Maklumat
Seni Filem
Adegan gaduh perlu ada seni
Pelakon-pelakon yang terkenal dengan filem tempur tanpa senjata seperti Chuck Norris, Jean Claude Van
Damme, Bruce Lee atau Steven Seagal sering meyakinkan penonton dengan teknik seni mempertahankan
diri yang mereka miliki. Gerak mereka semasa bertarung dengan musuh bukan sahaja gagah malah
ada seni tersendiri.
Bruce Lee misalnya yang cukup diingati dengan filem The Big Boss mempunyai elemen seni kungfu
sementara Chuck Norris pula dengan karate. Gerak mereka tampak yakin dan tidak dibuat-buat. Apa
rahsianya di sebalik aksi dalam filem-filem pertarungan?
''Pakar seni mempertahankan diri belum tentu akan tampil dengan gerak yang berseni dalam
filem. Pergaduhan dalam filem memerlukan koreografi seumpama tarian yang geraknya ada seni dan falsafah
budaya,'' demikian kata koreografer silat dalam filem, Ku Ahmad Ku Mustafa.
Ku Ahmad yang juga pengasas Persilatan Tokku mengakui, tugasnya sebagai koreografer sekali gus fighting
director filem dan drama tempatan memerlukan dia mencipta sesuatu adegan pertarungan supaya kelihatan
realistik dari segi gerak, pukulan dan juga ekspresi
pelakon-pelakon.
Pertarungan antara nilai komersial bagi sesebuah filem. Buktinya filem-filem lakonan Bruce Lee, Van Damme
atau Chuck Norris bukannya yang mempersembahkan naratif yang baik selain dari tema balas dendam dan
konsep hero yang stereotaip. Tetapi filem-filem lakonan mereka mendapat tempat di
pasaran.
''Pertarungan yang dikoreograf dengan baik akan membawa cerita di sebalik gerak dan
ekspresinya. Fighting director yang baik tidak sahaja harus mampu
mencipta pergaduhan yang realistik malah ada falsafah budaya dalam gerak silatnya,'' tegas Ku Ahmad yang telah membuka beberapa gelanggang silat di
Kedah ketika usia 18 tahun.
Sehingga kini Ku Ahmad yang diberi kepercayaan oleh Rahim Razali untuk membuat koreograf silat filem
Matinya Seorang Patriot telah mempelajari silat dengan 19 guru dan mengendalikan berpuluh gelanggang di
seluruh Kedah sebelum bertugas sebagai koreografer silat dan pemuzik di Kompleks Budaya
Negara (KBN) sejak pertengahan tahun 70-an.
Katanya, dia mengakui Bruce Lee atau Chuck Norris mempunyai tahap seni mempertahankan diri yang
tinggi tetapi pada masa yang sama mereka berdua juga bertindak sebagai koreografer dalam filem
berkenaan. Ini membolehkan mereka melatih pasangan yang akan bertarung dalam filem -filem
berkenaan.
Antara filem-filem lain yang mendapatkan khidmat Ku Ahmad sebagai koreografer silat ialah Puteri
(Rahim Razali), Tuah (Anwardi Jamil) dan Kelisa (Ahmad Ibrahim). Dia banyak menumpukan kepada drama swasta
terutama yang bercorak purba antaranya Luk Tujuh, Pendekar Kundur, Paduka Raja dan banyak
lagi.
Menerusi drama purba bersiri Luk Tujuh arahan U-Wei Haji Saari, Ku Ahmad telah mencipta adegan
pertarungan yang terbaik dalam sejarah filem dan drama Melayu. Drama lakonan Eman Manan dan Mahmud
June itu memperlihatkan falsafah silat Melayu melalui gerak panca indera dan firasat yang digunakan oleh
pendekar zaman dahulu.
''Saya diberi masa yang agak selesa oleh U-Wei untuk menghasilkan semua adegan yang melibatkan
pergaduhan. Untuk mendapatkan aksi yang baik, ia tidak boleh dibuat secara spontan kerana bergaduh
juga sebahagian daripada lakonan,'' jelas Ku Ahmad.
Banyak yang mengagumi adegan akhir filem Matinya Seorang Patriot yang mempertemukan dua
beradik, Safuan (Zulkifli Zain) dan Saiful (Eman Manan) berlawan pedang dalam ruang rumah yang kecil. Adegan ini
memang mengerikan kerana kedua-dua pelakon ini membelasah
bersungguh-sungguh.
''Banyak risikonya adegan bermain senjata tajam seperti itu, kalau tersilap langkah tentu nahas. Tetapi
mereka berlatih bersungguh-sungguh, kalau spontan saya tak berani buat,'' jelasnya mengenai filem
terbitan tahun 1984 itu.
Kata Ku Ahmad, sebagai koreografer silat, dia menghadapi masalah apabila pelakon yang banyak terlibat
dalam adegan pergaduhan tidak melalui latihan asas dalam silat. Ini membuatkan dia menghasilkan
koreograf berdasarkan kemampuan pelakon bukan kemahuannya
sendiri.
''Kalau dalam cerita purba, silat membawa manifestasi budaya. Cara pegang keris, cara menunggu
serangan musuh dan menyerang ada adabnya,'' katanya mengenai fungsi silat dalam cerita
purba.
Dia memberitahu, drama moden yang menampilkan street fighting seperti dalam filem-filem lakonan Chuck
Norris berbeza koreografnya dengan drama purba. Street fighting selalunya tidak memerlukan tari seperti
drama purba.
Ditanya tentang banyak drama yang kononnya purba Melayu tetapi menampilkan gerak jimnastik di TV, Ku
Ahmad berkata, '' Nampak huduh sangatlah kalau menendang ligat macam kipas. Saya belum pernah jumpa
silat seperti itu. Kungfu bukan, silat pun bukan.''
Sumber:
Utusan Online (17 Julai 1997)

|