudah tak keruan segera menghentikan upacara itu. Mereka bersetuju untuk pergi makan malam, tetapi Yan tiba-tiba jatuh sakit! Ken terpaksa pergi membeli makanan dan ubat sementara Alicia menjaga Yan. Tiba-tiba, pintu tertutup dengan kuatnya, mengejutkan Alicia. Seraya itu terdengar bunyi ketukan seperti bunyi penyedok tadi. Di bawah daun pintu kelihatan bayang seseorang. Alicia panik gila, dan berpaling ke arah Yan hanya untuk melihat yang Yan sedang merenungnya tajam!! Yan sedang memakai pakaian yg mereka gunakan untuk menghiasi penyedok dalam upacara tadi. Alicia tanpa berfikir panjang bertanya sama ada Yan OK? Yan memandang Alicia... dan Yan mengangguk!

Akhir sekali filem berjudul Anybody Home? arahan Ho Yuhang. Cerita berkaitan seorang pengawal keselamatan (lakonan Adlin Aman Ramlie) yg menjaga sebuah blok apartmen. Dia tertarik dengan seorang wanita yg tinggal di situ. Wanita itu sering kelihatan keluar bekerja di sebelah petang, mungkin dia pelayan di pusat karaoke atau pun rumah urut. Pada suatu hari, pengawal itu berjaya masuk ke apartmen wanita itu dan menjalankan niat jahatnya dengan memasang kamera pengintip. Sejak itu kehidupan wanita itu menjadi tatapan dan perhatian hasil rakaman kamera rahsia itu. Kehidupan wanita itu memang biasa, cuma sesuatu yang pelik ialah dia suka bercakap-cakap dengan seseorang yg tidak kelihatan. Walau bagaimanapun, setiap malam ada saja lelaki-lelaki yg menghantar wanita itu pulang, tetapi tidak pula dibenarkan mereka masuk ke apartmen itu. Setelah beberapa lama mengikuti kehidupan wanita itu, pengawal tersebut telah dipanggil untuk membantu membetulkan tandas di apartmen wanita itu. Keesokan harinya wanita itu telah memberi makanan yg dimasaknya kepada pengawal itu sebagai tanda terima kasih. Pengawal itu makan. Malam yg sama, pengawal itu sekali lagi menyusup masuk ke apartmen wanita itu. Apa nak ditakutkan, wanita itu kan keluar bekerja. Pengawal itu lepak, kemudian berbaring di katil wanita itu. Takde benda nak buat, dia juga mencium baju-baju wanita itu. Akhirnya perut pun terasa lapar. Pengawal berlagak seperti rumahnya sendiri, terus ke dapur. Dia membuka peti sejuk dengan selamba. Dia tidak menjangka langsung apa yg dia bakal saksikan. Pengawal itu lantas tergamam melihatkan apa yg ada di dalam peti sejuk itu! Apakah dia?

Visits sedang ditayangkan di pawagam GSC International Screens. Penduduk KL dan sekitar Selangor boleh menyaksikannya di Midvalley Megamall, sementara penduduk Penang dan sekitarnya hanya perlu ke Plaza Gurney. Bermula sejak Khamis 26 Ogos lalu.

Antara yg menarik mengenai produksi filem ini ialah format penggambarannya yg menggunakan video digital. Buat pertama kali juga format digital ini akan ditayangkan tanpa perlu menukarkannya ke dalam bentuk filem. Selain itu filem ini turut mendapat sentuhan pengarah fotografi terbaik Teoh Gay Hian (Spinning Gasing, Paloh dll). Dalam segmen terakhir Anybody Home? pula dapat disaksikan penampilan istimewa Yasmin Ahmad disamping James Lee dan Ho Yuhang sendiri.

Para pelakon Visits terdiri daripada gabungan model, penyanyi, pelakon teater, penari dan juga ratu cantik Miss Malaysia 2003. Tak percaya, pergi tengok dalam website rasmi...
http://www.visits.com.my

26 Ogos 2004
Mula ditayangkan di dua buah pawagam GSC International Screens (e-cinema), di Midvalley KL dan Plaza Gurney Penang.

30 Julai 2004
Filem HANTU terbaru buatan Malaysia!! - Pergi TONTON filem ini!! Empat cerita dalam satu filem. Salah satu darinya turut dilakonkan oleh Adlin Aman Ramli.
http://www.visits.com.my



www.filemkita.com © 1999-2005 khys