Maklumat
Seni Filem
Lembaga
Penapisan Filem (LPF) ikut garis panduan
Temubual
oleh: Akmal Abdullah
Boleh Tuan Haji jelaskan apa jenis filem yang perlu ditapis dan bagaimana struktur organisasi
dalam LPF?
LPF: Filem yang hendak ditapis LPF ialah yang dirakam kamera bagi tujuan tayangan atau siaran untuk
umum. Ini termasuklah filem untuk pawagam, pita seperti cakera laser, cakera padat video, DVD dan
sebagainya. Ini bermakna, siaran langsung menerusi TV atau satelit TV dan Internet tidak diliputi oleh Akta
Filem (Penapisan) dan ia berada di luar bidang kuasa LPF. Namun, corak media ini dikawal oleh mekanisme
tertentu di bawah agensi berkaitan.
LPF dianggotai seorang pengerusi, timbalan pengerusi dan 63 ahli. Mereka dilantik oleh Yang di-Pertuan
Agong di bawah akta yang sama. Kebanyakan anggota LPF ialah bekas pegawai kanan kerajaan di
peringkat Persekutuan dan negeri berdasarkan kewibawaan serta
pengalaman.
Anggota yang dilantik ini datang dari pelbagai aspek disiplin kerajaan seperti kepolisan, agama,
pendidikan, perpaduan, pembangunan masyarakat, pentadbiran awam dan sebagainya. LPF dianggotai ahli pelbagai
kaum dan agama.
Selain itu, ahli dilantik berdasarkan kepakaran khas iaitu penguasaan bahasa ketiga yang
relevan, bermakna selain bahasa Melayu dan Inggeris seperti bahasa Arab, Kantonis, Hindi,
Hokkien, Mandarin, Perancis, Tamil dan Urdu.
Bagaimana prosedur dan urusan penapisan itu dibuat? Bagaimana keputusan tapisan sesebuah
filem itu? Apakah boleh dibuat rayuan jika penerbit tidak berpuas
hati?
LPF: Penapisan filem diurus beberapa jawatankuasa yang dikenali sebagai panel tapisan, iaitu setiap satu
panel dianggotai antara dua hingga tiga ahli. Panel ini dilantik oleh Pengerusi LPF mengikut Seksyen 4(1)
Akta Filem.
Dalam tugasnya, panel mengambil kira tema sesebuah filem, kemungkinan kesannya kepada
penonton, jalan ceritanya diikuti dengan teliti dari awal hingga akhir serta mengambil kira mesej tersurat dan
tersirat. Kemudian, ditentukan pula sama ada bahagian babak, adegan, dialog, suara dan sarikata sesuai atau
sebaliknya berdasarkan garis panduan yang berkuat kuasa.
Keputusan panel tapisan memberi salah satu hasil mengikut Lulus Bersih (LB), Lulus Dengan Potongan
(LDP), Diharamkan dan Ditolak. Filem yang diharamkan tidak akan dibenar untuk tayangan kerana
melanggar garis panduan dengan ketaranya seperti tema negatif, atau ada babak keganasan atau seks
keterlaluan. Bagi penolakan dibuat atas sebab teknikal, filem jenis ini boleh dikemukakan semula kepada
LPF setelah pembetulan dibuat.
LPF terbahagi kepada beberapa unit seperti Unit Panggung dan Unit Pita, manakala unit di peringkat TV,
kita letakkan beberapa ahli di stesen TV khusus untuk menapis filem atau program yang akan disiarkan
RTM, TV3 dan ntv7. LPF dibantu dari segi khidmat logistik oleh sesebuah urusetia yang diketuai seorang
setiausaha dan dibantu beberapa pegawai serta anggota sokongan. Jika ada pengeluar filem tidak puas
hati, mereka boleh membuat rayuan.
Sejauh mana filem dinilai dan ditapis untuk disesuaikan dengan selera penonton negara
ini? Apakah tapisan mengikut klasifikasi? Apa garis panduan yang diguna
pakai?
LPF: Perlu ditegaskan sistem klasifikasi LPF adalah berbeza dengan sistem yang diamalkan di sesetengah
negara lain. Sistem klasifikasi meliputi dua kategori iaitu untuk tontonan umum dengan label ‘U’ dan bagi
label ’18 Tahun Ke Atas’. Kategori filem untuk penonton berusia 18 tahun ke atas pula dibahagikan kepada
empat kategori kecil iaitu 18SG untuk filem yang ada unsur ganas atau seram tidak
keterlaluan, 18SX untuk filem unsur seks tetapi tidak
keterlaluan, 18 PA, filem yang menyentuh aspek agama, sosial dan
politik dan 18PL untuk filem yang ada gabungan dua atau lebih unsur ganas, seram dan
seks.
Untuk iklan atau trailer bagi sesuatu filem, klasifikasi tidak diperlukan. Namun, keputusan meluluskannya
tidak boleh dijadikan syarat untuk meluluskan filem yang sebenar.
Sebenarnya, tanggungjawab mengawal penontonan filem tidak wajar diletak atas bahu kerajaan. Khalayak
sendiri perlu membina benteng dalam diri bagi mengasingkan kehendak dan bukan
kehendak. Bagi kanak-kanak dan remaja, aspek kawalan ini juga adalah tanggungjawab ibu bapa atau
penjaga. Kita membantu dalam membuat pengkelasan iaitu kategori ‘U’ dan ’18 Tahun Ke
Atas’.
Malaysia mempunyai rakyat pelbagai kaum dan latar belakang yang mengamalkan pelbagai
kaum, bahasa serta adat resam. Jadi, kita berharap sistem klasifikasi dapat menjurus kepada satu titik tolak yang agak
seimbang terhadap persepsi pelbagai sudut dari keunikan masyarakat
kita.
Apa sebenarnya faktor penapisan filem
itu?
LPF: Secara ringkas, Panel Tapisan perlu meneliti supaya setiap filem itu pada umumnya tidak ada unsur
negatif dan memudaratkan dalam aspek ideologi, politik, keagamaan, sosiobudaya, peradaban dan
tatasusila. Filem tidak sepatutnya antinasional atau memaparkan propaganda ideologi yang bertentangan
prinsip Rukun Negara.
Filem juga tidak boleh menumpukan kepada amalan agama sesat, mempersenda atau mengkritik agama. Ia
juga tidak boleh antiagama atau mirip kepada penafian Tuhan Yang Maha Esa. Cerita dalam filem juga tidak
boleh mendorong masyarakat ke kancah perlakuan negatif, membahayakan ketenteraman
awam, keselamatan dan ketahanan negara.
Dalam aspek lain, filem tidak boleh mengagungkan keganasan, kekejaman, kengerian dan pelanggaran
undang-undang yang boleh menyebabkan penonton meniru.
Filem juga tidak boleh memperlihatkan unsur yang ditafsir menyekutukan Allah, mempamerkan wajah rasul
atau nabi, serta yang menyentuh perihal akidah atau hantu tahyul.
Dari segi hubungan luar negara, filem tidak boleh menyinggung sensitiviti atau memberi malu, menyindir
atau menghina negara sahabat sama ada pemimpin atau rakyatnya. Malah, filem tidak boleh membuat
celaan, mencemar nama atau memberi malu kepada mana-mana kumpulan atau individu. Dalam kerja
tapisan, jika LPF menghadapi keraguan, kita merujuk pihak tertentu seperti pakar agama atau agensi
tertentu seperti Jakim.
Ini bermakna filem yang hendak ditapis itu hendaklah dalam keadaan siap sepenuhnya atau ‘a
finish product’? Bagaimana kalau penerbit menghantar terlebih dulu skrip untuk ditapis sebelum dibuat
penggambaran?
LPF: Perlu diingat, dalam menjalankan kerja penapisan, LPF hanya mengambil kira karya yang sudah
siap. Sebarang penilaian berdasarkan produk yang siap dan mahu ditayangkan untuk umum. Kita tidak menapis
skrip.
Dalam kerja tapisan, asas yang digunakan juga ialah nilai murni secara universal menerusi semua kumpulan
masyarakat.
Untuk filem tempatan, kita cuba melihat filem sejajar nilai budaya masyarakat di negara ini. Bagi filem
import, kita cuba buat clean-up. Jika keterlaluan dan rasa tidak boleh, ia tidak
dibenarkan.
Biasanya penerbit hanya melihat sesuatu filem dari sudut seni saja, tetapi kita di LPF mewakili kerajaan
dari segi membendung gejala negatif yang dipaparkan dalam filem.
Ada rungutan mengenai sikap LPF terhadap filem tertentu yang didakwa kononnya bersikap
bias atau berat sebelah?
LPF: LPF adalah badan pelaksana mengenai apa yang digariskan mengikut akta. Sesiapa yang tidak puas
hati boleh membuat rayuan. Mengenai pendapat umum dakwaan itu, ia adalah lumrah dalam apa saja
bentuk perkhidmatan. Hal itu memang ada. Luahan tidak puas hati itu biasalah... ia sebagai maklum balas.
Kita di LPF kena sensitif terhadap tugas kita. Akta yang diguna pakai sekarang masih
relevan. Dalam konteks garis panduan, kita guna budi bicara dan kod etika penyiaran Kementerian
Penerangan. Keprihatinan kita ialah perpaduan, keselamatan dan
keharmonian.
Sebarang pertimbangan dalam setiap penapisan filem berasaskan keunikan masyarakat di Malaysia serta
menjaga hubungan baik antarabangsa.
Namun, LPF sentiasa prihatin faktor ini tidak menjurus ke arah kongkongan atau membantu industri filem di
negara ini.
Ada rungutan dari stesen TV yang mendakwa pihaknya tidak boleh menyiarkan satu filem
import sedangkan TV lain dibenarkan. Mengapa ini berbeza?
LPF: Kita menilai dan membuat tapisan hanya mengikut satu garis panduan saja.
Berapa banyak filem yang ditapis oleh LPF sepanjang tahun lalu berbanding 1999?
LPF: Sepanjang 1999, jumlah filem untuk pawagam yang ditapis ialah sebanyak 667 judul iaitu import dan
tempatan. Daripada jumlah itu, ia termasuklah 223 trailer, 77 iklan dan tujuh dokumentari. Untuk tapisan
dalam bentuk pita, kita menapis 18,434 judul filem. Manakala untuk siaran TV sebanyak 11,669 judul filem
ditapis. Bagi tahun lalu, jumlah filem yang ditapis untuk keseluruhannya iaitu pawagam, pita dan TV ialah
sebanyak 30,020 judul. Daripada jumlah itu, sebanyak 807 adalah filem cereka untuk
pawagam.
Sumber:
Berita Harian Online (18 Mac 2001)

|